Pencarian seorang warga emas dikenali sebagai Zahari Zakaria yang tidak dapat dihubungi lebih 24 jam itu akhirnya bertemu titik noktah apabila ditemui maut selepas kereta Perodua Myvi dipandu terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Jemaluang, Mersing.
Memetik laporan Kosmo, anak sulung mangsa, Zul Hasni Zahari, 39, ketika dihubungi berkata, dia menerima panggilan kira-kira pukul 7 pagi daripada orang awam memaklumkan penemuan kereta dinaiki bapanya, Zahari Zakaria, 63.
Jelasnya, berdasarkan maklumat awal, bapa kepada tujuh anak itu ditemui meninggal dunia selepas tersepit dalam keadaan kereta yang terbalik.
“Bapa saya kerja sebagai inspektor kapal dekat Pelabuhan Pasir Gudang, hujung minggu atau dua minggu sekali dia akan balik ke kediaman keluarga di Kemaman, Terengganu.
“Dia (Zahari) bertolak dari Kemaman kira-kira pukul 10 malam melalui jalan biasa dia memandu iaitu Jalan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang,” katanya.
Jenazah Zahari kini dibawa ke Hospital Mersing di sini sebelum akan dibawa ke Kemaman untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Sebelum ini tular di media sosial akan seorang lelaki yang merupakan warga emas dilaporkan hilang sejak Ahad dalam perjalanan pulang dari Kemaman, Terengganu ke rumahnya di Johor.
Perkara itu dikongsikan anak mangsa, Siti Nurfaezah Zahari di laman Facebooknya semalam, selepas bapanya tidak dapat dihubungi lebih 24 jam.
Tinggalkan Komen