Seorang lelaki dilaporkan naik berang dipercayai terganggu dengan kuliah subuh yang diadakan di surau Ampang Campuran.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengerusi surau berkenaan.
"Ketika kuliah Subuh berlangsung, seorang lelaki tempatan yang tidak kenali terus menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah itu terlalu bising hingga mengganggunya.
"Jemaah surau juga bertindak menghalangnya dan meminta dia meninggalkan surau terbabit dengan cara baik," katanya.
Katanya, polis telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor di Jalan Ikan Emas Mesra di sini, pada 7 petang semalam.
"Semakan dilakukan mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod bagi kesalahan dadah dan ugutan jenayah.
"Lelaki itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga 12 Ogos nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana berniat melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956 atas kesalahan kelakuan aib," katanya.
Beliau memberikan amaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang perbuatan mengganggu yang boleh memecahkan keamanan masyarakat.
Tinggalkan Komen