10 Tips Pembentukan Rumah Tangga Yang Harmoni.

Oleh: Rafi

Rumah tangga yang normal pasti ada pahit dan manisnya. Cuma yang membezakan suatu rumah tangga ialah bagaimana peranan itu dimainkan oleh setiap pasangan suami isteri. Maka tak salah jika dikatakan, rumah tangga terbentuk melalui acuan pasangan itu sendiri. Berikut adalah beberapa tip untuk menjadi pasangan terbaik dalam sesebuah rumah tangga:



1. Mengutamakan agama.

Dalam institusi rumah tangga, agama adalah elemen yang paling penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah kunci kebahagiaan rumah tangga. Sentiasa mendirikan solat secara berjemaah, ianya dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri dengan restu Allah SWT. Suami seharusnya membimbing isteri ke jalan yang diredai Allah SWT. Islam dibina atas tiga asas utama meliputi soal akidah, syariat dan akhlak. Kerana ia menjadi tunjang dalam pembentukan rumah tangga yang harmoni.

2. Sentiasa memohon restu ibu bapa dan keluarga.

Restu dan doa kedua-dua ibu bapa dan mertua adalah sangat penting. Jadi, setiap kali berjumpa dengan mereka, mohonlah mereka agar mendoakan kebahagiaan rumah tangga agar berpanjangan dan dirahmati Allah SWT. Setiap ibu bapa tidak pernah mahu menghalang atau menidakkan hak anda sebagai seorang anak untuk memilih pasangan dan kebahagian sendiri. Mereka cuma mahukan yang terbaik untuk setiap anak mereka.



3. Menerima pasangan seadanya.

Hampir setiap pasangan datang dari latar belakang dan gaya hidup yang berbeza. Terimalah pasangan seadaanya dan bersyukurlah bahawa dia ditakdirkan menjadi jodoh kita. Tak salah jika kita cuba mengubah pasangan ke arah gaya hidup yang lebih baik, namun jangan jadi terlalu mendesak. Perlu diingat, tiada manusia yang dilahirkan sempurna, dan tiada siapa yang mampu berubah dalam jangka masa yang singkat.

4. Menghargai pasangan

Baik suami mahupun isteri masing-masing sama memerlukan penghargaan yang dizahirkan oleh pasangannya. Jika anda menghormati dan menghargai pasangan walau dalam keadaan apa pun, pasangan akan merasakan dia benar-benar istimewa. Hargai pasangan dengan selalu ucapkan terima kasih walaupun hanya perkara-perkara yang kecil. Hulurkanlah bantuan tanpa diminta. Berilah nasihat, pendapat atau kata-kata semangat kepadanya sebagai tanda bahawa kita selalu berada di sampingnya dan dia begitu berharga kepada kita. Paling penting, ingatlah tarikh-tarikh istimewa pasangan, dan berikan kejutan kepadanya.

5. Sentiasa bersama.

Menjalani hidup bersama-sama biarpun di dalam suka dan duka menjadikan kehidupan berumah tangga itu lebih bermakna. Lakukan aktiviti seharian bersama, seperti menonton TV, mengemas rumah, bahkan memasak bersama. Kegemaran pasangan mungkin berbeza. Cuba berjinak-jinak dengan aktiviti yang digemari pasangan. Jangan biarkan pasangan melakukan hobi dan aktiviti kegemarannya bersendirian. Sekurang-kurangnya, mulakan dengan menemani suami menonton perlawanan bola sepak walau si isteri tidak meminatinya.



6. Bertolak ansur.

Sikap ini adalah sangat penting dalam sebuah rumah tangga. Apabila terjadinya perbalahan dalam sesebuah rumah tangga antara suami dan isteri, apa yang sepatutnya anda dan pasangan lakukan adalah berdamai atau cuba cari punca penyebab kepada perbalahan itu untuk meredakan keadaan. Jangan sesekali mementingkan diri dengan menegakkan pendapat sendiri sehingga perselisihan tersebut berpanjangan, lebih penting utamakan hati pasangan dan tamatkan perselisihan dengan segera.

7. Hormat antara satu sama lain.

Jika isteri hormat suami seperti melayan dengan baik, menjaga makan dan minum, si suami juga pasti terdorong untuk melayani dan menghormati isterinya. Begitu juga sebaliknya, sekiranya si suami sentiasa menjaga tingkah laku, tidak menzalimi pasangan, sudah tentu juga isteri tidak akan bertindak di luar kebiasaan. Kesannya bukan sahaja mengharmonikan hubungan masing-masing malah melahirkan sebuah keluarga yang bahagia.

8. Sentiasa memaafkan.

Setiap manusia pasti akan melakukan kesalahan. Belajarlah untuk memaafkan pasangan dan sama-sama berjanji untuk tidak mengulanginya. Perkara ini penting untuk mengekalkan hubungan. Jangan pernah menyimpan dendam, dan elakkan mengungkit kesalahan lalu yang menyakitkan hati.



9. Jujur dan tidak berahsia.

Tunjukkan perasaan sebenar dan berterus terang untuk kebahagiaan bersama, selain menjadikan pasangan tersebut lebih terbuka dan bersefahaman, serta saling mempercayai. Kemampuan untuk saling berkongsi perkara dengan pasangan anda sama ada suka dan duka meningkatkan lagi kerukunan rumah tangga. Jangan biarkan pasangan anda menghadapi masalahnya seorang diri tanpa anda mengetahui sedikit pun. Di sinilah peranan anda sebagai seorang suami atau isteri untuk memberi semangat, menjadi penyelamat dan sentiasa ada dengannya pada saat suka serta duka.

10. Jauhi perbuatan yang menyakiti pasangan.

Bertanggungjawablah di atas perasaan pasangan. Hormatinya dengan menghindarkan perkara-perkara yang menyakiti perasannya. Jika pasangan tidak menyukai sesuatu yang kita lakukan dan perbuatan tersebut sememangnya tidak berfaedah, belajarlah untuk meninggalkannya demi kebahagiaan pasangan.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen