Mengapa Lelaki Lambat ‘Move On’ Berbanding Wanita.

Oleh: Zuzu Yasmine

Kita selalu dengar bahawa wanita lebih lambat untuk move on berbanding lelaki. Tetapi sebenarnya lelaki adalah lebih lambat move on berbanding wanita. Terutama jika wanita itu adalah cinta pertamanya. Mahu makan bertahun juga lah untuknya move. Tetapi mengapa mereka ini lambat move on? Sebab masih terlalu sayang atau kerana diri sendiri yang lambat bertindak?



Ini dia empat punca mengapa lelaki lambat move on berbanding wanita.

1. Rasa kehilangan.

Benar kata orang, waktu ada tidak hargai, bila dah tiada tercari-cari. Inilah lelaki, waktu senang tidak hargai pasangan yang sentiasa ada kerana menganggap wanita itu akan kekal dan terus bersamanya kerana cinta yang kuat. Namun sedarilah bahawa hati itu sifatnya berbolak balik dan setia itu sangat mahal. Apa guna kesetiaan diberi pada yang tidak tahu menghargai sedangkan masih ramai yang menagih kesetiaan dan mengharap kebahagiaan. Apabila tibanya masa si wanita memutuskan untuk tidak meneruskan hubungan, waktu itulah si lelaki memberontak tidak mahu menerima kenyataan, kerana sangkanya si wanita tidak mungkin akan meninggalkannya. Ketika itulah si lelaki baru nak mula hargai, baru nak rasa kehilangan, namun semuanya sudah terlambat kerana peluang demi peluang sudah ditabur sebelum kata akhir itu dilafazkan. Kerana itulah lelaki agak mengambil masa untuk move on, kerana penyesalan yang tiada gunanya.

2. Lambat sedar.

Lelaki biasanya akan lebih gembira ketika berpisah sedangkan wanita yang lebih berduka. Namun apabila sudah lama berpisah, dan tatkala wanita sudah pun menerima suratan, di kala itulah lelaki akan menyesal dan ingin kembali. Walau bagaimanapun dia seharusnya sedar bahawa apabila seorang wanita telah move on, jangan sesekali merayu lagi mahupun sekadar mencuba untuk berkawan. Ada kala lelaki ini juga masih berperasaan bahawa seolah-olah wanita itu masih miliknya yang dia masih boleh menelefon, menghantar whatsapp, walhal tindakannya itu sememangnya tidak wajar dan langsung tidak menghormati bekas kekasihnya itu.


3. Mengambil masa.

Mungkin dia boleh move on, tetapi agak memakan masa. Mungkin selama bertahun berpisah itu si dia dihimpit rasa bersalah yang menggunung dan sukar mencari pengganti yang serupa. Biasanya yang seperti ini adalah mereka yang berpisah atas kehendak wanita atau wanita itu yang menjadi punca perpisahan. Namun ada juga lelaki yang berpisah atas kehendaknya atau disebabkan salahnya, namun dia juga sukar untuk move on meskipun sudah bercinta dengan orang lain. Adapun mungkin ada sesuatu yang membuatkan dia sering saja teringat-ingat akan bekas kekasihnya, mungkinkah ada janji yang tidak tertunai? Atau ada dosa lain yang sering menghantuinya?

4. Ego sendiri.

Setiap orang miliki ego sendiri, begitu juga kaum lelaki. Ego ini ada kala baik untuk kepentingan sendiri dan ada kala juga memakan diri. Mungkin dulu waktu bercinta anggapannya dialah yang sentiasa memberi, dialah yang sering menunaikan janji, dialah yang tidak pernah menyakiti dan kerana itu dia berpendapat bahawa dia tidak akan ditinggal pergi. Namun silapnya lelaki apabila diri sendiri sentiasa tidak cukup satu. Ada saja helahnya untuk mencari peneman lain dikala sepi. Wanita itu hatinya rapuh, sukar baginya untuk menerima bahawa pasangannya mencintai orang selain dia, dan alasan itu adalah kuat untuk dia melangkah pergi. Bagi lelaki pula itu adalah peluang yang baik, jadi bolehlah dia meneruskan hubungan rahsia tadi secara terang tanpa perlu berselindung lagi. Walau bagaimanapun lama-lama nanti akan timbul satu perasaan di mana dia akan teringat akan bekas kekasihnya apabila pasangan barunya tidak seperti yang dia harapkan. Maka di saat itu barulah terasa peritnya umpama ditikam ego sendiri.

Apa-apa pun setiap orang mempunyai masa yang tersendiri untuk mengambil langkah memulakan hidup baru. Sama ada cepat atau lambat ia bergantung pada diri individu tersebut. Namun jangan kerana cinta lalu yang sukar dilupakan, anda tidak membuka ruang hati untuk menerima orang yang baru.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen