Wajibkah Isteri Melakukan Kerja-Kerja Rumah.

Jika ada yang bertanyakan saya soalan sebegini, saya akan mengatakan jawapannya berdasarkan perincian berikut:



1. Asas bagi sebuah rumah tangga sebagaimana yang digariskan oleh Allah ialah:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۚ
“Bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik” [al-Nisa’].

وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِى عَلَيۡہِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۚ
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)” [al-Baqarah].

2. Kedua ayat di atas ialah asas bagi segala jenis interaksi dalam menunaikan suatu amalan dalam rumah tangga, iaitu suami isteri perlu saling melakukan “the best” kebaikan yang termampu dilakukan masing-masing terhadap pasangannya selagi tidak melanggar batasan syarak sama ada dari sudut perbelanjaan, interaksi, kegembiraan, kerja rumah dan sebagainya.



3. Rumah tangga ialah sebuah KOMITMEN…Pasangan yang bersedia untuk mendirikan rumah tangga seharusnya sudah memahami komitmen-komitmen yang bakal ditempuhinya baik untuk diri, pasangan, anak-anak, keluarga dan pelbagai lagi. Bukan sekadar ikatan yang menghalalkan antara dua insan atau berjimba sakan.

4. Asas kebahagiaan dalam sebuah rumah tangga ialah PERSEFAHAMAN…Maka tugasan rumah tangga baik sudut luaran dan dalaman perlu kepada komunikasi, persefahaman dan toleransi yang tinggi antara pasangan.

5. Tiada nas yang mewajibkan isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak, mencuci baju dan seumpamanya, malah Islam tidak mensyariatkan perkahwinan buat lelaki untuk menjadikan isterinya seperti khadam/pembantu rumah, bahkan sebagai tulang rusuk yang perlu didampingi. Namun ada ketikanya ia menjadi tuntutan atau kewajipan dalam beberapa situasi berikut:

a) Jika wujud perjanjian antara pasangan untuk membahagikan tugasan masing-masing, contoh: Suami berjanji akan berkerja sebaiknya untuk menjana ekonomi rumah tangga, manakala isteri pula tidak mahu berkerja dan berjanji akan menguruskan tugasan dalaman rumah tangga.



b) Jika suami sudah memikul tugasan luaran seperti mencari nafkah, menyediakan keperluan rumah, makanan, menguruskan kenderaan dan seumpamanya, manakala isteri pula sebagai suri rumah. Maka dalam situasi ini wajar untuk isteri membantu menguruskan tugasan dalaman rumah tangga.

Hal ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhariy dan Muslim yang mafhumnya Fatimah RA mengadu kepada Rasulullah SAW akan bebanan menguruskan rumah tangga yang dialaminya, lalu Rasulullah menasihatinya supaya bersabar kerana Ali RA suaminya gigih dan sibuk dengan tanggungjawab urusan luaran rumah tangga.

c) Jika suami mengarahkan isterinya seperti memintanya secara khusus untuk membuat kopi untuknya atau masakkan sesuatu misalnya atau apa-apa sahaja yang makruf, itu hak suami yang perlu ditunai oleh isteri. Sama seperti seorang anak lelaki itu perlu taat pada kedua ibu bapanya dalam hal yang tidak melanggar syarak baik dalam keadaan yang senang buatnya atau tidak. Sama seperti kewajipan-kewajipan yang perlu ditunai suami terhadap hak isterinya. Dalam suatu hadis:

“Jika seorang wanita itu (mampu menjaga) solat 5 waktunya, berpuasa pada bulannya, menjaga faraj (maruah)nya, taat pada suaminya, nescaya akan masuk syurga dari mana-mana pintu syurga yang dikehendakinya” [Ahmad & Ibn Hibban].

d) Jika suaminya seorang yang sangat tidak mahir atau tidak gemar dan tegar tidak mahu melakukan kerja-kerja rumah atau membantu isteri melakukannya, maka dalam hal ini, jika isteri bertoleransi untuk melakukannya dengan penuh kebijaksanaan, ia akan dianggap satu amalan dan khidmat besar sang isteri pada keluarganya persis seorang anak lelaki yang berbakti kepada kedua ibu bapanya walaupun ibu bapanya barangkali tidak melayannya dengan baik.

Seorang isteri yang berhadapan dengan suami yang “liat” membantu kerja-kerja rumah tetap perlu menjaga adab interaksi dengan suami tanpa perlu menyindir, memberontak dan sebagainya. Bukan mudah suatu “birr (bakti)” itu dicapai lagi-lagi ketika ia mneyelisihi keinginan diri.

6. Suami yang bijak dan baik ialah suami yang sangat perihatin terhadap isterinya…Terutama dalam suasana zaman kini di mana para wanita dan isteri ramai yang berkerja membantu ekonomi keluarga. Maka apa salahnya urusan dalaman rumah tangga juga dikongsi bersama? Cukuplah Rasulullah SAW sebagai teladan kita. Pernah Aisyah RA ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah di rumah baginda? Jawab Aisyah RA:

“Baginda sering berkhidmat untuk keluarganya, lalu jika tiba waktu solat, beginda akan keluar bersolat”…Dalam riwayat Ahmad mafhumnya: “Baginda juga manusia, yang membasuh bajunya, memerah susu dari kambingnya…”…Dalam riwayat lain: “Baginda juga menjahit bajunya, menguruskan kasutnya, dan melakukan kerja-kerja lelaki di rumah mereka”…



7. Sebahagian ulama juga mengatakan, perlu untuk diperhalusi ‘urf (tradisi) masyarakat setempat, dan keluarga isteri itu sendiri. Jika isteri pilihannya itu sememangnya dari kecil goyang kaki bak puteri yang dikhidmat orang gaji, maka jika mampu, suaminya perlu menyediakan orang gaji juga untuk membantu isteri dan rumah tangganya. Jika tidak, masakan para sahabat RA dahulu mempunyai “jariyah-jariyah” di rumah mereka? Sudah pasti untuk berkhidmat pada isteri dan rumah tangga mereka. Jangan lupa para isteri dan wanita itu wasiat Rasulullah SAW buat kaum lelaki dan suami untuk dipelihara sebaik-baiknya.

”استوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع…”

8. Meskipun demikian, biasanya seorang isteri yang pandai menguruskan rumah tangganya dan menyediakan makanan pada suaminya dengan air tangannya sendiri lebih disayangi suami dan membantu mengukuhkan “bonding” suami isteri.

Anak lelaki yang berbakti kepada ibu bapanya insyaAllah akan mendapat isteri yang berbakti kepadanya. Manakala isteri yang berbakti kepada suaminya pula insyaAllah akan mendapat anak-anak yang berbakti kepada mereka jua. Begitulah hukum putaran alam. Jika tidak mampu, berbincanglah secara hikmah mencari penyelesaian terbaik, bukan menzahirkan penentangan dan protes terhadap sang suami di FB merasakan diri pejuang hak asasi wanita meraih simpati.



Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen