Antara Tanda- Tanda Allah SWT Sayangkan Kita.

Sebagai manusia yang khilaf kita sentiasa berasa adakah Allah SWT sayangkan kita? Akan tetapi kenapa kehidupan sentiasa bercelaru seperti tiada bimbingan? Kenapa berdoa tetapi tidak dimakbulkan? Bermuhasabah diri untuk melihat tanda-tanda Allah sebenarnya sayangkan kita…

1. Allah Masih Panjangkan Umur Anda.

Bersyukur kerana kita masih diberi nafas untuk hari ini. Di waktu pagi tadi, kita dapat mencelikkan lagi mata yang terkatup rapat di malam hari. Namun, ramai yang tidak melihat inilah antara bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya. Dia memberi peluang untuk kita menambah amal kebaikan.

Dan ketika nafas masih dapat dihembus dan dihirup, kita masih boleh mengucap kata taubat. Kita dapat lagi meminta ampun daripada perbuatan dosa kita. Allah masih mahu menerima taubat kita.

Inilah kenyataannya. Lihatlah pula insan yang lain. Ada yang telah hilang nyawanya dan waktu untuk beramal sudah berakhir. Yang ada hanya menanti pembalasan Allah S.W.T. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur kita hingga ke saat ini.

2. Kesihatan Tubuh Badan.

Beruntungnya kita dikurniakan dengan badan yang sihat tanpa ada penyakit. Ketika cergas inilah kita perlu perbanyakkan melakukan kebaikan. Badan yang sihat mampu melakukan kerja yang berat, dapat melakukan solat sunat dan pelbagai perkara yang boleh membawa manfaat.

Seharusnya kesihatan ini membuatkan kita lebih bersyukur kepada Allah S.W.T. Allah memberi tenaga yang tidak dimiliki oleh anak kecil dan warga emas. Kesihatan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit kerana kesihatan sungguh mahal harganya. Jika diberi bumi serta isinya juga tidak mampu membayar nilai harga sebuah kesihatan.

Mari ucapkan Alhamdulillah dan jadikan badan sihat yang kita miliki sebagai satu kekuatan untuk membangkitkan lagi kecintaan kita kepada Allah S.W.T.

3. Kehebatan Doa.

Doa adalah pengikat kasih. Saluran rindu dan rintihan seorang hamba kepada Allah S.W.T. Berserah dan meminta semata-mata kepada Allah S.W.T. Dengan doa, hati kita menjadi puas dan nikmat. Kerana permintaan kita pasti akan dimakbulkan Allah. Jika tidak di dunia, pasti Allah akan mengkabulkan permintaan kita di akhirat sana. Dan jika bukan hari ini mungkin esok Allah akan beri.

Doa adalah senjata orang mukmin yang tajam dan berbisa. Jangan dipandang lekeh kerana doa satu pemberian Allah yang cukup bermakna. Orang yang berdoa tidak akan merasa lemah kerana dia tahu Allah dekat dengannya. Dia bersangka baik dan pasti Allah tidak mengecewakannya. Inilah kasih sayang Allah. Indah bukan?

4. Akal Yang Waras.

Sedarkah kita dengan akal yang dikurniakan Allah kepada manusia? Akal ini tidak diberi kepada pokok. Ia juga tidak ada pada binatang. Kehadirannya hanya eksklusif kepada manusia. Dengan akal, kita dapat membezakan mana yang baik dan mana yang batil/salah. Berpandukan dengan ilmu yang benar dan dibantu dengan akal yang waras.

Betapa Allah sayangkan kita. Dengan kehebatan akal, begiitu banyak kehadiran teknologi yang dapat membantu memudahkan kehidupan seharian kita. Namun ingat, jika kita menganggap akal itu hebat hakikatnya Allah lebih hebat. Kerana Dialah yang menciptakan akal. Jadi bijaklah menggunakan akal dan jangan menyalahgunakannya pada jalan yang salah.

5. Anugerah Iman Dan Islam.

Inilah antara anugerah yang cukup besar dalam kehidupan. Dengan iman dan Islam kita dapat menghadapi kehidupan dengan baik.

Islam menunjukkan peraturan yang segalanya adalah untuk kebaikan dan tiada keburukan kepada kita. Contohnya, Allah haramkan arak kerana untuk menjaga akal kita. Suruhan menutup aurat adalah untuk menjaga maruah kita dan terhindar dari kejahatan manusia.

Jika dilihat dengan mata iman, kita akan mengangguk setuju. Allah tidak pernah menzalimi kita kerana segala yang diberi adalah untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat sana.

Kita beruntung, Allah memberikan rezeki berbentuk iman dan Islam. Ia tidak dijual dan tidak dipasarkan di kedai-kedai. Ia adalah kurniaan Allah untuk hati yang bersinar hidayah.

 “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?” (Surah Ar-Rahman :13)

Nikmat mana lagi yang ingin kita mungkiri? Allah sudah memberikan kita segalanya. Cuma kita tidak mahu melihat dengan pandangan iman.

Allah tidak pernah zalim. Allah memberi peluang kepada kita di dunia. Dengan akal dan ilmu, kita dapat membezakan sesuatu perkara. Ya, kita diberi pilihan. Dan pilihan ada pada kita. Mahu jalan ke syurga atau terhumban ke neraka? Semuanya sudah terbuka luas pada diri kita.

Elakkan dari merasa Allah jauh. Sebenarnya Allah teramat dekat. Tetapi kerana hati kita kelam dengan dosa, disebabkan itu hati kita terhijab dan merasa keseorangan.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen