Kenapa Masih Ada “Interest” Dalam Pembiayaan Rumah Patuh Syariah? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

SOALAN:

Apakah hukum membeli rumah menggunakan pinjaman perbankan konvensional (riba’). Sememang wujud perbankan islamik, namun  masih ada interest (faedah) yang dikenakan?

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Allah SWT mengharamkan hambanya dari terjebak dengan segala muamalah yang terdapat padanya riba’. Riba’ bermaksud ‘increment’ atau pertambah yang dikenakan pada perkara tertentu. Pertambahan yang dimaksudkan boleh berlaku pada aktiviti hutang dan jual beli. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ Dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.” [Surah Ali-Imran : 130]

Daripada al-Sha'bi R.A berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَهُ وَكَاتِبَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba’, orang yang memberi riba’, saksinya dan penulisnya.” [Riwayat al-Nasa’i (5105)]

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa amalan riba’ merupakan punca kepada penderitaan dan kesengsaraan bagi mereka yang amat memerlukan (harta) dan kesusahan hidup. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/926)

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum bermuamalah dengan riba’ ini adalah haram berdasarkan nas-nas di atas. Oleh itu, setiap daripada kita perlulah berusaha untuk menjauhi amalan tersebut dari sudut menerima atau memberi riba’.

Dalam isu perbankan pula,umumnya masyarakat Malaysia diberi pilihan sama ada menggunakan  perbankan konvensianal atau perbankan Islam dalam pembiayaan dan pinjaman yang dibuat. Justeru, sebagai umat Islam, kita perlu berusaha untuk menjauhkan diri kita dari muamalah riba’ dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini sebagai mematuhi ajaran agama serta perintah Allah SWT semata-mata.

Antara perbezaan ketara yang ramai masyarakat terkeliru berkaitan kedua-dua perbankan ini ialah dari sudut kontrak yang digunakan.

Bagi perbankan konvensional, kontrak yang digunakan ialah kontrak pinjaman, dimana keuntungan dibuat berdasarkan kepada faedah di atas transaksi pinjaman.Hal seperti ini adalah dilarang sama sekali oleh syarak.

Manakala, bagi perbankan Islam, kontrak yang digunakan ialah Bai’ Bithaman Ajil (BBA) atau kontrak Musyarakah Mutanaqisah (MM). Justeru keuntungan yang diperolehi adalah daripada jualan atau pajakan yang dilakukan oleh bank. Sememangnya akan terdapat juga cas-cas yang dikenakan ke atas peminjam dalam setiap pembiayaan atau pinjaman yang dilakukan.

Hal ini kerana:

1. Kewujudan perbankan Islam ini adalah berlesen dan berdaftar yang juga bermatlamatkan keuntungan dalam memajukan agensinya ke arah yang lebih baik. Namun, khidmat kewangan yang ditawarkan adalah produk-produk serta akad yang dibenarkan syarak sahaja. Keberadaannya bukanlah sebagai satu badan kebajikan dan agensi percuma semata-mata.

2. Perbankan Islam juga mempunyai pelabur-pelabur dalam setiap sektornya. Justeru keuntungan dalam pelaburan perlu diraih bagi menjana kekuatan ekonomi serta mengekalkan pelabur-pelabur yang ada.

3. Perbankan Islam turut mempunyai pekerja-pekarja dalam menguruskan kerja-kerja syarikat dan bukanlah dilakukan oleh mesin. Setiap pekerja-pekarja ini perlulah dibayar gaji sebagai balasan terhadap kerja yang dilakukan. Justeru, keuntungan syarikat amat penting bagi mengekalkan pekerja yang berkualiti dan berdaya saing.

4. Perbankan Islam juga menanggung kos-kos operasi yang dijalankan seperti sewa bangunan, peralatan dalam mengendala operasi syarikat, bil-bil dan lain-lain. Oleh itu, jika bank Islam tidak mencapai keuntungan yang disasarkan, bank-bank islam tidak mampu untuk beroperasi seterusnya bersaing dengan bank konvensional yang sedia ada.

KESIMPULAN.

Sebagai umat Islam, kita perlu mengelakkan diri dari berurusan dengan amalan riba’. Hal ini kerana Allah SWT dan Nabi SWT mengharamkan dan melaknat bagi mereka yang berurusan dengan amalan riba’. Justeru,untuk menjadi mukmin yang sejati, berusahalah dalam mencapai redaNya dengan meninggalkan amalan riba’ ini. Semoga dengan pencerahan ini mampu memberi sedikit kefahaman kepada kita semua.

Wallahu’alam.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen