Orang kata kasih ibu membawa ke syurga, itulah yang dilakukan oleh warga emas ini apabila sanggup menemani anaknya yang juga penagih dadah di rumah penuh dengan barangan lusuh dan sampah sejak 10 tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, wanita berusia 70an itu sanggup bertindak seperti itu hanya gara-gara terlalu sayangkan anaknya.
Bukan itu sahaja, anaknya yang berusia 42 tahun itu turut menagih dadah di dalam rumah dengan beralas tilam nipis dikelilingi sampah dan barangan lusuh.
Menurut sumber yang enggan dikenali, warga emas itu bergantung hidup dengan bantuan anak-anak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, lelaki itu yang tidak bekerja menjadikan kediaman terbabit tempat dia menagih heroin dan mengutip barangan lusuh dan sampah sehingga memenuhi ruang rumah untuk dijual bagi membeli dadah.
Lebih mengejutkan lagi apabila ibunya turut dikatakan memberi wang kepada lelaki berkenaan untuk membeli dadah.
"Perkara itu terbongkar selepas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak membuat pengesanan ke atas orang disyaki di sekitar Selayang dan Rawang 10 Ogos lalu.
"Lelaki terbabit yang tinggal di Selayang Baru antara enam penagih dadah yang ditahan AADK ketika membuat pengesanan terbabit," katanya.
Berdasarkan ujian saringan air kencing mendapati mereka menggunakan dadah jenis syabu, heroin dan ganja.
"Kesemua sampel dihantar ke unit Patalogi Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pengesahan pakar perubatan.
"Mereka yang ditahan itu dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998)," katanya.
Tinggalkan Komen