Dah macam anak kandung, beza agama bukan penghalang menantu & mentua jadi akrab

Oleh: Zuzu Yasmine

Orang kata, rumah tangga akan lebih bahagia apabila hubungan baik terbina di antara menantu dan juga mentua, malah layanan seperti keluarga kandung sendiri tentunya sangat membantu hubungan suami isteri.

Hal yang sama dilalui wanita dikenali sebagai Farah Diana ini apabila perbezaan kaum dan agama tidak menghalang untuk dia dan ibu mentuanya, K Leelawathe untuk menjadi akrab.

Berkongsi kemesraan dengan ibu mentuanya dia platform TikTok, ramai warganet yang kagum melihat hubungan menantu dan mentua ini.

Dalam video yang dikongsikan itu, ibu mentuanya yang berusia 62 tahun yang terlihat ceria memuji kecomelan Farah Diana yang ketika itu menjemputnya dengan kereta di rumah untuk keluar berjalan.

Memetik laporan Harian Metro, wanita berusia 32 tahun berkata, dia mula rapat dengan ibu mentuanya itu sejak berumah tangga dengan suaminya, Mohd Haikal Patmanathan Abdullah, 31.

Katanya, bukan setakat ibu mentua, bahkan seluruh keluarga suaminya termasuk adik-beradik ipar menerima kehadirannya tanpa prejudis.

"Sejak awal perkenalan dengan suami emak (ibu mentua) menerima saya malah dia tidak pernah menghalang sebaliknya merestui hubungan kami.

"Lagipun, suami sudah lama memeluk Islam iaitu sejak 2007 lagi jadi tidak timbul isu atau konflik disebabkan perbezaan agama.

"Saya gembira apabila diterima baik keluarga suami kerana emak dan ayah saya sudah meninggal dunia. Jadi, saya kini tiada siapa melainkan suami, adik-beradik dan keluarga mentua untuk menumpang kasih," katanya.

Menyedari datang daripada latar belakang berbeza, Farah Diana sejak awal lagi berusaha menyesuaikan diri dengan keluarga mentua supaya tidak wujud jurang antara mereka.

"Bagi saya, apa yang penting adalah kita pandai bawa diri, tak sombong dan cuba berborak apabila bersua.

"Apabila datang ke rumah emak, saya akan bawakannya makanan dan alhamdulillah, anak saudara sebelah suami pun sukakan saya.

"Itu yang saya amalkan daripada awal perkenalan dengan suami hingga sekarang," ujarnya.

Menurut Leelawathe yang juga bekas pesakit barah payudara pula, dia amat menyayangi Farah Diana dan menganggap menantunya itu seperti anak kandung sendiri.

"Hubungan kami macam emak dan anak kandung serta ada kalanya seperti rakan baik. Kami sering keluar bersama dan saya juga sering ajaknya datang ke rumah untuk makan kerana tinggal berhampiran.

"Dia juga ada bawa makanan dimasaknya sebagai buah tangan untuk saya dan setakat ini, hubungan kami baik malah saya juga jamunya dengan makanan ketika perayaan Deepavali.

"Jujurnya saya tiada masalah ada menantu daripada agama berlainan kerana abang kandung dan ada ahli keluarga lain yang sudah memeluk Islam," jelasnya.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen