Kebebasan Wanita Dalam Memilih Pasangan.

Oleh: Rafi

Kebebasan Wanita Dalam Memilih Pasangan.

Kedatangan ISLAM telah membawa dan menjulang martabat wanita yang tiada tolok bandingnya. Berbeza dengan peradaban dan kemajuan yang dikecapi oleh sebahagian tamadun terdahulu walaupun mereka telah mencapai kemajuan dalam pembinaan tamadun, namun maruah dan martabat wanita sering sahaja diabaikan dan tidak diendahkan. Sebagai contoh, bagi masyarakat Hindu ada yang berpendirian si isteri perlu dibakar bersama mayat suaminya. Masyarakat Greek memandang mulia kepada lelaki manakala memandang hina kepada wanita. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita sebagai lambang syaitan. Manakala masyarakat Arab Jahiliyah mewarisi amalan tradisi membunuh anak perempuan yang masih kecil dengan menanam mereka secara hidup-hidup, sementara menjaga anak lelaki hingga dewasa berhujahkan anak perempuan akan membawa sial dalam hidup. Kehadiran ISLAM telah merubah segala tanggapan dan penindasan, menjurus kepada pembelaan mengangkat kemuliaan darjat seorang wanita. Dalam konteks masyarakat kita pada hari ini, dengan keluasan kepada pendedahan dan penerimaan ilmu telah membuka ruang yang luas lagi dalam memelihara dan memartabat maruah seorang wanita. Hal ini adalah selari dengan piawaian syariat bersesuaian dengan penerimaan budaya setempat. Sinonimnya masyarakat Melayu kita adalah sering kali dikaitkan dengan manhaj yang dibawa oleh mazhab asy-Syafi’i sebagai panduan dalam perlaksanaan sesuatu amalan.



Namun secara realitinya jika diteliti dengan mengkaji keempat-empat mazhab secara terperinci, kita akan dapati bahawa terdapat jua sebahagian pandangan dan penetapan hukum yang di bawa oleh mazhab Hanafi, Hambali dan Maliki turut kita adaptasi dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, dalam proses nikah kahwin untuk seorang anak perempuan, mazhab asy-Syafi’i telah meletakkan bapa merupakan wali mujbir yang memiliki kuasa ‘veto’ untuk melangsungkan akad nikah. Seorang bapa berhak untuk mengahwinkan anak gadisnya yang telah mencapai umur dewasa walaupun mencapai umur 60 tahun tanpa persetujuan seseorang anak perempuannya terlebih dahulu. Sepotong Hadith Nabi saw yang bermaksud:

“Perempuan janda lebih berhak tentang urusan dirinya dari walinya dan gadis pula bapanya yang mengahwinkannya”

Suatu ketika dahulu kuasa ‘veto’ seorang bapa untuk menikahkan anak perempuan mereka begitu ketara dalam kehidupan masyarakat. Sehingga ada yang merasakan bahawa perkahwinan mereka merupakan desakan dan paksaan oleh orang tuanya. Mereka saling tidak mengenali hinggalah mereka telah diijabkabulkan oleh orang tua mereka. Ya, mungkin benar perkahwinan sedemikian mempunyai keberkatan dan keredhaan daripada orang tuanya yang telah merestuinya. ALHAMDULILLAH ramai di antara mereka yang mana rumah tangga yang terbina dengan secara yang sedemikian berjaya mengekalkan keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangganya hinggalah ke akhir hayat mudah-mudahan berkekalan sehinggalah ke syurga. Bertentangan pula dengan pemasalahan dan kepincangan yang berlaku dalam rumah tangga yang berlaku pada hari ini. Seimbas lalu, bila mana perkahwinan yang diracang oleh orang tua lazimnya akan mengurangkan pergaulan bebas dan terlarang sebelum menjelang akad nikah, sementara membuka ruang untuk menikmati kemanisan dan keseronokan yang halal selepas perkahwinan. Secara praktikalnya, penetapan bapa sebagai wali mujbir dalam proses akad nikah merupakan suatu perkara yang tidak dapat dinafikan bagi kita yang berpegang kepada mazhab Syafie.



Namun, proses perlaksanaan dan “kekuasaan” kepada seorang bapa yang menjadi wali mujbir adalah berbalik kepada keadaan semasa dan keperluan setempat. Ya, mungkin suatu masa dahulu dengan terkawalnya pergaulan dan perhubungan antara golongan remaja, kepadatan penduduk yang sedikit dalam sesuatu kedudukan setempat, terbatasnya pendedahan kepada ilmu dan beberapa lagi faktor yang lain menjadikan tindakan si bapa untuk melaksanakan kuasa vetonya sebagai wali mujbir dianggap masih lagi relevan dalam kehidupan. Tidak dinafikan mungkin terdapat segelintir kecil anak-anak perempuan yang membantah dan menentang tindakan sedemikian.

Daripada Ibn Abbas,:

“Seorang gadis datang kepada Nabi saw memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi saw memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya). (Hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Abani)

Namun, perubahan sering berlaku merentasi zaman. Keadaan dan keperluan sesuatu masyarakat akan berubah berdasarkan kepada keadaan semasa. Situasi pada hari ini yang jauh lebih terbuka dalam segenap perkara dalam kehidupan, membawa kita kepada perlunya pembaharuan dalam mengambil tindakan. Pada hari ini dengan perkembangan dan percambahan ilmu dalam golongan masyarakat, perhubungan dan perkenalan antara lelaki dan perempuan yang kian meluas, kepadatan komposisi penduduk dan masyarakat yang kian padat, kemampuan dan kebolehupayaan dalam menguasai segenap ruang ekonomi yang kian meningkat serta beberapa lagi yang lain memerlukan kepada perubahan kepada bapa yang memiliki ‘kuasa veto sebagai wali mubir’. Seorang bapa tidak lagi boleh memaksa dan mendesak anak mereka untuk mematuhi dan mentaati segala arahan dan kehendaknya. Lebih-lebih lagi dalam bab jodoh dan pasangan hidup. Dengan keperluan dan keadaan semasa yang kian mencabar pada hari ini, seorang bapa seharusnya lebih bersifat bijak dan terbuka dalam menetapkan perkara yang berkaitan dengan jodoh untuk anak mereka sebagai contoh. Keterbukaan ini jualah yang pernah disuarakan oleh seorang ulama kontemporari pada hari ini, iaitu Syeikh Dr Yusof al-Qardhawi. Beliau menyatakan bahawa:

“Siapa tahu, jika asy-Syafi’i r.a. hidup di zaman kita dan melihat kepada kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis pada hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga mereka menjadi neraka, barangkali jika asy-Syafi’i melihat hal ini, dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya.”

Ringkasnya, adakah tidak perlu tindakan seorang bapa yang memiliki kuasa ‘veto’ sebagai wali mujbir ke atas anak perempuannya masih boleh dipraktikkan atau pun adakah perlu kepada si bapa memberi kebebasan dan keterbukaan yang seluas-luasnya untuk mereka mambuat pilihan? Umumnya bergantung kepada keselesaan dan kebahagiaan antara si anak dan si bapa. Sewajarnya dalam keadaan yang lebih bersifat terbuka pada hari ini adalah perlu kepada bapa membuka ruang kepada si anak untuk mereka memilih dan membawa calon pasangan hidupnya kemudian berbincang antara mereka adalah jalan yang terbaik. Si bapa masih lagi mempunyai kuasa ‘veto’ dalam menjadi wali mujbir ke atas anaknya, namun penggunaan kuasa ‘veto’ itu bukanlah lagi dengan sikap mendesak dan paksaan perkahwinan mereka, tetapi adalah dengan kuasa ‘veto’ untuk meredhai dan merestui seterusnya membenarkan calon pasangan pilihan anaknya.



Alangkah bartuah dan bersyukurnya bila mana si anak membawa calon pasangan hidupnya yang merupakan seorang yang soleh dan mampu menjamin kebahagiaan dan kesenangan hidup hingga ke syurga. Itulah antara sebaik-baik bekalan dan tinggalan warisan keemasan orang tua bila mana memiliki anak dan pasangan yang soleh untuk kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. ALHAMDULILLAH, budaya paksaan menentukan pasangan seperti ini sudah jarang lagi timbul pada hari. Masyarakat kian berubah, kematangan kian terserlah. Justeru mengambil manfaat daripada pendapat yang lain merupakan suatu keperluan. Kebebasan dalam menerima padangan, keterbukaan dalam mengambil keputusan, pembaharuan dalam sesuatu tindakan merupakan suatu keperluan dan tuntutan selagi mana ianya tidak bercanggah degan syariat yang jelas dalam nas Al-Quran dan Hadith dalam mendepani pembaharuan yang seiring dengan zaman. Semoga bermanfaat.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen