Nampaknya, satu demi satu kelonggaran diberikan kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksinasi Covid-19.
Terbaru, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi kebenaran kepada suami yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 untuk menemani isteri yang akan melahirkan anak dalam wad bersalin.
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sudah meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengeluarkan kebenaran itu di semua hospital kerajaan.
"Saya sudah minta Tan Sri Dr Noor Hisham untuk membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi dan menjalani ujian saringan COVID dan negatif, untuk menemani isteri mereka dalam wad bersalin," katanya menerusi Twitter, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan seorang pengguna Twitter, yang memohon suami lengkap divaksin dan negatif ujian saringan COVID-19 dibenarkan menemani isteri dalam bilik bersalin.
Menjawab permintaan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan akan mengeluarkan arahan untuk membenarkan suami yang lengkap divaksin dan bebas COVID-19 menemani isteri dalam wad bersalin.
“Ya, saya akan laksanakan apa yang diperlukan," katanya.
Untuk makluman sebelum ini, hospital kerajaan tidak membenarkan suami untuk menemani isteri di dalam dewan bersalin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu akibat penularan COVID-19.
Tinggalkan Komen