Mahar, Hantaran & Matlamat Perkahwinan. Adakah Anda Benar-benar Fahami?

Oleh: Rafi

KAMI mulakan dengan rahsia dan matlamat perkahwinan yang ALLAH SWT firmankan:

'Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.' (Surah Al-Ruum: 21)



Syeikh Ahmad Mustafa Al-Maraghi RHM dalam tafsirnya menyebutkan: 'Antara tanda yang menunjukkan adanya hari kebangkitan dan dikumpulkan seluruh manusia di hadapan ALLAH ialah dengan menjadikan bidadari daripada isteri kamu sendiri untuk menikmati kebahagiaan-Nya. Secara tidak langsung Dia menanamkan rasa cinta dan kasih sayang bagi membentuk kehidupan keluarganya dengan sistem yang baik.' Daripada ayat ini, matlamat sebenar perkahwinan ialah untuk mendapatkan sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmat. Inilah tujuan utama sesebuah perkahwinan di samping untuk mendapatkan zuriat yang baik.

Pilihan yang ada.

Islam memandang perkahwinan itu adalah ibadah yang sangat serius. Oleh yang demikian, Islam menitikberatkan aspek pemilihan calon isteri dan suami dalam pembentukan sesebuah keluarga itu. Rasulullah SAW pernah bersabda: 'Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya (status), kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya beruntunglah kamu.' (Riwayat Bukhari (5090) & Muslim (1466)). Al-Imam Al-Nawawi RHM mengatakan hadis di atas menerangkan kepada kita kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur dan Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan kamu di dunia dan di akhirat. (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/51-52)



Mahar VS Hantaran.

Kekeliruan sering berlaku antara mahar dan juga hantaran yang akhirnya menimbulkan tanda tanya, mana satukah sebenarnya disyariatkan Islam? Mahar ialah pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan ia juga dinamakan dengan mas kahwin. Manakala mahar di sisi istilah fiqh pula membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya. Istilah mahar juga disebut juga dengan al-Sodaaq di dalam kitab-kitab fiqh bahkan terdapat juga nama-nama yang lain diberikan untuk mahar yang mana kesemua istilah tersebut terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. Masyhur di sisi masyarakat Melayu kita pula dengan istilah hantaran perkahwinan yang mana membawa maksud wang yang dihantar pihak lelaki kepada bakal mentua untuk perbelanjaan perkahwinan ataupun disebutkan juga sebagai belanja hangus. Ia juga berupa hadiah seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Islam hanya menetapkan mahar dalam perkahwinan, adapun hantaran berupa wang ataupun barang, ia tertakluk kepada budi bicara, perbincangan di antara kedua belah pihak dan sepatutnya mahar dan hantaran ini tidak menjadi penghalang bagi perkahwinan yang bakal dilangsungkan.



Sebaik-baik mahar.

Tiada had yang tertentu bagi sesebuah mahar. Oleh itu, ia tiada had terendah dan juga had maksimum dalam nilaian mahar tersebut bahkan yang pastinya, semua benda yang bernilai dan mempunyai nilai untuk dijual ataupun dijadikan sewaan maka ia boleh dijadikan mahar sama ada berbentuk 'ain (barang tersebut), hutang ataupun manfaat, sedikit atau banyaknya ia seperti kereta, ataupun RM5000, ataupun sebuah rumah, ataupun mahar dari segi mengajarkan sesuatu dari ilmu-ilmu seperti mengajarkan al-Quran kepada isteri. Meskipun syarak tidak menetapkan kadar mahar namun di sana terdapat petunjuk dari Nabi SAW agar mahar ini dipermudahkan. Rasulullah SAW bersabda:

'Sebaik-baik pernikahan adalah yang dipermudahkan maharnya.' (Riwayat Ibn Hibban no 4072). Dalam hadis yang lain pula, daripada 'Aisyah RAH bahawa Rasulullah SAW bersabda: 'Sesungguhnya, perkahwinan yang paling agung dan berkat adalah yang dipermudahkan perbelanjaannya.' (Riwayat Al-Imam Ahmad no 24529)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan betapa pernikahan yang tidak diasaskan dengan nilai yang mahal mas kahwinnya akan dikurniakan keberkatan. Penghargaan yang diberikan dari pihak perempuan terhadap keluarga lelaki menunjukkan keikhlasan dalam menjalinkan hubungan di antara dua keluarga. Keikhlasan yang dizahirkan akan menghilangkan sangkaan seperti mata duitan dapat dilenyapkan dari kamus kehidupan mereka. Telah berkata Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah RHM:

'Barang siapa yang nafsunya mengajak kepada meninggikan mahar anak perempuan mereka melebihi mahar anak-anak perempuan Nabi SAW yang mana mereka itu adalah sebaik-baik ciptaan ALLAH dari segenap kebaikan dan mereka itu adalah sebaik-baik wanita sekalian alam pada setiap sifat adalah jahil. Begitu juga dengan mahar isteri-isteri Rasulullah SAW dan ia atas kemampuan dan kemudahan. Adapun golongan fakir tidaklah perlu untuk mereka memberikan mahar kecuali dengan apa yang termampu tanpa adanya sebarang masalah.' Diriwayatkan bahawa mahar untuk isteri-isteri dan anak perempuan Baginda SAW, seperti yang terdapat di dalam Sunan Ibn Majah adalah tidak melebihi 12 uqiyyah. Bersamaan dengan 480 dirham iaitu sekitar 135 riyal perak. Justeru, disyorkan agar mas kahwin mengikut kadar kemampuan, serta adat yang munasabah. Ia semata-mata mencari keredaan ALLAH dan hadis Nabi SAW ada menyebutkan: 'Carilah sesuatu meskipun sebentuk cincin besi.' (Riwayat Al-Bukhari (5121))



Pesananku...

Kami titipkan di sini beberapa perkara agar dapat diambil perhatian bagi pasangan pengantin dan juga buat kedua-dua keluarga agar perjalanan majlis diberkati dan diredai ALLAH. Antaranya:

- Betulkan niat bahawa perkahwinan sejuzuk dari kehidupan yang semestinya dinawaitukan semata-mata ALLAH. Benarlah firman ALLAH dalam Surah Al-An'aam ayat 162.

- Perkahwinan asas dan matlamatnya seperti yang telah kami nyatakan pada awal perbincangan iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah. Dengan memahami matlamat ini, sebarang tindakan kita semata-mata mencapai matlamat tersebut.

- Hendaklah kita menzahirkan rasa suka dan gembira serta menyebarkannya dalam urusan perkahwinan kerana matlamatnya untuk sama-sama gembira atas himpunan dari dua keluarga melalui   pasangan masing-masing. Amat malang, jika api kemarahan, kata nista dan ucapan yang kurang baik menguasai majlis yang diharapkan mendapat keberkatan daripada ALLAH.

- Prinsip memudahkan penting diaplikasikan termasuklah dalam perkahwinan. Firman ALLAH: 'ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.' (Surah Al-Baqarah: 185)

Hendaklah kita merapatkan saf ukhwah Islamiyyah sementelahan lagi dilaksanakan ikatan perkahwinan. Ingatlah, api dendam kemarahan dan menunjukkan sikap yang kasar menatijahkan kekesalan. Alangkah baiknya jika sikap berlapang dada, hormat menghormati antara pasangan, kaum keluarga dan sahabat handai diterapkan sudah tentu ia menatijahkan keadaan yang harmoni. Akhir kalam, saya mengambil kesempatan untuk menasihati agar kita sama-sama membuang yang keruh dan mengambil yang jernih dalam memperbaiki kembali hubungan serta bersamanya kemaafan agar kehidupan kita sentiasa tenang. Ikatlah perkahwinan sebaik mungkin dan jangan biarkan syaitan, nafsu menguasai kita. Ingatlah, ALLAH suka orang yang pemaaf. Binalah kembali hubungan kerana ALLAH. Insya-ALLAH sinar bahagia akan muncul dari ufuk kehidupan kita. Saya berdoa agar ALLAH sirami hati kita dalam kehidupan ini dan menjadikan kita hamba-Nya yang taat perintah dan mencapai mardhatillah.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen