Baru-baru ini tular isu berkenaan dengan kes warga Pala'u ditangkap di Sabah dan ada sumber lain menyatakan bahawa mereka ini dikenakan kompaun bernilai RM10,000 sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai apabila pihak polis tergamak berbuat demikian.
Menurut Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Abdul Hamid Bador, beliau menyifatkan perbuatan melontarkan pelbagai tuduhan liar terhadap polis sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap pasukan itu dilakukan oleh individu yang sengaja ingin popular.
Tuduhan dibuat tidak wajar
Tambahnya lagi anggapan seperti 'polis kejam' kerana mengenakan tindakan tegas termasuk kompaun adalah tidak wajar kerana setiap tindakan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
"Orang ambil kesempatan, ada yang nak popular, lontar pelbagai tuduhan liar kemudian sembunyi tangan. Contohnya macam kes di Lahad Datu kononnya polis tangkap ramai pengemis di sana."
-Abdul Hamid Bador-
Bukan niat nak kompaun
Bagi menghentikan segala spekulasi tersebut, beliau tampil menjelaskan perkara sebenar bahawa tangkapan yang dibuat adalah di bawah Akta Imigresen yang mana mereka akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perlindungan bukan untuk dikenakan kompaun.
"Sebenarnya warga Pala'u ini mengemis beramai-ramai hampir di setiap lampu isyarat di sana, jadi polis pergi tangkap lebih-leboh lagi dalam keadaan sekarang virus sedang menular. Di Sabah sekarang kes telah menurun tinggal 35 dan kami hendak turunkan lagi."
"Sehubungan itu polis kena ambil tindakan untuk elak mereka berkeliaran, mereka mungkin dijangkiti. Jadi kami tangkap, namun yang keluar dalam berita mengatakan polis kenakan tindakan kompaun RM10,000."
-Abdul Hamid Bador-
Melihat keadaan mereka, mana mungkin pihak polis sanggup bertindak kejam ingin mengenakan kompaun sejumlah itu.
"Cerita sebenarnya kami tangkap di bawah Akta Imigresen dan serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perlindungan, tidak ada niat pun hendak kompaun. Kami tahu takkan mereka mampu, RM5 pun mereka tidak ada, usahkan RM10,000. Jadi nak kata polis keja itu tidak adil lah."
-Abdul Hamid Bador-
'Undang-undang bukan milik kami'
Di samping itu, beliau turut menyeru masyarakat supaya berfikiran lebih matang dalam menilai setiap tindakan tegas yang dilakukan oleh polis kerana ia dibuat semata-mata untuk kepentingan rakyat serta demi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Undang-undang itu milik Kementerian Kesihatan (KKM) (Akta 342)... kami diminta dan diberi kuasa untuk bantu KKM"
"Isu kompaun RM10,000 telah lama dibincangkan sejak bermula gelombang ketiga Covid-19 apabila wujudnya kluster baharu dan mula merebak dalam kalangan komuniti."
-Abdul Hamid Bador-
Tambahnya lagi dalam kenyataannya bahawa kompaun RM10,000 yang dibuat bukanlah untuk individu yang membuat kesalahan kali pertama sebaliknya adalah bagi individu yang membuat kesalahan berulang kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).
Bagaimanapun menurut beliau, orang ramai yang merasakan diri teraniaya atau tidak bersalah boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan di Pejabat Daerah mengikut daerah di mana kompaun itu dikeluarkan.
Tinggalkan Komen