Langkah Meyakinkan Semula Hati Kepada Allah.

Oleh: Zuzu Yasmine

Sering kali kita dengar bahawa iman mudah turun naik, sama seperti hati. Jadi untuk mengekalkan iman ini, pasti anda perlu yakin dengan Allah. Malah, anda juga perlu percaya bahawa setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Tidak cukup dengan itu, untuk yakin dengan Allah, anda perlu memastikan bahawa anda perlu sentiasa beriman kepadaNya.

Allah menciptakan hati manusia dengan sifat yang berubah-ubah. Dengannya kita tahu bagaimana rasanya gembira, takut, sedih, marah, kecewa dan sebagainya. Bagaimana pula jika saat ini hati kita goyah dan tidak yakin dengan apa yang sedang Allah aturkan dalam hidup kita? Semoga dengan empat langkah di bawah, kita mampu ‘bertemu’ keyakinan semula.



1. Baca Ayat-Ayat Allah.

Jika kita mahukan sesuatu dalam hidup, syaratnya kita perlu berusaha. Begitu juga dalam hal keyakinan kepada Allah. Sentuhlah mushaf Al-Quran dengan tangan, selaklah lembaran-lembaran yang ada, tatap dan bacalah kata-kata yang turunnya dari Allah sendiri. Daripada sekian banyak ayat yang ada, pasti kita akan bertemu dengan pesanan-pesanan yang akan meneguhkan hati dan mengembalikan semula keyakinan kita sedikit demi sedikit.

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?” Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak meneguhkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu (Surah Al-Furqan 25:32)

2. Dengar Penceritaan Kisah-Kisah Nabi Terdahulu.

Allah tahu bahawa kita mengalami kesukaran. Allah tahu bahawa kita sudah hilang harapan. Allah tahu bahawa kita sudah hilang semangat dan kepercayaan. Kerana itu didatangkan kisah-kisah pengajaran tentang nabi-nabi dan umat Islam terdahulu supaya kita dapat mengambil pengajaran.

Jika kita ditimpa sakit, Nabi Ayub juga ditimpa sakit. Jika kita terpisah dari keluarga, maka Nabi Yusuf juga terpisah dari keluarga. Jika kita hilang cahaya mata, Ibu Maryam juga pernah kehilangan Nabi Musa. Jika kita kematian ibu bapa sejak kecil, baginda Rasulullah SAW juga pernah merasa menjadi yatim piatu. Jika kita tidak sengaja berkasar dan mencederakan orang, Nabi Musa juga pernah melakukan kesilapan yang sama. Jika kita mengatakan bahawa “Itu Nabi, aku bukan Nabi…”, ketahuilah bahawa nabi juga mempunyai perasaan sedih dan kecewa sama seperti kita.

Kita tidak berseorangan saat ini, kerana Allah, Tuhan yang pernah menjaga, memberi petunjuk dan mengampunkan nabi-nabi juga adalah Tuhan yang sama yang sedang melihat dan menjaga kita saat ini.

3. Bercakap Dengan Orang Yang Suka Mendekatkan Diri Dengan Allah.

Selalunya apabila kita mempunyai masalah, kita ingin meluahkan apa yang terbuku di hati kepada orang. Kita ingin didengari. Ada orang apabila diceritakan masalah, mereka menyebarkan pula masalah kita kepada orang lain. Maka pilihlah insan yang tepat yang dirasakan mampu menjadi pendengar dan penasihat yang baik.

Dalam hal yang berkait dengan keyakinan dan kepercayaan kepada Tuhan, bercakaplah dengan orang yang baik akhlaknya dan suka mendekatkan diri kepada Tuhan. Pada mereka ada mutiara kebijaksanaan dan hati yang jernih yang dapat memantulkan pula kebaikan kepada orang lain.

4. Berdoa Supaya Allah Mencampakkan Keyakinan Kedalam Hati.

Setelah segalanya telah kita usahakan untuk mencari semula keyakinan, maka jangan terlupa untuk meminta sendiri kepada Allah agar diberikan perasaan yakin. Berdoalah supaya Allah meyakinkan hati kita dalam beragama dan yakin dengan janji-janjiNya. Sesungguhnya Allah lah yang mempu membolak-balikkan hati manusia, yang akan sentiasa menguji hati – bukan untuk melemahkan, malah untuk lebih menguatkan.

Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang ada dalam tangan kamu: “Jika Allah mengetahui ada kebaikan (iman) dalam hati kamu, nescaya Ia akan memberi kepada kamu (balasan) yang lebih baik daripada (harta benda penebus diri) yang telah diambil dari kamu, dan Ia akan mengampunkan dosa kamu; kerana Allah Maha Pengampun, lagi maha Mengasihani.
(Surah Al-Anfal 8:70)

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen