"Ada ke patut satu episod bayar RM250?" - Fauziah Nawi kecewa produksi aniaya anak seni

Oleh: Zuzu Yasmine

Pelakon veteran, Fauziah Nawi meluahkan rasa kecewa apabila segelintir penggiat seni terpaksa menerima bayaran tidak masuk akal disebabkan alasan pandemik.

“Ada patut ke 20 episod dibayar RM5000 sahaja. Satu episod jatuh RM250. Ya Allah kejamnya!,” coretnya dalam Facebook.

Dari RM800 turun ke RM250.

Memetik laporan Kosmo, pelakon berusia 58 tahun itu berang akan tindakan tidak berperikemanusian sebuah rumah produksi drama kerana menawarkan bayaran RM250 untuk sebuah episod projek drama.

Pelakon terkenal dengan karya Pondok buruk itu juga mendakwa kadar upah berkenaan tidak logik namun itu tidak berlaku kepada dirinya tetapi kepada pelakon baharu yang mendekati dunia seni.

“Permasalahan itu bukan berlaku kepada saya. Berlaku kepada pemain seni muda dan mereka mengadu kepada saya. Budak-budak baharu, mereka tidak tahu apa-apa dan dengan gaji sebegitu, mereka nak makan apa?

“Saya tak nak dedahkan siapa produksi dan siapa anak seni mengadu tapi tolonglah, mengapa bersikap kejam sampai begitu! Tak baik aniaya orang seni sebegini dan memburukkan industri kita yang memang sudah sedia tenat.

“Zaman saya dahulu sekitar, 1980-an, sebuah episod boleh dapat bayaran RM800 kenapa sekarang turun sampai RM250? Kenapa ‘perdajal’ rezeki orang seni sampai tahap begini! Tak baik bagi cerminan buruk ini buat anak-anak yang baru nak kenal industri,” katanya.

Kalau instafamous sanggup bayar mahal.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-12 itu turut mempersoalkan tindakan kebanyakan produksi drama sekarang yang bersikap pilih kasih. Dedahnya, mereka (produksi) lebih rela melabur wang lebih untuk pemengaruh media sosial yang tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau ‘instafamous’, mereka bersungguh-sungguh bayar sampai RM3000 hingga RM5000 satu episod. Orang yang ada ilmu seni dianiayai sampai bayaran tak masuk akal (RM250 satu episod). Budak-budak (pelakon) tambahan lagilah ada yang dibayar serendah RM80 satu babak atau episod. Itu belum tolak daripada ejen mereka. Entah-entah RM30 je masuk kocek.

“Alasan mereka bagi, sekarang zaman pandemik, semua kos terpaksa ditolak. Adakah itu bermaksud ambil kesempatan dalam kesempitan orang lain. Merosakkan industri dengan budaya kerja sebegini? Tolong fikir.

“Saya tak sampai hati apabila ada budak-budak baharu bersemangat untuk kenal industri mengadu menerima bayaran seperti apa yang saya sebutkan. Ada juga pelakon-pelakon lama dianiaya dengan bayaran ‘ciput’.


“Sampaikan saya fikir, di Malaysia ini, kalau kalian sudah tua, bersara sahajalah. Tak usah sibuk berlakon dan lupakan sahajalah industri sebab kalian semua akan dianiayai dan tak dihargai.

“Saya tak faham mana persatuan, perbadanan atau kementerian yang sepatutnya memperjuangkan nasib orang-orang seni sebab perkara ini tetap terus belaku sampai sekarang tidak terbela. Mana Seniman, Mana FDAM, mana PROFIMA dan lain-lain? Buatlah sesuatu,” getusnya.

Tetap akan pendiriannya, dia juga tidak kisah sekiranya kelantangan ini menyebabkan produksi drama tidak berani untuk mengambil dirinya berlakon dan percaya akan rezeki Allah.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen