Amalkan 6 Asas Rumah Tangga Ini, Insya Allah Rumah Tangga Bahagia - Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood.

Oleh: Zuzu Yasmine

Semua orang mengimpikan rumah tangga yang dibina itu akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Di mana setiap cabaran dan dugaan itu mampu dilalui bersama-sama. Tapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Kita sebagai manusia hanya mampu mengimpikan dan merancang hal yang indah-indah sahaja.

Hubungan perkahwinan yang kuat sebenarnya berlandaskan syariat Islam bukannya sekadar nafsu semata-mata. Jadi sebelum anda mendirikan rumah tangga itu, perbaiki niat anda terlebih dahulu, barulah anda mampu membentuk hubungan yang lebih baik di antara suami dan isteri kelak.

Untuk miliki rumah tangga bahagia, 6 asas ini perlu anda amalkan dari awal perkahwinan sehingga lah ke hari tua. Asas-asas untuk membina rumah tangga bahagia ini telah dikongsi oleh penceramah motivasi terkenal Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan suaminya Wan Akashah Wan Abdullah dalam ceramahnya, mari ikuti.



Asas Pertama.

Setiap pasangan yang berkahwin harus menetapkan matlamat mereka iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hanya iman dan takwa boleh membawa pasangan ke syurga untuk mendapatkan kebahagiaan yang abadi. Uji diri adakah kita telah menjalani tanggung jawab sebagai Muslim. Keluar rumah menuju ke pejabat apakah niatnya?

Bagi isteri, jangan salah guna keizinan bekerja yang suami telah beri. Elakkan makan berdua dengan lelaki bukan muhrim begitu juga dengan lelaki. Masing-masing perlu perkukuh iman dan kepercayaan yang telah diberikan, barulah rumah tangga ada asasnya.

Menurutnya, tip dari nabi SAW untuk menjaga kesetiaan ialah jangan sesekali suami atau isteri mendengar rintihan dari rakan yang berlainan jantina dari mereka.

"Ujian datang dalam bentuk kesenangan dan juga kesusahan, jadi kalau iman kita lemah kita pasti akan kalah, untuk menguatkan iman di pejabat, pastikan kita berjemaah di surau pejabat dan isi masa dengan membaca al-Quran," tambah Wan Akashah pula.

Asas Kedua.

Perlu ada kasih sayang, cinta dan rindu.

"Sedihnya dua elemen ini sering berlaku pada zaman bercinta sahaja. Nabi SAW berpesan, kalau kita sayangkan seseorang mesti ditunjukkan dengan kata-kata dan perbuatan. Jadi jika ada suami yang mengatakan 'abang sayang, cuma tak tunjuk saja' maka itu tidak patut, kerana nabi ajar suruh tunjuk," tambah Siti Nor Bahyah pula.

Sebagai ibu, haruslah memanggil anak dengan penuh kasih sayang dan panggilan yang baik-baik kerana setiap patah perkataan yang keluar dari mulut ibu adalah doa.


"Nabi sendiri pun menunjukkan kasih sayangnya dengan berbaring di atas paha Saidatina Khadijah, jadi mengapa perlu suami sekarang tidak mengikuti perlakuan Rasulullah kalau itu yang menggembirakan hati isteri," ujar Siti Nor Bahyah.

Asas Ketiga.

Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW, jagalah adab suami isteri serta tingkah laku masing-masing. Setiap dari anggota yang Allah kurniakan seperti mata, mulut dan hidung semuanya perlu dijaga.

Kata Wan Akashah, isteri mesti memastikan suami makan dari masakannya supaya berkat.

"Sebab itu ustaz sendiri pun makan masakan yang ibu dan isteri masak. Dari situ makanan yang dimakan itu diyakini kebersihannya, apa yang dimakan menjadi darah daging untuk membentuk insan yang berakhlak mulia," jelasnya.

Asas Keempat.

Tegas Siti Nor Bahyah, amanah dan tanggung jawab perlu dipikul sehabis baik oleh setiap pasangan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pasangan yang secara tidak sengaja mengabaikan masa bersama pasangan atau anak-anak.

"Anak adalah amanah, sebaiknya kita menjaga anak kita sendiri dan tidak perlu menyerahkan tugas tersebut kepada pembantu rumah atau hantar ke pusat jagaan. Kalau pakai pembantu janganlah pula kita membiarkan pembantu mengambil peranan kita sebagai isteri," tambahnya.

Asas Kelima.

Setiap suami atau isteri mesti pastikan rezeki yang mereka perolehi adalah halal dan diberkati.

"Biar sedikit tapi mencukupi. Keberkatan itu amat penting. Apabila kita bersembahyang kita pasti akan mendapat ketenangannya. Begitu juga dengan kewajipan berzakat yang apabila kita tunaikan pasti kita akan tenang kerana mengikut suruhan Allah," ujar Siti Nor Bahyah.

Asas Keenam.

Pesanan yang paling penting ialah berbuat baiklah kepada ibu dan bapa. "Apabila kita sebagai anak berbuat baik kepada ibu bapa kita, Insya-Allah anak-anak kita akan baik kepada kita dan rumah tangga kita pasti bahagia," ujarnya.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen