Kecewa cinta ditolak setahun lalu, lelaki tekad bakar kereta kekasih hati

Oleh: Zuzu Yasmine

Baru-baru ini, tular di media sosial akan rakaman seorang lelaki dipercayai bertindak membakar kereta seorang wania di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, pada Ahad lalu.

Memetik laporan Harian Metro, gara-gara cintanya ditolak, perbuatan lelaki berusia 29 tahun itu akhinya  menyebabkan sebuah kenderaan lain yang diparkir bersebelahan turut musnah terbakar.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian jam 5.20 pagi disedari jiran yang segera memaklumkan kepada mangsa.

"Mangsa turun ke bawah pangsapuri untuk melihat keretanya dan mendapati pihak bomba sedang memadamkan kebakaran.

"Berdasarkan soal siasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menahan suspek di kawasan Bandar Kinrara pada hari sama," katanya.

Anbalagan memaklumkan, pihak polis turut merampas sebuah motosikal, sepasang kasut dan pakaian serta pemetik api yang digunakan semasa kejadian.

"Hasil soal siasat, suspek mendakwa membakar kereta mangsa kerana tidak puas hati selepas cintanya ditolak sejak setahun lalu.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah," ujarnya.

Katanya, suspek direman lima hari bermula semalam sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi satu minit 28 saat menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal berhenti berhampiran kereta mangsa lalu menyimbah sesuatu dipercayai minyak dan menyalakan pemetik api.

Artikel Lain

Tinggalkan Komen