Tidak semua golongan wanita yang hamil akan mengalami alahan, akan tetapi Ikuti perkongsian dari saudara Akhtar Syamir atau dikenali sebagai Bro Ohsem ketika isterinya mengalami alahan…
********
Jadi, apa yang suami perlu buat?
1. Redha dengan keadaan yang berlaku ini.
Kena terima dengan hati yang terbuka. Kita sedang diuji kali ini. Kita perlu bersyukur kerana ia terjadi, kerana ada suami isteri tak pernah diuji sebegini kerana mereka tidak ada rezeki untuk dapat zuriat. Jadilah suami yang positif, fikirkan hadiah yang kita sekeluarga akan dapat apabila kita berjaya harungi benda ini nanti. Seorang anak penyambung keturunan kita.
2. Sabar.
Saya tak dapat nak tekankan dalam bertulis sebesar mana pentingnya anda perlu bersabar bila melalui masa ini. Kena sabar bang. Untuk anak ketiga ini saya dua tiga kali tertunduk dan terduduk. Saya telah berikan segalanya tapi masih tidak cukup kaki dan tangan saya untuk menguruskan isteri dan anak - anak.
Anda akan rasa penat, anda akan rasa kecewa, anda akan rasa marah. Jadilah suami yang baik, jeritlah sambil bantal ditutup di muka. Lepaskan semuanya di situ. Jangan lepaskan kepada anak dan isteri.
3. Ganti tempat isteri dalam menguruskan rumah dan keluarga.
Pertamanya baju itu perlu dibasuh, kedua disidai, ketiga dilipat dan akhirnya digosok untuk menjadikannya tersedia. Kita sering tak sedar benda ni. Kita nampak baju je. Proses dia kita tak nampak.
Masuk bab makanan pun sama. Penyediaan bahan masakan, masak, hidang dan kemas serta basuh pinggan. Dan jangan lupa, sesi memberi anak makan yang sebelum ini kita tak peduli sangat pun. Sedar - sedar je anak dah kenyang kan?
Jadi bila kita sebagai suami nak ganti peranan isteri, kita akan terkejut. Semua proses itu datang sekaligus.
Tangan dua tak cukup. Kaki dua tak cukup. Otak satu tak cukup. Masa tak cukup. Tenaga tak cukup. Rehat tak cukup. Tidur tak cukup. Duit pun jadi tak cukup.
4. Pengawalan stress / tekanan.
Memang kita sedia maklum, lelaki lebih baik dalam menguruskan tekanan. Tetapi bila dalam keadaan ini, kita akan tercabar. Kita tidak biasa berada di luar kawalan. Lelaki selalunya dapat mengawal keadaan.
Tapi bila semuanya di luar kawalan, isteri sentiasa sakit, anak sekolah tak terurus, anak kecil tak terjaga, rumah yang dah 2 kali masuk surat khabar sebab deko yang menarik pun, dah jadi tongkang pecah, dapur dah terbalik macam kat dapur kedai tomyam bila nak tutup kedai dan semuanya terjadi serentak, dan kita kena pergi kerja pulak.
5. Pengurusan kewangan.
Akan menjadi teruk. Ketirisan yang banyak bakal berlaku. Kadang - kala kita tak dapat kawal langsung. Isteri teringinkan itu ini. Kita kena beli juga kerana dia dah tak makan berhari - hari. Nak masak, kita memang tak selalu sempat.
Di tambah pula dengan isteri yang tak boleh bau masakan. Anak - anak perlu makan. Nak tak nak, banyak duit akan dikeluarkan untuk membeli makanan setiap hari.
6. Jaga hati anak - anak.
Mereka tak faham. Mereka kecil lagi. Kita kena jaga perasaan mereka. Cuba beri terangkan kenapa ibu mereka sebegitu. Kenapa papa dan mama tiada masa yang cukup untuk melayani mereka dan kenapa kadang - kala mereka dimarahi tanpa ada sebab yang kuat.
Pada masa ini juga kebarangkalian mereka akan tunjukkan sedikit pemberontakan jiwa. Dalam erti kata lain, buat perangai. Kita yang tak cukup masa untuk semua benda, terpaksa mengadap dinding yang diconteng, baju sekolah yang kotor sangat dan macam - macam lagi.
Mereka sebenarnya perlukan perhatian dan kasih sayang. Cubalah sehabis baik melayan anak - anak. Mereka amat memerlukannya kerana ibu mereka tidak dapat melayani mereka seperti selalu.
7. Yang paling penting, jaga isteri.
Mereka mabuk, loya, penat dan segala - galanya. Pastikan anda sentiasa berada di samping mereka kerana kita amat di perlukan. Nak bangun, mereka perlukan bantuan kita. Bila mereka muntah, tolonglah gosok belakang isteri kita.
Lihatlah sendiri bagaimana badan isteri yang turun naik dan menggeletar akibat muntah yang teruk. Air mata yang terkeluar akibat menahan keperitan muntah. Air di hidung yang keluar kerana tiada lagi kawalan badan.
Letaklah diri di tempat isteri. Mereka sedang sakit. Bantulah mereka. Beri galakan dan kata - kata positif.
Mungkin ada yang boleh terima. Mungkin ada suami yang kena tolak terus sebab jiwa mereka tengah kacau. Jangan pulak kita melenting.
Dan yang paling penting, jangan tambah beban kepada mereka. Permudahkanlah urusan mereka. Cari cara untuk mudahkan mereka bergerak, bantu mereka mandi. Syampukan rambut, sabunkan badan.
Kadang - kala mereka terlalu lemah untuk buat perkara asas sebegitu. Sentiasa juga tanya apa lagi yang boleh dibantu, apa yang mereka mahukan dan perlukan. Mungkin kita tak tahu pada masa itu. Tapi isteri kita amat - amat menghargai apa yang sedang kita lakukan untuk mereka.
********
Semoga Dijadikan Iktibar Dan Inspirasi!
Tinggalkan Komen