Bolehkah Berhutang Dengan Pihak Bank Untuk Berkahwin? Jom Ikuti Penjelasan Ini.

Soalan: 

Pertama : “Apakah sah jika akad nikah dengan maharnya (mas kahwin) berhutang?”

Kedua : “Bolehkah berhutang dengan pihak bank untuk membiayai majlis perkahwinan?”  


Jawapan: 

Menyediakan mahar untuk pihak isteri adalah wajib jika ingin berkahwin. Namun jika kita tetap ada masalah untuk menyediakan mahar tersebut, dibolehkan untuk berhutang dengan pihak isteri. Perkahwinan secara hutang tetap sah. Walau bagaimanapun, ia menjadi kewajipan suaminya untuk membayar semula hutang tersebut kepada isterinya biarpun mereka sudah bertahun berkahwin kecuali si isteri redha dan menghalalkannya.

“Barang siapa yang mengambil harta manusia, dengan niat ingin menghancurkannya, maka Allah juga akan menghancurkan dirinya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Di dalam masyarakat kita pada hari ini, masalah tidak mampu membayar mahar iaitu mas kahwin pada pandangan saya adalah agak mustahil kecuali mahar itu ditetapkan oleh pihak perempuan sendiri dan ianya terlalu tinggi. Kadar penetapan mahar sebenarnya telah ditetapkan oleh jabatan agama negeri (merujuk kepada jabatan agama negeri masing-masing). Ia mungkin berbeza dengan kehidupan masyarakat pada zaman Rasulullah SAW.

Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat beberapa sahabat yang terdiri daripada kalangan golongan miskin dan hamba sahaya. Jika mereka menyatakan niat untuk berkahwin, Rasulullah SAW  tetap meminta mereka menyediakan mahar kerana mahar adalah wajib sebagai hadiah kepada bakal isteri. Bahkan ada suatu hadis daripada Rasulullah SAW. yang meminta sahabat membayar mahar dengan hafalan Al-Quran kerana sahabatnya itu miskin dan tiada harta lain.

Dari Sahl bin S’ad, ia menceritakan:

“Suatu ketika seorang perempuan mendatangi Rasulullah SAW. Tiba di hadapan Rasullullah SAW. perempuan itu berkata; “Sungguh aku menyerahkan diriku”, (meminta Rasulullah menikahinya). Perempuan itu lalu berdiri lama sekali. Lalu berkatalah seorang lelaki kepada Rasulullah SAW, “Nikahkanlah aku dengannya jika engkau tidak berminat kepadanya!”.

Rasulullah SAW menjawab, “Apa yang anda miliki untuk mas kahwinnya?”. Lelaki itu menjawab, “Aku tidak memiliki apa-apa kecuali sarung” (yang dipakainya). Rasulullah SAW. menjawab, “Jika anda memberikannya, anda tidak memakai sarung lagi. Carilah sesuatu walaupun berupa cincin besi”. Tetapi lelaki itu tetap tidak memiliki sesuatu.

Akhirnya Rasulullah SAW bertanya; “Apakah ada pada anda sesuatu dari Al-Quran?”, ia menjawab; “Ada, aku (hafal) surah ini dan surah ini”, ia menyebutkan beberapa nama surah itu. Rasulullah SAW. bersabda; “Aku nikahkan anda dengan perempuan itu dengan mas kawin sesuatu daripada Al-Quran yang ada pada anda”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

BERHUTANG DENGAN PIHAK BANK UNTUK MEMBIAYAI MAJLIS PERKAHWINAN.

Hukum berhutang secara umumnya adalah harus. Ia boleh jadi haram jika pinjaman tersebut mempunyai unsur riba.

Namun anda dinasihatkan, sekiranya terpaksa membuat pinjaman bank, pilihlah bank yang mempunyai pinjaman Islamik kerana mereka biasanya melantik panel syariah yang berautoriti. Insya Allah anda akan terhindar daripada riba kerana ianya dipantau oleh panel syariah bank tersebut.

Larangan riba telah jelas dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan.” (Surah Ali Imran : Ayat 130)

Namun jika ada pilihan lain, elakkan untuk berhutang dengan pihak bank. Lebih baik meminjam dengan kaum kerabat, saudara atau ahli keluarga terlebih dahulu. Sebab apa? Meminjam dengan keluarga atau saudara biasanya adalah lebih mudah urusannya dan boleh bertolak ansur dalam urusan pembayaran balik hutang tersebut.

BERKAHWIN IKUT KEMAMPUAN.

Berhutang merupakan amalan yang kalau boleh patut dielakkan oleh setiap orang. Tidak ada masalah untuk berhutang jika betul-betul di luar kemampuan dengan syarat kita mesti membayar balik pinjaman kita. Berhutang mesti hanya untuk perkara terdesak dan keperluan sahaja. Jangan berhutang jika anda tidak ada keperluan.

Beban hutang adalah berat. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang. Sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari." (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Perbelanjaan majlis perkahwinan biasanya merupakan kos yang paling besar dalam sesuatu perkahwinan. Jika anda tidak mampu membuat majlis yang besar dan mewah, buatlah sekadar kemampuan anda. Jangan melebihi kemampuan sehingga menyebabkan anda terpaksa berhutang dan mengambil masa yang bertahun-tahun untuk menyelesaikan baki pinjaman tersebut.

Kesimpulan:

Sebagai kesimpulan, hukum berhutang asalnya adalah perkara yang harus dan dibolehkan dalam semua hal termasuklah bagi membiayai kos perkahwinan. Memilih pinjaman yang mematuhi syariah Islam adalah merupakan kewajipan individu Muslim. Sebelum berhutang, anda perlu mengambil kira semua aspek termasuklah dari segi kemampuan untuk membayar balik pinjaman tersebut.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen