Suami Isteri Perlu Mempunyai Sifat Ehsan Dan Matang Untuk Menjamin Keharmonian Keluarga Bahagia.

Dari Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Takutlah kalian untuk berbuat zalim, sebab kezaliman itu mendatangkan kegelapan-kegelapan pada hari kiamat.” [Hadis Riwayat Muslim]

Perkataan zalim dalam hadis ini dirujuk sebagai ketidakadilan. Dalam konteks hubungan suami isteri, konflik tercetus apabila wujud ketidakadilan dalam pemikiran dan reaksi spontan isteri atau suami.

Bagaimana terjadi ketidakadilan dalam pemikiran? Setiap manusia ada sangkar otak atau encoded assumption yang terhasil daripada harapan atau expectation, nilai-nilai yang diperolehi hasil didikan ibu bapa/ penjaga dan juga pengalaman yang dilalui dalam kehidupan.

Jika ada sesuatu yang melanggar atau mencemari sangkar otak kita, kita akan cenderung untuk membuat andaian awal dengan sebab-sebab ciptaan kita sendiri. Akibatnya, berlakulah tindakbalas hasil daripada pemikiran itu tadi. Tindakbalas itu pula terbahagi kepada dua:

  • Reaksi spontan.
  • Reaksi matang.

Sebagai contoh, cuba lihat senario ini.

********

Ani, seorang suri rumah sepenuh masa, mempunyai seorang anak kecil berumur 2 tahun. Selain daripada menjaga anak, rutin hariannya ialah menyediakan makanan tengah hari untuk suaminya.

Suaminya akan pulang dari pejabat untuk makan tengah hari dan balik semula ke pejabat hingga selesai tugasan.

Satu hari, si suami pulang ke rumah dan mendapati tidak ada makanan tengah hari yang dihidangkan seperti diharapkan. Encoded assumption yang tertanam dalam otak suami iaitu isteri sediakan makan tengah hari telah dilanggar.

Suami yang bereaksi spontan akan terus memarahi dan mencari salah isteri tanpa usul periksa. Isteri dituduh cuai dan malas dalam menyempurnakan tanggungjawab.

Inilah yang dikatakan ketidakadilan dalam pemikiran.

Ani, yang pada awalnya ingin menerangkan kepada suami kenapa hidangan makan tengah hari tidak dapat disediakan pasti akan berasa terkilan dan sedih. Akibatnya berlaku konflik di antara Ani dan suami, komunikasi tidak berlaku dengan baik dan akhirnya membawa kepada pertengkaran.

Hal ini, pasti dapat dielakkan sekiranya si suami tadi berlaku adil dalam pemikiran dan bereaksi matang dalam tindakannya.

Benar, suami yang baru pulang dari pejabat itu tentu sahaja berasa penat dan lapar, tetapi asbab keadilan dalam pemikirannya yang membuang segala prasangka yang melulu, tindakan matang dan sifat ehsannya, dapat mengawal dirinya daripada berlaku zalim pada isterinya.

Suami yang bereaksi matang akan lebih peka dengan suasana dan emosi di sekelilingnya daripada memikirkan keperluannya semata-mata. Isteri mungkin kepenatan kerana menjaga anak kecil yang masih aktif dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

Anak tadi mungkin kurang sihat, meragam dan merengek sepanjang masa sehingga mengganggu rutin biasa Ani untuk memasak. Dengan sifat ehsan, suami akan lebih sabar dan menerima kelemahan isteri tadi.

Daripada fokus mencari salah, suami bersikap tenang untuk memahami punca sebenar yang berlaku dan mencari solusi untuk mengelakkan perkara yang sama berulang kembali.

********

Dalam banyak kes, ramai pasangan suami isteri bercerai kerana bertindak balas dengan reaksi spontan ini. Padahal punca sebenar mungkin hal-hal remeh yang boleh sahaja diselesaikan sekiranya pasangan mengambil pendekatan tindak balas reaksi matang.

Untuk tindak balas reaksi matang, Ustaz Muhammad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin menganjurkan untuk kita besarkan ‘circle of tolerence’ atau tanamkan sifat ehsan dalam diri. Sifat ehsan dapat dipupuk dengan memahami dua perkara ini.

  • Semua manusia itu tidak sempurna.
  • Setiap yang berlaku semuanya tertakluk pada takdir Allah.

Yang paling penting setiap pasangan harus berusaha semaksima mungkin untuk keharmonian rumah tangga. Tenang dalam menangani konflik, waras dan rasional dalam setiap tindakan.

Ingat, ujian rumah tangga akan sentiasa ada. Syaitan juga akan sentiasa berusaha untuk meruntuhkan penyatuan dua jiwa.

Teruskan berdoa agar tindakan tidak berdasarkan nafsu dan amukan syaitan. Sabar dan solat, semoga Allah limpahkan kekuatan.

“Great marriages are built brick by brick, day after day, over a lifetime.” -Dieter F Uchtdorf-

Semoga dengan perkongsian ini kita lebih adil dalam memahami pasangan masing-masing. Adil dalam pemikiran dengan besarkan ehsan kita dan bertindak balas dengan reaksi matang dalam setiap konflik yang timbul. InshaAllah.

********

Semoga Bermanfaat!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen