Pernikahan merupakan perkara kebaikan yang amat digalakkan dalam Islam. Bukan sahaja untuk mencegah maksiat malah untuk menambahkan lagi umat Muhammad SAW. Sebelum ke arah itu, kita perlu mengikut adab kesopanan yang telah ditetapkan. Pinangan ataupun lamaran merupakan perkara penting yang perlu diambil tahu terutama untuk anda yang bakal menamatkan zaman bujang. Terdapat beberapa adab lamaran dalam Islam yang perlu diikuti agar tidak berlaku perkara yang tidak sepatutnya.
1. Status pasangan.
Sebelum datang melamar pasangan, si lelaki perlu tahu status wanita yang ingin dipinang. Mestilah ia bukan isteri orang atau pun berada dalam kedaan ‘iddah' selepas bercerai. Perempuan yang telah dipinang oleh saudara Islam yang lain juga tidak boleh dijadikan hak anda. Selain tidak manis dipandang orang, perbuatan ini seolah-olah anda tidak menghormati keluarga perempuan.
2. Melihat pasangan.
Berdasarkan aturan syariah, lelaki dibenarkan melihat bakal pasangannya tetapi dengan syarat ingin menikahinya.
Mughirah bin Syu’bah berkeinginan menikahi seorang perempuan lalu Rasullah SAW bersabda, “Pergilah untuk melihatnya, kerana dengan akan memberikan jalan untuk dapat lebih membina kerukunan antara kamu berdua.” Lalu ia melihatnya, kemudian menikahnya (Riwayar Ibnu Majah)
3. Perigi mencari timba.
Istilah ini sudah tidak asing lagi pada zaman sekarang. Jika ini yang terbaik, maka ia tidak mendatangkan sebarang masalah. Hindarkan rasa malu kerana pinangan yang dibuat adalah ke arah pernikahan demi kebaikan kedua-dua pasangan. Dapatkan persetujuan terlebih dahulu sebelum anda menghantar lamaran untuk mengelakkan berlakunya salah faham dan akhirnya anda sendiri akan berasa malu nanti.
4. Rahsiakan lamaran.
Pinangan antara lelaki dan perempuan tidak boleh dihebohkan seperti walimatul urus perkahwinan. Begitu juga dengan pertunangan. Ini kerana hubungan yang dibina belum lagi sah dan masih perlu mengikuti batasan yang ditetapkan oleh Islam.
Dari Ummu Salamah r.a. berkata bahawa Rasullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kumandangkanlah pernikahan dan rahsiakanlah peminangan”.
5. Personaliti pasangan.
Kenali hati budi dahulu sebelum anda tekad ingin bernikah dengan lelaki tersebut. Jangan tertipu dengan ketampanan dan sifat luaran kerana dalamannya belum tentu yang terbaik buat anda. Carilah pasangan yang soleh, beriman, bertanggungjawab, penyayang dan yang paling penting boleh membimbing anda dan anak-anak kelak ke jalan yang diredhai Allah SWT.
6. Jumlah mahar.
Jangan sesekali berlaku perkara “jual anak” dek kerana taksud dengan jumlah mahar yang tinggi. Pendidikan yang tinggi bukan ukuran anda meninggikan jumlah hantaran hingga membebankan pihak lelaki. Biarlah ia mengikut kemampuan bakal suami dan tiada paksaan dalam pemberian mahar tersebut. Kehidupan selepas berkahwin memerlukan lebih banyak wang. Fikir-fikirlah.
Tinggalkan Komen