Isteri Nusyuz Tidak Layak Terima Nafkah.

Seorang isteri yang baik jika dia kenal serta beriman dengan Allah, maka dia akan tahu nikmat dan azab yang Allah sediakan kepadanya sama ada patuh atau ingkar dengan sesuatu yang telah ditetapkan untuknya. Hatinya mudah lembut, terdidik dan menerima akan segala nasihat atau teguran yang baik-baik. Sebab itulah, perkara pertama yang menjadi tanggungjawab sebagai suami apabila diijabkabulkan ialah memastikan agar isterinya betul-betul mengenali Allah. Kerana itulah Islam menggariskan syarat, pilihlah wanita yang beragama untuk dijadikan isteri, maka perkara yang lain akan turut mengiringinya. Jika berlandaskan nafsu dan keinginan hati semata-mata, maka timbullah pelbagai pergolakan jika tiada persefahaman dalam hubungan antara Sang Pencipta dengan hubungan sesama manusia.



Isu yang akan diketengahkan kali ini ialah mengenai status penerimaan nafkah sekiranya si isteri itu nusyuz dalam perkahwinannya. Benarkah isteri yang curang pada suami adalah isteri yang nusyuz? Jika isteri nusyuz, benarkah dia tidak layak menuntut apa-apa nafkah, termasuk nafkah idah?

Isteri nusyuz ialah keluar dari ketaatan suaminya. Suatu tindakan yang dilakukan oleh isteri yang dianggap menentang kehendak suami dengan tidak ada alasan yang munasabah menurut hukum syarak. Tindakan itulah dikira derhaka. Isteri yang berlaku curang juga diistilahkan ‘nusyuz’ kerana tidak mentaati suaminya. Suami seharusnya memberi pengajaran sebagaimana diajar dalam al-Quran.



Firman Allah SWT bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.

“Maka perempuan yang soleh ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.

“Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan bertujuan mengajarnya).

“Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa, ayat 34) Jika nusyuz berlaku dalam perkahwinan, suami masih perlu memberi nafkah. Jika berlaku perceraian akibat nusyuz, bekas suami tidak wajib memberi nafkah kepada bekas isterinya, namun nafkah terhadap anak dan tempat tinggal anaknya yang masih di bawah tanggungannya.

9 Tanda Ketidaktaatan Isteri Kepada Suami.

1. Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya.

Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

2. Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain.

Isteri tidak mahu mengikut ajakan suaminya tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.



3. Mengunci diri.

Isteri tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

4. Menolak ajakan suami.

Isteri tidak menyerahkan diri atau melayan tuntutan nafkah ketika suami berhajat kepadanya tanpa ada sebarang keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang munasabah.

5. Mengabaikan panggilan suami.

Isteri tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan urusan atau keperluan peribadinya.

6. Memalsukan perkahwinan.

Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.

7. Jalin hubungan dengan lelaki lain.

Isteri merahsiakan perhubungan sulitnya dengan lelaki lain, selalu chatting, telefon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya.

8. Tidak ditemani mahramnya.

Apabila isteri musafir tidak bersama suami ataupun bukan bersama muhramnya (orang yang haram berkahwin dengannya) walaupun perjalanan yang wajib seperti pergi menunaikan ibadat haji, kerana perempuan yang musafir tanpa diiringi suami atau muhrimnya dianggap sudah melakukan satu perkara yang salah (maksiat).

9. Bersikap kasar.

Apabila isteri bermuka masam atau pun ia memalingkan muka, bercakap kasar dan sebagainya sedangkan suami berkeadaan lemah lembut, bermanis muka dan sebagainya.



Perkara Yang Perlu Suami Lakukan Apabila Isteri Nusyuz.

Apabila suami melihat tanda-tanda yang menunjukkan isterinya itu nusyuz, hendaklah suami itu :

1. Menasihati dengan cara yang baik dan menerangkan kepadanya bahawa nusyuz itu adalah salah dan dikutuk oleh Allah serta memberitahunya bahawa isteri yang nusyuz boleh dipotong atau tidak diberi sara hidupnya, firman Allah dalam Surah An-Nisa : ayat 34 dengan ertinya : “Isteri yang kamu takuti kederhakaan mereka, maka berilah nasihat kepada mereka.”

2. Jika nasihat itu tidak sedikitpun memberi kesan, maka hendaklah suami mengasingkan dirinya dari tempat tidur dengan isteri tersebut, sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nisa : ayat 34 yang bererti : “Dan tinggalkan dari seketiduran dengan mereka.”

Dari ayat ini dapat difahamkan bahawa Allah menyuruh suami-suami meninggalkan dari seketiduran sahaja, bukan meninggalkan percakapan, kerana meninggalkan percakapan lebih dari tiga hari adalah haram, bukan sahaja terhadap isteri-isteri malah terhadap orang lain juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW, ertinya : “Tidak halal bagi seseorang muslim tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari tiga hari. Maksudnya, ialah bila berjumpa di antara satu sama lain, tetapi kalau tidak bertemuan, tidaklah diharamkan walaupun tidak bercakap bertahun-tahun lamanya.”

3. Jika tidak sekatil pun tidak memberi apa-apa kesan, malah isteri tersebut terus nusyuz, maka diharuskan bagi pihak suami memukul isteri tersebut dengan syarat pukulan itu tidak sampai mencederakan atau melukakan sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nisa : ayat 34ertinya : “Dan pukullah mereka (isteri).”

Sekiranya semua langkah perlu sudah anda ambil, tetapi isteri masih belum sedar akan perbuatan nusyuznya, maka anda perlu pula mulakan langkah untuk tidak lagi kekal bersama sebagai suami isteri. Langkah pertama yang dianjurkan Islam adalah melantik seorang wakil di pihak anda dan seorang di pihak isteri bagi membincangkan masalah kamu berdua. Namun, sekiranya itu pun tidak dapat diselesaikan, bawakan kes ini ke muka pengadilan dunia. Bawa isteri ke sisi kaunseling, jumpa kadi atau apa sahajalah tindakan yang boleh memberikan kesedaran kepada isteri yang nusyuz itu.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen