Mengaku miliki dadah, warga emas berusia 80 tahun dihukum penjara

Oleh: Zuzu Yasmine

Gara-gara miliki dadah jenis methamphetamien tahun lalu, seorang lelaki warga emas berdepan hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen Tawau, Sabah, semalam.

Memetik laporan Astro Awani, keputusan dibuat oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas tertuduh, Hashim Sahipa, 80 mengaku bersalah selepas pertuduhan miliki 30.75gram methamphetamine dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, dia bersama isterinya Roaina Ali, 70, didakwa memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah atas air tidak bernombor di Kampung Batu, Semporna, jam 4 petang, 17 Disember 2020.

Pasangan warga Filipina itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Dalam pendakwaan tersebut, Hashim mengaku memiliki dadah berkenaan, manakala Roaina tidak mengaku bersalah.

Hashim dalam pengakuannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa dadah itu miliknya dan tidak ada kaitan dengan Roaina. Hakim kemudian membuat keputusan Roaina dilepaskan tanpa dibebaskan.

Sebelum ini, pasangan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan selepas pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menemui 57.04 gram hablur putih dipercayai Methamphetamine dalam serbuan di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pendakwaan menukar pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) selepas laporan kimia mendapati berat sebenar Methamphetamine yang dirampas adalah 30.75 gram.

Artikel Lain

Tinggalkan Komen