Bagai sinetron, pasangan kembar baru tahu tertukar selepas 20 tahun dilahirkan

Oleh: Zuzu Yasmine

Bukan sinetron tapi realiti, itulah yang dihadapi pasangan kembar ini apabila tertukar dengan seorang bayi kira-kira 20 tahun yang lalu.

Menerusi laporan Bernama, insiden tersebut berlaku kira-kira 20 tahun lalu disebabkan kecuaian petugas kesihatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Difahamkan, perkara tersebut disedari selepas Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, yang merupakan ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, pada September tahun lalu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Temui gadis seiras ketika di tingkatan 4

Menurut Adryani Iwani, hal tersebut terbongkar bermula ketika dia pergi ke kem motvasi semasa di tingkatan 4 apabila bertemu dengan pelajar dari sekolah lain yang memaklumkan mempunyai wajah seiras dengan rakan mereka, Noratirah.

“Saya kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum dia berkongsi akaun Instagram (IG) Noratirah yang dikatakan seiras dan sebaya dengan saya.”

“Apabila saya maklumkan perkara itu kepada kakak, dia mengiakan persamaan ketara wajah kami, namun mama (panggilan untuk ibu) berpandangan sebaliknya menyebabkan saya tidak ambil peduli selepas itu dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa,” katanya kepada Bernama.

Miliki tarikh lahir sama

Katanya, pada 2019 mereka sekali lagi bertemu secara tidak sengaja ketika pergi ke Karnival Jom Masuk U, dan di sana masing-masing hanya memandang sesama sendiri kerana terkejut memandangkan wajah mereka benar-benar sama.

Malah, lebih mengejutkan apabila mereka juga memiliki tarikh lahir yang sama selepas rakan mereka menghantar gambar sambutan hari lahir Noratirah pada ulang tahun kelahirannya.

“Saya terkejut, sebelum ini hanya dengar daripada kawan-kawan kata ada orang muka sama dengan saya, sekali tengok, eh…betullah ada orang muka serupa dengan saya. Belum pernah lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian,” katanya.

Berbincang dan lakukan DNA

Sangsi akan kebetulan yang berlaku, Noratirah telah menghubungi Adryani Iwani menerusi Instagram dan perbincang untuk membuat ujian DNA.

Pelajar Diploma Kejururawatan berkenaan menjelaskan, ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah membabitkan dirinya, ibunya,Siti Aminah Ismail,66, Adryana Iwani, Noratirah dan ‘bapa’ Noratirah, Husin Omar.

“Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis selepas mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.”

“Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (meninggal dunia pada 2018) yang sebelum itu membesarkan Noratirah,” ujarnya.

Kecuaian petugas

Sehubungan itu, kakak kepada pasangan kembar ini, Ayu Haryani, 42 memaklumkan bahawa awalnya ibu mereka amat terkejut dan tidak dapat menerima keadaan tersebut sehingga terduduk, namun segalanya sudah seperti biasa semula.

Tambahnya lagi, ibu mereka tidak mengesyaki apa-apa memadangkan ketika bayi, kedua-dua bayi diletakan tag nama ibu ‘Siti Aminah Ismail’ dan tidak menyangka bahawa bayi telah tertukar.

Ayu Haryani juga memberitahu berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani (1.27 pagi) dan kemudiannya Adryani Iwani (1.34 pagi).

Bakal ambil tindakan undang-undang

Meskipun begitu, mereka tetap menganggap Adryana Iwani sebagai ahli keluarga mereka dan memintanya untuk terus tinggal bersama keluarga.

“Ibu kandungnya pula sudah tiada manakala ayahnya meninggal dunia selepas dua bulan ujian DNA diketahui,” jelasnya.

Manakala, Noratirah yang sebelum ini tinggal bersama ‘ayahnya’ juga telah tinggal dengan mereka sejak Januari lalu.

Bahkan mereka juga bercadang ingin mengambil tindakan undang-undang atas kecuaian yang berlaku dan dalam proses melantik peguam untuk menguruskan perkara ini.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen