Jadikanlah Nabi SAW Sebagai Idola Kita.

Aspek baik daripada akhlak Rasulullah SAW ialah kehidupan berkeluarga memandangkan masyarakat hari ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti perceraian suami isteri, sumbang mahram serta penderaan. Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda menunjukkan contoh ikutan terbaik dalam memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.

Firman Allah SWT bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah SWT (dalam masa susah dan senang)” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sebagai suami, Baginda SAW begitu menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan. Baginda SAW juga tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah.

Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah (r.a) meriwayatkan katanya:

“Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)

Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda Aisyah (r.a) yang meriwayatkan:

“Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya” (Hadis riwayat Bukhari)

SENTIASA MENYANTUNI ISTERI.

Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, Baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas (r.a) pernah mengatakan bahawa Baginda SAW akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.

Dalam kehidupan berpoligami juga, Baginda adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata. Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.

Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda datang menemui Baginda, Aishah (r.a) yang mewakili mereka terus bertanya, 'Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi?' Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan sebelum Baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.

Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda berkumpul kerana Baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, 'Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.' Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.

SEORANG BAPA PENYAYANG.

Rasulullah SAW adalah bapa penyayang. Acap kali apabila Baginda melihat puterinya Fatimah (r.a) masuk ke rumahnya, Baginda terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan. Aisyah (r.a) pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah sebab Baginda amat sayang kepada Fatimah (r.a).

Baginda menegaskan;

"Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku."

Ummu Salamah (r.a), isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa Fatimah (r.a) adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah (r.a) mencintai ayahandanya lebih daripada cintanya kepada sesiapa pun. Selepas ibunya Khadijah (r.a) meninggal dunia, dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya.

Justeru Rasulullah memanggilnya dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya. Memiliki sebuah keluarga harmoni memerlukan ikatan yang mesra bukan sahaja dengan anak dan isteri, malah menantu juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui kehidupan Sayyidina Ali bin Abi Talib sebagai menantu Baginda.

Semoga Bermanfaat!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen