Memetik laporan Harian Metro, golongan antivaksin tidak akan terlepas daripada tindakan pihak berkuasa kerana terdapat pelbagai peruntukan undang-undang yang boleh digunakan terhadap mereka.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun tindakan itu bukanlah disebabkan mereka antivaksin, sebaliknya kerana perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu.
Beliau turut bersetuju dengan gesaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya pihak berkuasa bertindak segera terhadap kelompok berkenaan.
"Memang dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk ambil tindakan kepada pihak yang menyebarkan berita palsu.
"Jadi bukan kerana antivaksin tetapi kerana berita (palsu) yang mereka sebar kita boleh ambil tindakan.
"Khairy Jamaluddin sudah cakap semalam dan kita bersetuju dengan apa yang disebutkan beliau," katanya.
Semalam, Khairy Jamaluddin, dilaporkan memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.
Tegasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bertindak dengan membuat beberapa laporan polis terhadap beberapa kumpulan antivaksin.
Bagaimanapun, katanya, beberapa kumpulan antivaksin dilihat masih berdegil dan berterusan menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin Covid-19 hingga mengancam kesihatan awam.
Tinggalkan Komen