“Setiap Suami Isteri Akan Mengalami Krisis Pertengahan Umur, Di mana Berlakunya Perubahan Mengejutkan Keduanya…” – Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Oleh: Zuzu Yasmine

Cabaran dalam hubungan suami isteri ini bukan hanya akan ada ketika di awal 5 tahun perkahwinan sahaja, namun cabaran akan datang sepanjang tempoh perkahwinan. Ramai yang menganggap bahawa tempoh 5 tahun itu adalah tempoh yang begitu mencabar buat pasangan suami isteri.

Sebenarnya, terdapat beberapa cabaran lain yang akan menduga pasangan suami isteri ini. Tidak kiralah ketika di awal perkahwinan, atau dipertengahan. Banyak orang hanya mengambil berat mengenai cabaran di awalnya sahaja, tapi ramai yang lupa untuk bersedia akan cabaran ketika anda dan pasangan telah masuk di pertengahan umur.

Menurut Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, apabila suami isteri tiba dipertengahan umur, kalian akan berhadapan dengan satu krisis, di mana suami isteri akan berhadapan dengan masalah hormon testosterone, yang menyebabkan seringnya berlaku perubahan yang mengejutkan.

Mari ikuti penjelasannya.



"Suami isteri akan dilanda satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu itu, hormon testosteron akan berkurangan dan menyebabkan sering berlakunya beberapa perubahan yang “mengejutkan”.

Kaum lelaki akan mengalami fasa andropaus yang mengakibatkan kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan emosi seperti cepat marah, cepat merajuk, mudah terasa tertekan dan mood yang berubah-ubah.

Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya sendiri.

Manakala dalam hal interpersonal pula, lelaki mula berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam keadaan tenaga dan upaya yang semakin menyusut.

Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan tentang pilihan-pilihan yang telah dibuatnya dalam hidup. Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai satu tahap, dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya.
Malah, lebih menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalin hubungan baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini “pijak semut pun tak mati” akan berlaku curang!

Bagi kaum wanita pula mereka akan mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada kebaikan mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri.

Fokusnya lebih kepada ke“aku”annya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan objektif sendiri dan pelbagai lagi yang “sendiri”. Pada waktu itu, ada wanita yang mengejar kembali atau “qada” semula apa yang tidak dapat dicapainya semasa muda.


Walau apa pun krisis yang melanda diri suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan umur. Islam ialah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam fitrah kehidupan berumah tangga.

Selagi berpegang kepada akidah, syariat dan akhlak Islamiah, lelaki andropaus dan wanita menopaus akan dapat mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.

Hakikatnya, siapa kita sewaktu tua dicorakkan oleh masa muda kita. Jika cinta kita dibina atas tujuan beribadah, maka tujuan itu mampu mempertahankan kita daripada landaan godaan, cabaran dan masalah yang datang bersama krisis pertengahan umur.

Jika pangkal jalan kita benar, betul dan kukuh maka mudahlah kita kembali ke pangkal jalan itu...maka kembalilah ke pangkal itu."



Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen