8 Langkah Menguruskan Kewangan Dengan Bijak dan Sistematik.

Kalau kita tidak merancang, maka kita merancang untuk gagal. Kemahiran menguruskan wang. Sama seperti kemahiran menjadi ibu bapa.

Kemahiran ini tidak diajar di sekolah-sekolah mahupun universiti. Sedangkan kita mula menguruskan wang sendiri sepenuhnya sejak memperoleh gaji atau pendapatan pertama sehinggalah kita meninggal dunia kelak.



Ada orang pandai pandai menjana pendapatan melalui pendapatan kerjaya profesional tetapi tidak pandai menguruskan duit gaji dan kekayaan yang diperoleh. Ini adalah satu kesilapan kerana duit tadi tidak dapat menjadi hamba kepada kita. Sepatutnya kekayaan yang diperoleh itu diuruskan dengan baik supaya setiap tahun pembayaran zakat kita bertambah, waris-waris kita tidak menjadi miskin atau kita dapat menyumbang semula kepada masyarakat dengan lebih baik.

Zaman hari ini ramai golongan wanita sudah independent dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan suami semata-mata. Ini kerana ramai golongan profesional juga adalah dari kaum wanita. Jadi, adalah tidak wajar jika hanya menunggu suami sahaja memulakan pengurusan kewangan. Jika suami tidak mahu memulakan, puan seharusnya memulakan langkah untuk masa depan puan dan anak-anak. Berikut adalah 8 langkah untuk tuan puan yang serius menguruskan wang dengan bijak dan sistematik.



1. Mempunyai Matlamat Kewangan.

Tuan mesti tahu apa yang tuan mahukan dalam hidup. Misalnya, apa yang tuan mahu pada usia persaraan ? Apakah simpanan untuk persaraan nanti adalah mencukupi jika diambil kira faktor-faktor kenaikan kos sara hidup, inflasi yang berlaku saban tahun ?

Benar, barangkali persaraan itu hanya berlaku lagi 10, 20, 30 tahun akan datang? Namun tuan harus ingat buah durian yang dimakan hari ini pokoknya bukan ditanam semalam.

Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek – sederhana – panjang. Mulakan dengan matlamat paling jauh. Apabila kita mempunyai satu pandangan jauh, kita telah menetapkan langkah yang betul untuk berjaya. Kerana itulah Islam menyuruh kita berfikir mengenai mati, kerana keyakinan kita mengenai syurga neraka, kehidupan alam akhirat menyebabkan kita bersungguh-sungguh bekerja dengan penuh amanah di dunia.

2. Mempunyai Sumber Pendapatan yang Mencukupi.

Dalam surah Yusuf, ayat 47 ada menyebut tentang kepentingan menanam selama 7 tahun dengan bersungguh-sungguh.

Ya, bukan sekadar menanam, tetapi menanam dengan bersungguh-sungguh.

Dalam erti kata lain, sama ada kita makan gaji atau bekerja sendiri kita perlu benar-benar berjaya (termasuklah memperoleh gaji tinggi) dalam bidang kita. 7 tahun zaman senang itu tadi adalah untuk menghadapi 7 tahun zaman susah. Jika kita tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi maka sukar untuk mempunyai simpanan yang mencukupi kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.



Hari ini mempunyai satu sumber pendapatan sahaja adalah tidak mencukupi. Paling kurang kena ada pendapatan kedua iaitu dari sumber peaburan.

3. Simpan Sebelum Belanja.

Ayat 47, surah Yusuf juga menyebut dengan jelas hasil-hasil tanaman itu tadi perlu disimpan dalam bentuk tangkai dahulu selebihnya baru makan.

Itulah panduan yang terbaik, iaitu menyimpan dahulu selebihnya baru dibelanjakan. Ini adalah satu petunjuk agar kita semua mempunyai disiplin atau habit delay gratification iaitu menangguhkan kepuasan.

Sekiranya tuan membelanjakan semua pendapatan terlebih dahulu dan jika ada lebih baru simpan, maka itulah langkah paling berkesan untuk mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang.

Jadi, gunakan formula ini: Gaji – Simpanan = Belanja.

Mudah.



4. Berbelanja Dengan Bijak.

Tuan perlu menyusun keutamaan perbelanjaan.

Bermula dengan keperluan-keperluan asas hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Disusuli dengan kehendak-kehendak kemudian barulah kemewahan.

Dalam hal ini, penyata kewangan (financial statement) peribadi memainkan peranan penting sebagai langkah pertama untuk berumla. Angka-angka dalam penyata kewanganan adalah data terbaik yang tuan ada sama ada selama ini tuan sebenarnya banyak berbelanja untuk harta (asset) atau pun beban (liability)

Dari Penyata kewangan juga dapat menentukan sama ada kita patut menumpukan membaiki aliran tunai, menyelesaikan hutang atau dapat terus memulakan pelaburan secara serius.

5. Menguruskan Risiko Kewangan.

Risiko kewangan adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.

Apa yang tuan dapat buat adalah menguruskan risiko tersebut dengan efektif. Bagi kebanyakan orang, cara paling mudah menguruskan risiko kewangan adalah dengan mengambil produk-produk takaful (insurans patuh Shariah).

Dan untuk menjadi seorang yang betul-betul berjaya dalam pengurusan kewangannya, ilmu adalah sangat penting kerana produk takaful tidak mampu menguruskan semua risiko kewangan tuan. Adakah ada produk takaful yang dapat melindungi tuan dari inflasi, kejatuhan ekonomi atau kemerosotan bisnes?

6. Membayar Zakat & Cukai.

Zakat dan sedekah merupakan proses 3+1.

Dengan banyak memberi, kita dapat menyucikan harta, melindungi harta dan mengembangkan harta sekaligus. Harta-harta yang kita beri ini sama sekali tidak berkurangan, malah semakin bertambah dengan cara yang Allah sahaja yang tahu.

Zakat hanya untuk harta halal, manakala harta dari sumber haram kita perlu bersihkan 100%.

Manakala cukai pula ia adalah kewajipan seorang rakyat kepada sesebuah negara. Dari duit cukai yang kita bayar, maka ia membolehkan kerajaan memberikan kita pelbagai infrastruktur asas jalan, sekolah, longkang, hospital dan keperluan lainnya.

7. Membuat Pelaburan Yang Bijak.

Simpanan yang kita telah buat itu antaranya adalah untuk dijadikan modal pelaburan. Tujuan pelaburan kita adalah untuk kegunaan menunaikan haji, tabung persaraan, tabung pendidikan anak-anak, tabung percutian dan apa-apa sahaja matlamat kewangan kita.

Kita perlu tahu menyusun strategi pelaburan dengan bijak. Ini kerana ramai orang yang melabur, tetapi berapa ramai yang telah melabur dengan bijak ? Barangkali nota di bawah dapat membantu:

8. Membahagikan Harta.

Setelah kita berjaya mengumpul harta, jangan lupa menyediakan exit strategy. Ini kerana kita semua pasti mati.

Pastikan harta-harta tuan sudah ada penama dan jika perlu boleh gunakan wasiat, hibah, wakaf, pengsiytiharan harta sepencarian dan pemegang amanah (trustee). Itu semua dibuat berdasarkan apa kemahuan tuan sendiri.

Jika harta-harta ini tidak diuruskan dengan baik, sekiranya waris-waris tuan pandai menguruskannya dan dapat berpakat maka senang hidup tuan dalam kubur. Jika sudah berebut harta, hukum faraid pun dilanggar sahaja.

Pembahagian harta semasa hidup juga penting sekiranya tuan mempunyai anak angkat, kes anak luar nikah, anak susuan, berkahwin lebih dari seorang dan tidak mempunyai anak lelaki. Jangan sampai harta beku dan orang yang kita sayang menjadi miskin sebab kelalaian kita dalam urusan ini.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen