Cara Bijak Menguruskan Kewangan Peribadi Anda, Mari Mulakan.

Oleh: Zuzu Yasmine

Bagi mereka yang telah berkerja dan mempunyai pendapatan, sudah pastilah pengurusan kewangan yang bijak ini mampu mencegah anda untuk terlibat dalam masalah kewangan pada masa akan datang. Sesiapa sahaja mampu menguruskan kewangannya, tapi belum tentu dia dapat menguruskannya dengan bijak.

Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan bijak dalam menguruskan kewangan, adalah apabila dirinya tidak terlibat dengan masalah hutang yang banyak sekali gus tidak terlibat dengan muflis. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, maka anda perlu mula menguruskan kewangan peribadi anda dengan bijak. Mari ketahui cara-caranya.



1. Elakkan berhutang.

Elakkan berhutang, terutama menggunakan kad kredit yang kenakan faedah tinggi. Jika guna kad kredit, pastikan bayar sepenuhnya setiap bulan. Kalau tidak, itu tanda kita berbelanja di luar kemampuan. Ramai bankrap disebabkan terperangkap dengan kadar faedah tinggi.

2. Membeli mengikut keperluan.

Beli barang berdasarkan nilai, bukan harga. Banyak barang bernilai berharga murah. Kopi di gerai tepi jalan dan di premis lima bintang sama saja. Apa yang membezakan ialah suasana. Beli kereta yang sesuai dengan pendapatan, bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

3. Gunakan apa yang ada jika masih elok.

Usah kejar beli kereta dan handphone baru. Apabila habis bayar ansuran kereta, tak perlu tukar kereta baru. Saya gunakan kereta lama berusia sembilan tahun. Masih elok. Insuran pun murah.

4. Elakkan beli secara berhutang.

Elakkan beli perabot, peti sejuk, tv atau handphone secara hutang. Kadar faedah pinjaman peribadi tinggi, sama seperti kad kredit. Amat tak berbaloi.


5. Jaga wang simpanan KWSP.

Usah gunakan wang simpanan KWSP untuk kenduri kahwin. Wang KWSP ialah untuk persaraan. Begitu juga usah buat pinjaman peribadi untuk kenduri kahwin. Salah satu punca pasangan bercerai ialah tekanan kewangan disebabkan hutang.

6. Urus duit secara betul.

Beli apabila ada duit. Usah belanja pendapatan yang belum diperolehi. Gunakan tunai atau kad debit. Ada duit beli, tak ada duit tunggu dulu.

7. Jangan berhutang untuk mulakan bisnes.

Elak mulakan bisnes dengan berhutang. Sebahagian besar bisnes bungkus. Apabila berhutang, kena bayar. Buat pinjaman hanya untuk kembangkan bisnes, bukan memulakan bisnes.

8. Jangan berhutang semata-mata untuk ke luar negara.

Usah pergi haji atau umrah dengan hutang. Atau, melancong. Haji dan umrah wajib jika kita mampu. Kalau kita berhutang, itu tanda kita tak mampu. Tangguh dulu.

9. Rancang persaraan dengan bijak.

Rancang persaraan sebaik saja mula bekerja. Setiap orang ada keperluan kewangan yang berbeza. Pastikan kita ada cukup wang untuk bersara selama 20 tahun (240 bulan), apabila usia kita cecah 55 tahun.

10. Wajibkan simpanan.

Simpan 10-20% dari gaji bersih setiap bulan. Pastikan kita ada simpanan kecemasan bersamaan sekurang-kurang enam bulan keperluan.

11. Kawal nafsu berbelanja.

Usah gila beli barangan online setiap bulan. Cukuplah beberapa helai tudung, tak perlu beli tudung setiap kali dapat gaji. Begitu juga tak perlu beli bermacam-macam produk kecantikan setiap bulan. Kalau dah cantik, tak pakai make-up tebal pun nampak cantik. Simpan duit tu.

Siapa ada akan datang adalah siapa anda hari ini, jika anda ingin terus menerus memandang sambil lewa terhadap pengurusan kewangan anda, begitulah anda selamanya. Melainkan jika anda mula mengambil langkah bijak dari sekarang, pasti akan datang anda mampu mencapai impian anda.


Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen