Kisah Umar Al-Khattab Dengan Gadis Penjual Susu.

Umar Al-Khattab mempunyai banyak kelebihan dari segi sifat dan perwatakannya, begitu juga dalam pemerintahannya. Beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang berani, tegas, zuhud dan merendah diri dan sangat mengutamakan perlaksanaan hukum ajaran Islam dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Oleh itu beliau sangat disegani, baik kawan atau lawan.



Selain itu, Umar al-Khattab juga memiliki perasaan cinta dan kasih sayang yang tinggi terhadap golongan miskin. Beliau sanggup melakukan rondaan malam secara sembunyi demi melihat keadaan rakyat dengan matanya sendiri.

Suatu malam, beliau bersama sorang pembantunya melakukan rondaan seperti malam-malam sebelumnya. Ketika melewati sebuah rumah kecil dan daif, Umar al-Khattab berasa curiga melihat lampu rumah itu yang masih menyala. Rupa-rupanya dalam rumah itu masih ada penghuninya yang belum tidur.



Beliau merapati rumah itu dan cuba meneliti perbualan mereka. Dari balik dinding rumah itu, Khalifah Umar al-Khattab cuba mengintip dan kelihatan seorang ibu tua dengan seorang gadis sedang sibuk menadahi susu.

“Wahai ibu, kita hanya mendapat beberapa bekas susu ini sahaja untuk hari ini,”

Kata anak perempuan itu kepada ibunya.

“Anakku, kita campurkan saja susu itu dengan air.”

Cadang ibunya. Anak gadis itu tercengang dan ditatapnya wajah ibu yang sudah tua itu.

“Tidak, Ibu.”

Katanya cepat.

“Khalifah melarang keras penjual susu mencampur susu dengan air.”



Tegas anak gadis itu lagi.

“Tapi khalifah tiada di sini dan beliau tidak akan nampak, anakku.”

Balas ibunya.

“Wahai ibu, meskipun tidak ada seorang pun yang nampak, tapi Allah tetap melihat. Allah pasti mengetahui segala perbuatan kita walau serapi manapun kita menyembunyikannya,”

Tegas anak gadis itu kembali.

Ibunya hanya menarik nafas panjang. Kecewa hatinya mendengar anaknya tidak mahu menuruti cadangannya. Namun, jauh di lubuk hatinya dia begitu bangga akan kejujuran anak gadisnya.

“Aku tidak mahu melakukan ketidakjujuran pada waktu ramai mahupun sunyi. Ibuku, aku yakin, Allah s.w.t tetap selalu mengawasi setiap yang kita lakukan setiap saat.”

Kata gadis itu lagi.

Tanpa berkata apa-apa, ibunya masuk ke bilik dan gadis itu menyelesaikan pekerjaannya sehingga selesai. Di luar rumah itu, Umar al-Khattab tersenyum kagum akan kejujuran gadis muda itu. Lalu Umar al-Khattab menarik pembantunya menjauhi rumah itu dan berkata;

“Wahai Aslam, tidakkah kau mendengar akan kata-kata anak gadis itu tadi?”

Pembantunya hanya mengangguk tanda dengar.

“Tandakan rumah ini supaya esok kita akan kembali ke sini lagi dan agar kita tak lupa rumah yang sentiasa didoakan malaikat ini!”

Pesan Umar al-Khattab kepada Aslam.



Umar al-Khattab benar-benar terkesan dengan kata-kata gadis itu bahkan bertekad untuk melakukan sesuatu.

“Siapakah gadis itu? Jelmaan Malaikatkah dia? Keimannanya begitu sempurna dan tertanam kuat.”

Ingatan Umar al-Khattab pada gadis itu semakin kuat atas keimanan dan kejujurannya, dan tertanya akan gerangan gadis itu sebenarnya.

Lalu beliau meminta Aslam pergi semula ke rumah itu dan menyiasat akan gadis itu.

Pembantunya lalu mula menyiasat perihal gadis itu dengan menemui jiran tetangganya. Dia mendapat tahu bahawa dalam rumah itu hanya terdapat dua penghuni iaitu seorang tua yang sudah ketiadaan suami bersama anak gadisnya itu yang menjadi penjual susu di pasar.

Aslam segera menyampaikan maklumat itu kepada Khalifahnya. Umar al-Khattab sangar tertarik dengan maklumat itu dan memikirkan ikatan keimanan dari gadis itu. Lalu dipanggil semua putera dan puterinya dan diceritakannya tentang gadis jujur penjual susu itu, dan mencadangkan penikahan dengan gadis itu.

“Gadis yang akan aku jodohkan ini pasti akan mengembarakan pasangannya kerana dia adalah gadis yang baik-baik dan akan mendapat keturunan yang lebih baik. Gadis itu bukan takut pada manusia. Tapi takut pada Allah yang Maha Melihat.”

Kata Umar al-Khattab kepada anak-anaknya; Abdullah, Abdurrahman, Hafshah, Ruqayyah, Zaid, Ubaiddillah dan Ashim. Hanya Ashim yang belum bernikah ketika itu.

“Wahai bapaku, aku belum beristeri, nikahilah aku dengannya.”

Pinta Ashim anak Umar al-Khattab yang paling bongsu daripada isterinya yan bernama Jamilah.

“Baiklah, anakku menikahlah dengan gadis itu. Aku sangat menyukai kejujurannya.”

Kata Khalifah Umar al-Khattab.

Selepas Ashim menikah dengan gadis itu, kehidupan mereka sangat bahagia, penuh kasih sayang dan membahagiakan kedua-dua ibubapa mereka.

Daripada pasangan inilah yang kelak lahirnya keturunan yang beriman, alim, qadi, ahli politik, pemimpin yang berwibawa serta khalifah umat; iaitu Umar Abdul Aziz atau Umar II yang begitu mirip kepimpinannya dengan moyangnya.

Semoga dewasa ini, akan lahir lebih ramai ‘Umar’ dalam kalangan umat Islam, agar dapat menegakkan agama suci ini melalui keteladanan dan kepimpinan yang benar-benar bertunjangkan hukum Allah s.w.t.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen