Berkahwinlah, Hari-Hari Hari Kekasih.

Bulan Februari bukanlah istimewa berbanding bulan-bulan lain. Tiada apa yang menjadikannya lebih menarik. Apatah lagi sekiranya dibandingkan dengan bulan-bulan Islam yang jelas mempunyai kelebihan tersendiri. Bulan Ramadan sebagai contoh, jelas terkandung di dalamnya pelbagai kelebihan bagi umat Islam. Pada bulan ini, umat Rasulullah S.A.W. dijanjikan dengan pelbagai ganjaran pahala. Lakukanlah apa sahaja amalan soleh, pahalanya begitu besar. Maka, Ramadan adalah istimewa kepada seluruh umat Islam, tetapi mengapa masih ramai remaja yang tidak menghargainya? Ya, bagi umat Islam adalah sewajarnya untuk kita mengetahui, meraikan bahkan mengambilnya sebagai kesempatan bagi meningkatkan amalan. Namun, agak menyedihkan apabila ada di kalangan umat Islam sendiri bukan sahaja tidak mengetahui tentang kelebihan yang ada pada bulan Islam.

Bahkan mengagung-agungkan pula apa yang tidak pernah disambut oleh Islam itu sendiri. Sambutan Hari Kekasih atau disebut Valentine’s Day adalah salah satu tanda betapa kita berada dalam keparahan mengenal pasti apakah yang dimaksudkan sebagai Hari Kekasih? Virus menyambut Hari Kekasih pada setiap 14 Februari seakan-akan merebak menjadi barah. Ramai dalam kalangan umat Islam terutama kalangan anak-anak muda yang cetek agama meraikan hari yang kononnya untuk mengingati pasangan kekasih masing-masing. Bagi remaja, meraikan sambutan Hari Kekasih seolah-olah telah menjadi satu fenomena atau kewajipan untuk mereka. Ia dianggap sebagai acara atau perayaan yang paling diminati dan ditunggu-tunggu untuk diraikan bersama kekasih. Virus ini, sebenarnya amat menggusarkan, membimbangkan dan menakutkan. Ayuh kita kupas isu ini lebih lanjut bagi mendapatkan pandangan dan nasihat berguna daripada saudara Mohd Sofian bin Mohd Resali sekalu Editor Buku Karya Bestari, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd. Dia juga merupakan penulis berbakat sebuah buku ilmiah, Kita Tenggelam Dalam Nafsu dengan nama penanya, Sofian Resali.



Haram Menyambut Hari Kekasih.

Bagi mereka yang meraikan Hari Kekasih, setiap pasangan seolah-olah meluahkan rasa kasih dan cinta mereka sesama sendiri. Malah, ada yang dek kerana kejahilan sanggup menyerahkan kehormatan diri kepada pasangan kekasih demi membuktikan perasaan cinta yang agung. Benar-benar menakutkan dan membimbangkan. Tahukah anda bahawa hukum merayakan Hari Kekasih sebenarnya telah diisytiharkan sebagai haram. Bahkan majoriti tokoh agama negara ini telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Hari Kekasih sebenarnya bertentangan dengan syarak. Malah, menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, amalan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Buktinya, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan agama Islam. Perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang sama dengan agama Islam. Namun, perlu diingat bahawa pengharaman dan larangan ini dilakukan bukanlah kerana dengki atau hasad pada aktiviti berkenaan dan menyekat kebebasan individu. Apa yang penting adalah ia ditegah berdasarkan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.



Media Tidak Memainkan Peranan.

Bukan sehari malah sebulan sebelum tarikh 14 Februari, rata-rata media sosial, televisyen, radio mahu pun surat khabar sudah mula membuat promosi sekali gus menggalakkan sambutan perayaan ini. Kesannya, adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpelukan, berpeleseran bahkan sehingga membawa kepada berlakunya hubungan seks bebas, benar-benar memerlukan kita berfikir, ‘apakah untungnya perbuatan sebegini’? Sepatutnya, diadakan majlis-majlis ilmu dan media banyak memaparkan program-program agama seperti majlis Selawat Malaysia yang diadakan baru-baru ini. Ia bertujuan membuka mata anak-anak muda bahawa tiada istilah Hari Kekasih dalam kalendar Islam.

Ingatlah, sesungguhnya budaya meniru apa yang dilakukan barat sebenarnya adalah terpesong. Malah mencampurkan perkara akidah mengikut kepercayaan agama lain juga adalah salah di sisi Islam. Maka, sewajarnya kita sebagai umat Islam menjauhi budaya ikut-ikutan ini dan mengelakkan daripada mengamalkannya. Ingatlah, Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Kafirun, ayat 1 hingga 6 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”

Ikut Teladan Rasulullah S.A.W.

Perbuatan merayakan Hari Kekasih ini juga sebenarnya langsung tidak termasuk di dalam sunnah Rasulullah S.A.W. sendiri. Bahkan, baginda sebagai contoh dan teladan sepanjang zaman bagi umat Islam menunjukkan betapa kasih sayang di dalam Islam amat luas pengertiannya. Islam sebagaimana yang dibawa baginda tidak membataskan perasaan kasih sayang hanya kepada sesuatu pasangan. Bahkan tidak ada dalam ajaran agama yang suci ini pasangan lelaki dan wanita dibenarkan bercinta sehingga merayakan Hari Kekasih. Islam yang diajar oleh baginda memperluaskan makna kasih sayang kepada semua makhluk. Tidak hanya tertumpu kepada manusia sahaja, bahkan kepada binatang, tumbuh-tumbuhan dan segala ciptaan Allah. Islam amat menitikberatkan perasaan kasih sayang dalam kehidupan umatnya. Islam mengajar kepada kita agar kasih sayang harus ditumpahkan kepada junjungan mulia Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Islam mengutamakan rasa cinta dan sayang kepada ibu bapa. Begitu juga kepada sesama manusia walaupun berlainan agama selagi tidak melanggar syarak. Islam itu sendiri adalah agama kasih sayang.



Fahami Makna Kasih Sayang

Sewajarnya umat Islam itu sendiri mengetahui lebih tepat betapa luasnya makna kasih sayang dan cinta. Bukan hanya sekadar perasaan cinta kepada pasangan kekasih yang tidak layak diutamakan. Ingatlah bahawa Islam sebagai agama fitrah dan sempurna sentiasa menganjurkan kasih sayang dalam kalangan umatnya. Ikutilah rasa kasih dan sayang seperti yang ditonjolkan Kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad S.A.W. junjungan mulia. Kerana kasihkan kita umatnya, baginda sanggup menghadapi mehnah dan tribulasi dalam menyebarkan agama suci ini. Baginda melalui pelbagai onak dan cabaran serta kepayahan demi memastikan Islam terus gemilang sampai kepada kita seperti hari ini. Namun, agak malang sekiranya kita pula bertindak sebaliknya. Ada dalam kalangan kita yang mengagung-agungkan pengorbanan kepada kekasih, menyerahkan segala-galanya demi menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing. Fikirkanlah, apakah tindakan itu benar?

Malah, fikir dan renungkan apakah yang telah kita lakukan kepada Rasulullah S.A.W. demi membalas jasa baginda menyampaikan Islam selama ini? Lebih mendalam, apakah di hati kita ini mempunyai rasa cinta kepada baginda? Sedangkan apa yang kita lakukan selama ini jelas bertentangan dengan apa yang disampaikan baginda, termasuklah merayakan Hari Kekasih yang terang-terang diambil daripada budaya agama lain. Bukan Islam tidak membenarkan anda memiliki ‘buah hati’, tetapi biarlah ia bertujuan penting untuk mendapatkan hubungan yang halal selamanya. Bukankah pahala yang dicari selama ini? Jika itu niat utama kehidupan anda, maka pilihlah jalan yang benar. Bukannya melakukan sesuatu yang dilarang oleh-Nya. Ingatlah, menzahirkan kasih sayang kepada kekasih hati perlulah ada batasan dan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang di antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan berjanji manis di bibir. Namun, ia memerlukan kepada ikatan yang sah bagi menyimpul kukuh demi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu adalah ikatan perkahwinan. Berkahwinlah terlebih dahulu. Kemudian, berkasih sayanglah setiap hari. Itu lebih afdal dan molek. Inilah gaya kita, gaya Islam.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen