Hak Suami Isteri Setelah Selamat Diijab Kabulkan Yang Perlu Diambil Peduli Oleh Setiap Pasangan.

Oleh: Rafi

Apabila pasangan suami isteri telah selamat diijab-kabulkan maka bermulalah tanggungjawab besar yang terpikul bersama antara suami dan isteri. Bahtera rumahtangga yang dikemudikan oleh suami bakal berlayar menempuh lautan yang luas menuju destinasi keredhaan ilahi. Namun lautan tidak selalunya tenang, langit tidak selalunya cerah, pelbagai dugaan dan ujian akan silih berganti. Kadang-kala badai menerjah menguji kesabaran dan kematangan hidup insan. Keadaan ini menagih kesabaran dan ketenangan dalam mengharunginya. Penyelamat yang paling ampuh ialah ilmu dan keimanan yang menebal kepada Tuhan. Perkara asas dalam menjamin keharmonian rumahtangga ialah memahami hak-hak yang mesti dijaga oleh pasangan suami dan isteri. Kegagalan memahami dan menunaikannya akan mengakibatkan mahligai yang dibina akan mengalami keretakan. Untuk catatan kali ini saya akan cuba mengupas dua hak utama bagi isteri secara zahir yang wajib dihormati serta dilaksanakan sepanjang tempoh perkahwinan supaya tidak timbul pecabulan hak dan kedamaian dalam jiwa seorang isteri.



Hak pertama: Mahar.

Mahar adalah suatu pemberian wajib daripada suami kepada isterinya dengan sebab berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri yang tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh diambil oleh suami sesuka hati kecuali dengan keredhaan dan keizinan isterinya. Walaubagaimanapun suami dibolehkan berhutang mahar dengan isterinya, tetapi dengan syarat ianya wajib dilunaskan kembali. Sekiranya suami enggan berbuat demikian, maka ianya adalah perbuatan maksiat yang diancam oleh Allah SWT. Iaitu sebagaimana ancaman Allah SWT kepada orang yang berhutang dengan niat tidak mahu membayar balik hutang tersebut sedangkan ia mampu untuk berbuat demikian. Perbuatan ini jelas merupakan penderhakaan terang-terangan terhadap hak isteri, sekaligus menderhakai Allah SWT.



Hak kedua: Nafkah diri (zahir).

Nafkah merupakan isu utama yang sering menjadi perbalahan antara suami dan isteri. Secara umumnya, nafkah merupakan tanggungan yang wajib ditunaikan oleh suami. Menurut istilahnya, nafkah bermaksud mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang (suami) untuk membiayainya. Ia bukan sahaja pada makan dan minum malah merangkumi tempat tinggal, pakaian, ubat-ubatan dan yang berkaitan dengan kebajikan isteri secara keseluruhannya. Walaubagaimanapun menyediakan nafkah untuk isteri ini tertakluk kepada kemampuan suami. Mengikut hukum syarak, seseorang isteri yang taat kepada suaminya berhak untuk mendapat nafkah selagimana dia tidak nusyuz (keingkaran isteri mentaati perintah suami yang diharuskan oleh syarak) terhadap suaminya. Sekiranya dalam satu tempoh perkahwinan, suami telah gagal menyediakan nafkah dengan baik, maka ia menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Ia boleh dilaksanakan melalui saluran undang-undang dengan membuat tuntutan di mana-mana mahkamah syariah.



Bagaimana pula sekiranya isteri bekerja? Adakah wajib pada suami untuk memberikan nafkah terhadapnya?

Hukumnya tetap wajib. Suami tidak boleh sama sekali beranggapan dengan keizinan yang diberikannya kepada isteri untuk bekerja dijadikan sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab tersebut. Mesti diingat, bahawa harta sama ada berbentuk wang ringgit atau sebagainya hasil daripada titik peluh isteri melalui usahanya sendiri adalah hak mutlak dan peribadinya dan tidak boleh diambil dan digunakan tanpa pengetahuannya.

Kesimpulan.

Fenomena dalam masyarakat kita di Malaysia sejak dulu sering memperlihatkan sikap yang lebih memihak kepada kaum lelaki dalam perhubungan suami isteri. Pandangan sedemikian rupa hendaklah dikikis dari dalam diri setiap individu khususnya suami. Dengan adanya ketentuan syarak yang mengiktiraf dan membela hak-hak isteri seperti yang dibahaskan, jelaslah menunjukkan bahawa Islam mengangkat martabat wanita yang bergelar isteri sebagai insan yang dihormati yang sama nilainya dengan suami. Setiap pasangan suami-isteri mempunyai peranan dan hak masing-masing yang mesti dihormati antara satu sama lain. Konsep ini jika benar-benar dilaksanakan akan menjamin ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup berkeluarga.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen