Hari ini negara dikejutkan dengan penahanan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat di imigresen Thailand.
Memetik laporan Utusan Online, terdapat dakwaan bahawa Nur Sajat menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Orang Pelarian (UNHCR) untuk bersembunyi di Bangkok, Thailand.
Ini kerana, pemberian kad UNHCR boleh diberikan kepada mana-mana individu yang menjadi pelarian dari negara asal mereka kerana pencabulan hak asasi atau nyawa mereka mungkin terancam.
Menurut sumber yang tidak mahu didedahkan identitinya, dengan kad yang diperoleh, tidak mustahil selepas itu usahawan kosmetik itu melakukan permohonan untuk mendapatkan suaka di mana-mana negara ketiga untuk tinggal.
“Bagaimanapun, tiada pengesahan lanjut mengenai perkara ini,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membawa pulang usahawan kosmetik itu.
Kata beliau, Muhammad Sajjad dikehendaki pihak berkuasa Malaysia di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.
“PDRM mengesahkan Muhammad Sajjad telah ditahan pada 8 September lalu pada pukul 6 petang oleh pihak berkuasa Thailand kerana memiliki pasport tidak sah.
“Dia kemudiannya telah dihadapkan ke Mahkamah Thailands atas kesalahan Imigresen dan dikenakan hukuman denda,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan usahawan terbabit ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.
Tinggalkan Komen