Siapakah Yang Lebih Layak Menerima Sedekah? Jom Ikuti Penjelasan Ini.

Sedekah berasal daripada perkataan Arab (sidq)  yang bermaksud benar atau jujur. Secara istilahnya ia bermaksud suatu pemberian yang diberikan tanpa mengira waktu dan jumlah tertentu dengan niat untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Perkataan sedekah banyak digunakan dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza. Kadangkala sedekah bermaksud zakat (wajib). Kadangkala ia bermaksud pemberian yang bersifat sunat. Ia boleh jadi sesuatu yang bersifat material dan sebaliknya.

Menurut Syeikh Ali Al-Jumuah, sedekah dalam istilah yang umum mempunyai beberapa makna.

1. Sedekah yang diwajibkan oleh Shara’ ke atas harta. (Zakat harta atau al-amwal)

2. Sedekah yang diwajibkan oleh Shara’ ke atas (badan) individu. (Zakat fitrah atau al-abdan)

3. Sedekah yang diwajibkan oleh seseorang ke atas diri sendiri, iaitu sedekah yang wajib kerana nazar.

4. Sedekah yang diwajibkan kerana hak Allah SWT seperti fidyah dan kaffarah. (Kategori ke-3 dan ke-4 ini dibahaskan oleh fuqaha’ di dalam bab-bab Nazar dan Kaffarat)

5. Sedekah secara sukarela yang disunatkan oleh Shara’

Apa yang ingin dibincangkan di sini ialah sedekah yang kelima iaitu sedekah secara sukarela.

Siapakah Yang Berhak Mendapat Sedekah?

Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata:

Nabi SAW merintahkan untuk bersedekah.

Lalu ada seorang lelaki berkata,

“Saya punya wang satu dinar?”.

Beliau menjawab, “Nafkahilah dirimu sendiri.”

Lalu dia berkata, “Saya masih punya satu dinar lagi?”.

Beliau menjawab, “Nafkahilah isterimu.”

Lalu dia berkata, “Saya masih punya satu dinar lagi?”.

Beliau menjawab, “Nafkahilah pembantumu, kemudian perhatikanlah yang lain.”

(HR. Nasa’i, dinilai hasan al-Albani dalam Shahih Abu Dawuddan al-Irwa’ – Lihat Shahih al-Adab al-Mufrad, hal. 92)

Imam al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah berkata:

“Hendaknya seorang memilih untuk bersedekah dengan kelebihan hartanya, dan menyisakan secukupnya untuk dirinya kerana khuatir terhadap fitnah fakir (kemiskinan). Sebab, boleh jadi dia akan menyesal atas apa yang dia lakukan (dengan berinfak seluruh atau melebihi separuh harta) sehingga merosakkan pahala.”

Pada zaman Rasulullah, kita kerap mendengar cerita-cerita tentang sahabat yang murah hati dalam bersedekah. Saidina Abu Bakar contohnya yang memberikan seluruh hartanya ke jalan Allah.

Rasulullah SAW tidak menghalang kerana tahu tentang keyakinan dan sifat tawakkal Abu Bakar sehingga Rasulullah SAW tidak khuatir tentang fitnah tersebut. Namun, jika seseorang itu bersedekah tanpa menghiraukan keperluan diri dan orang dalam tanggungannya sehingga mendatangkan kesusahan dan fitnah, maka itu bukan sesuatu yang dituntut dalam agama Islam.

Keutamaan Sedekah Kepada Kaum Keluarga.

“Ada dinar yang kamu infakkan di jalan Allah, dinar yang kamu infakkan untuk memerdekakan budak dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin. Namun dinar yang kamu keluarkan untuk keluargamu (anak-isteri) lebih besar pahalanya.”(HR. Muslim)

“Dinar yang paling utama adalah dinar yang dikeluarkan seseorang untuk menafkahi keluarganya, dinar yang dikeluarkan untuk kenderaannya (yang digunakan) di jalan Allah dan dinar yang dikeluarkan kepada kawannya di jalan Allah.”(HR. Muslim)

“Bersedekah kepada orang miskin adalah satu sedekah, dan kepada kerabat ada dua (kebaikan); sedekah dan silaturrahim.”(HR. Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim, Shahihul Jami’ no. 3858)

Ini bukan bermakna kita tidak perlu bersedekah kepada orang yang bukan dalam kalangan keluarga, tetapi ia hanyalah soal keutamaan. Keluarga ialah orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita, maka hak dan keperluan mereka perlu pertama sekali diambil kira. Jika keperluan mereka sudah mencukupi barulah sedekah boleh dibahagikan pula kepada orang lain.

Maka dapatlah disimpulkan bahawa antara pihak yang mempunyai keutamaan mendapatkan sedekah adalah seperti berikut.

  • Diri Sendiri.
  • Keluarga (anak isteri, ibu bapa, adik beradik).
  • Kaum kerabat.
  • Tetangga.
  • Sahabat yang berjuang di jalan Allah.
  • Fakir Miskin.

Dalam menilai siapakah yang mempunyai keutamaan terhadap sedekah, kita juga perlu mengambil kira tentang situasi pihak yang ingin diberi sedekah. Jika tiba satu masa, tetangga atau sahabat kita sedang dalam kesusahan yang kritikal dan lebih memerlukan sedekah berbanding keluarga dan ibu bapa, maka perlulah mendahulukan sedekah kepada mereka.

Wallahua’lam.

 

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen