Gurauan membawa padah, seorang remaja lelaki ditemui maut selepas terperangkap di dalam tandas terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, Kuala Selangor.
Difahamkan, ketika itu mangsa sedang tidur di depan pintu tandas berkenaan manakala dua lagi rakannya sedang bermain permainan di telefon bimbit di dalam tandas berkenaan.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, mangsa, Muhammad Damin Mikhail Kansol, 16 dikatakan sedang tidur di atas sofa di depan pintu tandas sebelum rakan mangsa menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau.
"Selepas asap tebal dan api makin besar, dua rakan mangsa lari ke luar tandas, manakala mangsa yang dalam keadaan separa sedar selepas terjaga dari tidur melarikan diri ke dalam tandas," katanya.
Beliau berkata, ketika tiba tempat kejadian, mayat remaja lelaki berusia 16 tahun di dalam tandas yang terbiar berkenaan dalam keadaan badannya melecur.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," tambahnya.
Dalam pada itu, rakan mangsa dikenali sebagai Naufal, 15 mengenali mangsa dan dua rakannya yang sering dilihat bermain sepak takraw bersama-sama.
"Mereka sering bergerak dalam kumpulan dan kerap melepak bersama terutama sejak akhir-akhir ini memandangkan mereka baru sahaja rapat.
"Jarang ada yang lepak di kawasan tandas itu kerana ia sudah lama terbiar dan tiada air di dalamnya.
"Kami (penduduk setempat) hanya berada di kawasan ini untuk bermain futsal yang terletak bersebelahan dengan tandas itu, namun kami tidak lepak di tandas berkenaan," katanya.
Tinggalkan Komen