Akhlak atau budi pekerti adalah merupakan syarat yang sangat penting dalam pembentukan suatu rumah tangga, sebab dengan budi pekerti yang baik dan kuatnya keyakinan agama akan menjadi suatu sendi yang kukuh dan kuat dalam membangunkan kehidupan rumah tangga. Perempuan yang taat terhadap agamanya akan setia dan patuh terhadap suaminya, sehingga dirinya akan menjadi wanita yang solehah sebagai perhiasan dunia. Ini adalah seperti hadith Nabi yang berbunyi:
عن عمرابن العاصى أن رسو ل الله صلعم قال ان الدنيا كلها متاع خير متاع الدنيا المر أة الصالحة (النسائ)
Artinya: "Dari Amr bin 'Ash: Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya dunia seluruhnya adalah bagaikan perhiasan, tetapi sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah (Hadis Riwayat Nasa'i).
Begitu pula bagi perempuan memilih calon suami pilihlah suami yang taat terhadap agama, kerana suami yang taat terhadap agama, akan bertanggung jawab penuh atas penyelenggaraan rumah tangganya, dan akan melayan isterinya dengan sebaik-baiknya.
Dengan demikian jelaslah ketaatan seorang laki-laki terhadap agama itu akan melahirkan suatu kebaikan dan bertanggungjawab terhadap pengurusan rumah tangganya. Oleh itu, pilihan agama adalah syarat utama bagi memilih calon suami atau isteri.
Tinggalkan Komen