Jangan Kerana Mengejar Kemewahan Serta Kerjaya Terkorban Rumah Tangga Yang Terbina – Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Oleh: Zuzu Yasmine

Kewangan sememangnya menjadi masalah dalam sesebuah rumah tangga. Jika miliki wang yang mencukupi, sudah tentu masa bersama anak-anak dan pasangan juga semakin kurang. Mana tidaknya, masing-masing sibuk dengan mengejar kemewahan. Tapi jika tiada wang yang mencukupi pula, banyak perkara yang difikirkan dan terhad. Jadi bagaimana?

Sebagai seorang isteri mahupun suami, anda perlu bijak menguruskan rumah tangga serta kerjaya anda. Jangan biarkan salah satu ini akan mempengaruhi keputusan sekaligus mempengaruhi diri anda sendiri. Sedikit nukilan dari Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengenai antara kerjaya dan juga rumah tangga ini.



Jika ditanyakan kepada hati nurani kita yang paling dalam, antara kedua-duanya yang mana lebih berharga? Kemewahan hidup atau kerukunan rumah tangga?

Tentu kita akan menjawab, kerukunan rumah tangga. Bukankah kita mencari rezeki dan segala kemewahan hidup untuk membina sebuah keluarga yang bahagia?

Jika si suami ditanya, untuk apa kamu bertungkus-lumus bekerja siang dan malam? Tentu jawabnya, demi isteriku!

Begitulah juga jika ditanyakan kepada si isteri, tentu jawabnya juga demi suami. Dan jika ditanya kepada kedua-dua ibu bapa itu, untuk apa mereka berusaha, nescaya mereka akan menjawab … demi anak-anak.

Malangnya, mereka dan kita sering tertipu, betapa ramai yang melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan anak-anak semasa mencari kemewahan dan keselesaan hidup?

Kita sering terlupa yang kemewahan hidup – harta, rumah, kereta dan sebagainya bukan matlamat tetapi hanya alat dalam kehidupan ini. Kita memburu alat untuk mencapai matlamat.

Ertinya, harta dan segalanya itu adalah untuk membahagiakan rumah tangga kita. Begitulah sewajarnya.

Namun, apa yang sering berlaku adalah sebaliknya. Kita sering tertukar, alat jadi matlamat, matlamat menjadi alat. Kebahagiaan rumah tangga sering jadi pertaruhan dan acap kali tergadai dalam keghairahan kita memburu kemewahan hidup.

Kita bekerja demi anak-anak, anehnya anak-anak kita terabai semasa bertungkus-lumusnya kita bekerja. Kita terus memburu sedangkan hakikatnya tanpa sedar, kitalah yang sebenarnya sedang diburu.

Bangun daripada tidur, berkemas dan terus bekerja. Hampir senja baru pulang. Tidak cukup dengan itu ada lagi kerja yang kita bawa pulang ke rumah. Tidak cukup lagi, kita keluar pula bertemu pelanggan dalam kerja-kerja ‘part time’, kononnya untuk menambah pendapatan.

Begitulah kita hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhir bertahun-tahun. Tiba-tiba kita tersentak, mengapa kita sudah jarang menikmati senyum dan gurauan isteri? Mengapa kita sudah jarang mendapat sentuhan dan belaian suami? Mengapa ketawa dan gurau senda yang dahulu sudah semakin hilang dalam rumah tangga?

Pada ketika itu, hati yang degil masih mampu memberi alasan. “Aku sibuk. Aku sedang mengejar kejayaan dalam kerjaya Sedikit masa lagi, perniagaanku semakin menjadi. Nantilah, bila segalanya sudah stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga.”

“Nantilah, aku akan ini, aku akan ini …” Begitulah selalunya diri kita memberi alasan. Hati memberi justifikasi yang cuma andaian. Dan kita terus selesa dengan alasan, biarlah suami, isteri atau anak-anak berkorban sementara, nantilah kita akan bahagia!

Jangan keliru. Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan.

Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya. Carilah harta tetapi genggamlah cinta. Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta sekuat-kuatnya. Jangan diabaikan cinta itu walau sekelip mata pun. Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta dalam apa jua keadaan.

Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah: Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan.

Contohnya, janganlah kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita. Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat “kosmetik” semata-mata. Tetapi, luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.

Malah yang paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri. Cinta itu adalah cinta Allah SWT! Jagalah cinta kita kepada Allah SWT, insya-Allah, Allah SWT akan menjaga cinta kita suami isteri. Allah SWT akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat – untuk membahagiakan rumah tangga.

Kita akan sentiasa beringat bahawa dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah SWT. Hanya dengan memburu cinta Allah SWT, maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.

Dunia ini umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan. Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya. Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga.


Iman, kasih sayang, cinta sering dilemparkan orang di litar perlumbaan memburu dunia. Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah. Kita jadikan dunia sebagai alat untuk memburu kebahagiaan akhirat.

Jadilah dunia umpama kebun yang kita pugar, kita bersihkan dan kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya kita tuai di akhirat. Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui.

Pastikan ia teguh, kukuh namun kita tidak akan berlama-lama di situ … ia hanya jambatan. Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen