Sudah Berumah Tangga, Jangan Lupa Untuk Sentiasa Menawan Hati Ibu Bapa.

Pasangan yang baru berkahwin, pasti gembira dan bahagia kerana akhirnya bertemu jodoh yang diimpikan selama ini. Hati juga tidak lagi kesunyian, apatah diri tidak lagi keseorangan. Akan tetapi, sementara mengecapi kebahagiaan, jangan lupa juga pada ibu bapa yang sudah berhempas pulas untuk melihat kita tersenyum bahagia.

Jom ikuti tips dari perkongsian Puan Rasyidah ini…

1. Speak Softly.

Ibu bapa merupakan insan yang lebih makan garam dari kita, sudah pastinya hati mereka lebih mudah sensitif. Saya yakin bahawa semua orang akan lebih senang dengan kita apabila bicara kita lembut, sopan dan tidak meninggikan suara.

Maka, sama jugalah apabila kita berhadapan dengan kedua ibu bapa kita. Jangan bercakap dengan mereka seperti kita bercakap dengan kawan-kawan kita. Mereka insan yang wajib kita hormati. Jika mereka membuat kesilapan tegurlah secara lembut dan merendahkan suara. Bukankah salah satu metode dakwah adalah dengan berlemah lembut?

Maka, begitu jugalah dengan ibu bapa kita. Berlemah-lembutlah, nescaya hati mereka lebih dekat dengan kita.

2. Tidak Mengalihkan Pandangan Dan Wajah.

Interaksi dua mata sangat penting dalam komunikasi yang berkesan. Apabila ibu bapa kita sedang berbual dengan kita janganlah memalingkan wajah atau pandangan kita.

Pandanglah wajah mereka dengan pandangan penuh kasih sayang. Allah SWT juga tidak suka hamba-Nya yang sombong. Diriwayatkan daripada Zura’h bin Ibrahim, bahawa seorang lelaki datang kepada Umar, kemudian berkata;

“Sesungguhnya aku mempunyai seorang ibu yang sudah tua. Dia tidak dapat memenuhi keperluannya, kecuali belakangku menjadi tunggangannya. Aku selalu menjadi petunjuk jalan baginya, namun aku sering memalingkan mukaku daripadanya. Adakah aku telah menunaikan haknya?”

Dia menjawab;

”Tidak.”

Lelaki itu berkata;

“Bukankah aku sudah menggendongnya di atas belakangku dan mengekang keinginanku kerana dirinya?”

Umar menjawab;

“Dahulu dia pun pernah melakukan itu kepadamu, dan dia mengharap kamu tetap bersamanya, sementara engkau mengharap dia berpisah daripadamu.”

[Birrul Waalidain, Ibn al-Jauzi]

3. Meminta Izin Ketika Lalu Di Hadapan Ibu Bapa.

Sikap ini selalu dipandang remeh oleh anak-anak. Kita harus ingat bahawa ini adalah sebahagian daripada tanda hormat kita kepada ibu bapa dan memuliakan mereka. Inilah sikap yang baik yang harus diikuti agar kita sentiasa menjaga adab terhadap ibu bapa. Mereka juga rasa dihargai dan dihormati.

Apabila sikap ini sudah dididik sejak kecil terhadap anak-anak maka apabila tetamu datang ke rumah sekaligus dapat menjaga nama baik keluarga.

4. Be A Second, Parents First!

Saya teringat sesuatu apabila saya mendengar kisah ibu saya sewaktu kecil. Ibu saya dididik agar sentiasa mendahulukan ibu bapa dalam apa jua pekerjaan. Kesannya anak-anak menjadi seorang yang beradab dan sangat menghormati orang tua. Sebagai anak, kita mestilah tetap peka mendahulukan ibu bapa walaupun mereka tidak kisah.

5. Menjadi Penyejuk Mata.

Rasulullah SAW memberi jaminan kepada kita dalam sebuah hadis Riwayat al-Tabrani, iaitu:

“Berbuat baiklah dengan kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anakmu akan berbuat baik kepada kamu.”

Subhanallah, kalau kita ingin mempunyai anak-anak yang menjadi penyejuk hati kita maka jadilah penyejuk mata buat kedua ibu bapa kita.

Muhammad bin Munkadir termasuk orang yang berbakti kepada orang tuanya menurut para ulama. Apa yang beliau lakukan? Dalam Kitab al-Zuhd, Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada Muhammad bin Munkadir, dia berkata;

“Aku melewati malamku sambil memicit kaki ibuku, sementara Umar (saudaranya yang suka beribadah) melewati malamnya sambil solat. (Aku tetap melakukan itu) meski malamku tak menyenangkan apabila dibandingkan malamnya. (Semoga Allah merahmati beliau).”

6. Lakukan Sesuatu Yang Menggembirakan Ibu Bapa.

Sebagai seorang anak, kita sewajarnya paling mengenali ibu bapa kita. Kita seharusnya mengetahui perkara yang mereka suka dan tidak suka.

Maka, usahalah sebaik mungkin agar kita dapat menggembirakan hati mereka walaupun dalam sekecil-kecil perkara. Bahagikanlah masa yang sebaiknya agar dapat memenuhi keperluan ibu bapa disamping kesibukan kita dalam bekerja mahupun berkeluarga.

Jadilah anak yang bijak dalam memenangi hati orang tua agar hidup kita lebih mendapat keberkatan.

Banyak kisah tauladan yang dapat kita jadikan contoh dalam perkara berbakti kepada kedua ibu bapa.

Sama-samalah kita perbaiki hubungan kita dengan ibu bapa agar hidup kita sentiasa mendapat keberkatan dan keredaan-Nya di dunia dan akhirat. Insya Allah.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen