Kasih Dan Mengasihani Dalam Rumahtangga.

Seorang teman meminta saya menyentuh isu kasih dan mengasihani dalam keluarga. Ada perbezaan maksud antara kasih dan mengasihi dengan kasih dan mengasihani. Pada kali ini saya akan menyentuh isu kasih dan mengasihani seorang suami kepada isterinya dan isteri kepada suaminya.



Ramai pasangan yang beranggapan menunjukkan kasih sudah memadai untuk membahagiakan pasangan. Ucapan I love U, pemberian bunga dan hadiah mahal-mahal, berjalan berpimpin tangan, bergambar dengan penuh romantik menjadi kayu ukur “loving couple” yang dinilai orang. Malangnya ramai yang tidak menyedari cerita disebalik keceriaan yang ditunjukkan di khalayak. Mungkin benar bagi sebahagian pasangan tetapi tidak kurang juga berlaku insiden di luar kawalan apabila berada di rumah.

Rupa-rupa di rumah suka mendera isteri, suka melawan cakap suami, suka mengherdik dan menghina pasangan dengan perkataan buruk, suka membesarkan kesilapan kecil, suka mengungkit kisah lampau dan banyak lagi suka yang membawa akibat buruk sehingga berlaku pergaduhan dan perceraian.

Ramai pasangan yang mengabaikan aspek mengasihani pasangan terutama ketika sedang marah atau emosi yang tidak stabil. Akibat daripada tiadanya penekanan aspek mengasihani, timbul dalam rumah tangga pengabaian hak suami dan hak isteri, penderaan mental, emosi dan fizikal kepada pasangan dan sebagainya. Sifat mengasihani ini boleh melindungi suami atau isteri daripada melakukan tindakan yang di luar batas kemanusiaan. Apatah lagi yang boleh melukakan hati dan fizikal pasangan masing-masing.



Perasaan kasih (mawaddah) dan mengasihani (rahmah) ini merupakan anugerah Allah swt kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga. Ia dicampakkan ke dalam hati suami atau isteri untuk menunjukkan reaksi yang positif dalam bentuk cinta dan kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Hasil gabungan antara kasih (mawaddah) dan mengasihani (rahmah) inilah yang akan membentuk sebuah rumahtangga yang sakinah.

Firman Allah SWT dalam surah Rom ayat 21;

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, Supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu mawaddah dan rahmah (belas ihsan). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Ulama mentafsirkan mawaddah sebagai perasaan kasih sayang, terutamanya dalam hubungan antara suami isteri. Rumah tangga mereka kembali aman dan damai dilimpahi kasih sayang Allah SWT ke atas mereka. Perasaan mawaddah ini juga akan melahirkan keserasian dalam membina kebahagiaan rumah tangga yang berteraskan iman dan takwa kepada Allah SWT. Kasih sayang sangat penting dalam membina kerukunan hidup berkeluarga. Kasih sayang akan menghasilkan perasaan ingin melindungi dan hormat menghormati antara ahli keluarga. Saling bantu membantu dan bekerjasama membina keluarga. Sikap ini akan menguatkan lagi hubungan silaturahim antara keluarga dan masyarakat luar.

Perasaan kasih ini juga adalah sejenis cinta membara yang didorong oleh kekuatan nafsu kepada pasangannya. Allah SWT mengurniakan perasaan ini kepada setiap makhluknya yang bernyawa sama ada haiwan atau manusia. Tujuan perasaan ini wujud bagi membantu melestarikan perjuangan untuk meneruskan pertambahan zuriat dan generasi akan datang. Perasaan inilah yang mendorong manusia mencari pasangan hidup dan menambahkan zuriat. Mawaddah adalah sejenis cinta yang lebih bersifat kebendaan dan material. Cinta yang berputik kerana kejelitaan, kecantikan, ketampanan, kekacakan, tubuh badan yang mengiorkan, cinta pada harta benda, pangkat, kedudukan, darjat dan sebagainya.



Kebiasaannya perasaan kasih muncul pada pasangan yang baru mendirikan rumahtangga. Alasannya mungkin kerana bentuk fizikal pasangan yang baru bertemu itu sangat kuat dan kukuh. Baru mengenali hati budi masing-masing. Tubuh badan yang saling menarik dan mengiorkan. Liuk lintuk yang masih baru dan tingkah laku yang masih dalam bentuk lakonan dan drama. Semua ini adalah daya tarikan yang menyuburkan perasaan kasih antara pasangan. Perasaan ini suatu yang normal dan tidak berdosa. Tiada kesalahan jika kita menyukai isteri atau suami kita kerana faktor kecantikan atau ketampanannya. Cuma perasaan itu tidak akan bertahan lama kiranya tidak disertai dengan nilai agama, akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Ulama mentafsirkan perkataan rahmah sebagai anugerah Allah yang membawa maksud keampunan, anugerah, kurnia, rahmat, belas kasihan dan juga rezki. Rahmah adalah sifat mengasihani yang lahir daripada lubuk hati pasangan. Sifat mengasihani ini perlu dalam kehidupan suami isteri. Perasaan inilah yang menjadi kekuatan dan daya penarik untuk kelangsungan sebuah rumahtangga. Tanpa sifat mengasihani akan muncul suami atau isteri yang kering hatinya. Mudah tercetusnya pergaduhan dan pertengkaran antara satu sama lain.

Masing-masing tidak mahu mengalah dan memenangkan diri sendiri. Suami atau isteri yang tiada sifat mengasihani dalam hatinya amat cepat naik marah dan cepat juga tangan melayang. Tengok isteri dengan perasaan rahmah, ertinya tengok isteri dengan perasaaan belas kasihan. Andainya isteri melakukan kesalahan dan dosa, bagi nasihat dan teguran dengan perasaan ehsan. Begitu juga tengok anak dengan rahmah, ertinya tengok anak dengan belas kasihan. Tegur dan nasihat anak-anak dengan perasaan ehsan.

Sifat mengasihani (rahmah) merupakan sejenis cinta dan kasih sayang yang bersifat lembut. Ia terpancar daripada hati yang tulus suci dari cahaya keimanan. Sifat ni mendorong seseorang untuk berkorban, melindungi orang yang dicintai tanpa sebarang syarat dan harga yang perlu dibayar. Seorang suami sanggup membanting tulang, bekerja siang dan malam semata-mata untuk menggembirakan si isteri. Seorang isteri bersedia mengorbankan waktu rehat setelah pulang bekerja, melayan suami walaupun penat, meneruskan kerja-kerja rumahtangga, membasuh pakaian, mengemas rumah, memasak dan sebagainya demi memastikan keharmonian rumahtangga terjamin.

Seorang suami atau isteri bersedia memaafkan kelemahan pasangan dan menerima pasangan seadanya kerana sifat rahmah yang dikurniakan Allah SWT. Sekiranya kasih (mawaddah) adalah cinta yang lebih kepada material dan fizikal, maka mengasihani (rahmah) pula adalah cinta yang bersifat rohani yang lahir dari sanubari hati manusia. Sifat ini akan muncul apabila niat pertama pasangan yang melansungkan perkahwinan itu adalah kerana mengikuti perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW serta bertujuan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.



Kebiasaannya sifat mengasihani ini muncul pada pasangan yang sudah lama berkeluarga. Ini berlaku kerana ikatan hati dan perasaan yang sangat kuat. Mereka saling memerlukan, saling memberi, saling menerima, saling memahami dan saling bekerjasama. Apabila sifat mengasihani mendominasi hati dan jiwa, ketika itu bentuk fizikal pasangan bukanlah satu persoalan yang besar.

Seorang datuk yang berusia 75 tahun contohnya, masih menyintai dan menyayangi isterinya yang berusia 75 tahun. Sudah tentu perasaan cinta dan sayang itu bukan kerana kecantikan dan bentuk tubuh badan isterinya. Ada lagi sebab lain yang menyebabkan perasaan itu masih kukuh dan kuat. Itulah yang dikatakan rahmah dalam perkahwinan.

Sebenarnya tidak ada satu prinsip yang lebih mantap mengenai pergaulan hidup dan perhubungan bersuami isteri selain daripada apa yang tersurat dan tersirat dalam ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Menurut Prof. Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas.

Kesimpulannya, rumahtangga yang sakinah akan terbentuk apabila setiap ahlinya menyuburkan sifat kasih dan mengasihani dalam diri masing-masing. Di mana kedua-dua perasaan ini tidak akan datang secara automatik. Dia perlu diusahakan, disuburkan dan diberi baja yang boleh menjamin jangka hayatnya dalam rumahtangga. Dia bermula dengan niat yang betul kepada Allah SWT, tawakal yang tinggi kepada takdir Allah SWT, ibadat dan doa yang berterusan, semuga Allah SWT sentiasa memelihara kerukunan rumahtangga. Dia tidak datang secara percuma dan semudah lafaz akad nikah.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen