Bagaimana Dengan Penghutang Yang Tidak Mampu Untuk Melangsaikan Hutang? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

SOALAN:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Terdapat kenalan rapat saya telah meminjam wang daripada saya. Namun begitu, dia masih menangguhkan pembayaran tersebut disebabkan kepada ketidakmampuan dia dalam menyelesaikan hutang tersebut. Apa yang saya boleh lakukan? Mohon penjelasan dan nasihat? Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Pertama sekali, kami tegaskan bahawa hukum melangsaikan hutang adalah wajib ke atas setiap penghutang.

hukum melambatkan atau menangguhkan pembayaran hutang bagi mereka yang berkemampuan adalah haram. Perkara ini adalah seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيءٍ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya: “Menangguh pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman, jika salah seorang dari kamu memindahkan hutang itu pada orang yang kaya, maka terimalah ia (pemindahan hutang).” [Riwayat al-Bukhari (2287) dan Muslim (1564)]

Bagi mereka yang tidak mampu pula, adalah sebaiknya bagi pemiutang menagguhkan serta melambatkan proses melangsaikan hutang tersebut. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Surah al-Baqarah: 280)

Imam al-Maraghi menjelaskan ayat ini:

“Sekiranya penghutang sedang mengalami kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutang. Namun begitu, bersedekah kepada orang yang berhutang yang sedang menanggung kesulitan dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi pemiutang dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT daripada menunda masa pembayaran mereka.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/649)

KESIMPULAN:

Dalam isu ini, kami tegaskan bahawa hutang adalah wajib untuk dilangsaikan bagi setiap penghutang. Namun begitu, sekiranya penghutang tidak mampu untuk membayar hutang disebabkan menanggung kesulitan dan sebagainya, pemiutang disarankan untuk melambatkan tempoh mengutip hutang tersebut dan adalah lebih baik bagi pemiutang untuk menghalalkan sahaja hutang tersebut.

Semoga dengan penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam memahami syariat Islam dengan lebih baik.

Amin.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen