Kenali Jenis-Jenis Tekanan Darah Rendah Dan Gejalanya.

Oleh: Zuzu Yasmine

Ada yang berpendapat bahawa tekanan darah rendah itu tidak penting, tidak sama seperti mereka yang memiliki tekanan darah tinggi. Ramai yang tidak sedar bahawa tekanan darah rendah juga akan memberikan kesan kepada seseorang jika ia terlalu serius.



Apa itu tekanan darah rendah?

Tekanan darah adalah keupayaan darah menolak ke arah dinding pembuluh darah arteri ketika jantung mengepam darah. Tekanan darah diukur sebagai tekanan sistolik dan diastolik. Tekanan darah sistolik adalah tekanan yang diukur semasa jantung berdenyut. Tekanan diastolik adalah tekanan yang diukur semasa jantung sedang rehat.

Anda akan selalu melihat tekanan darah ditulis sebagai tekanan sistolik di bahagian atas dan tekanan diastolik di bawahnya, contoh 120/80 mmHg (mmHg maksudnya milimeter raksa – unit yang digunakan untuk mengukur tekanan darah)

Tekanan darah normal di kalangan orang dewasa lebih rendah dari 120/80 mmHg. Tekanan darah dikatakan rendah bila bacaan berada di paras lebih rendah dari 90/60 mmHg.



Jenis-Jenis Tekanan Darah Rendah

Terdapat tiga jenis utama tekanan darah rendah.

1. Tekanan Darah Rendah ‘Orthostatic’

Jenis tekanan darah rendah ini akan berlaku bila anda berubah posisi, bangun dari tidur atau duduk. Penurunan tekanan darah akan menyebabkan anda berasa pening atau pengsan.

Ianya terjadi bila tubuh badan tidak dapat menyesuaikan tekanan pengaliran darah dengan cepat agar sesuai dengan kedudukan badan anda. Keadaaan ini biasanya akan berlaku hanya sekejap, dari beberapa saat ke beberapa minit selepas anda berdiri.

2. Tekanan Darah Rendah ‘Neurally Mediated’ (NMH)

Keadaan ini berlaku apabila otak dan jantung tidak berkomunikasi antara satu sama lain dengan baik. Sebagai contoh, apabila anda berdiri untuk jangkamasa yang panjang, darah mulai berkumpul di kaki anda.

Hal ini menyebabkan tekanan darah anda menurun. Dalam NMH, badan keliru dan memberitahu otak bahawa tekanan darah tinggi. Sebagai tindakbalas, otak melambatkan kadar denyutan jantung. Hal ini membuat penurunan tekanan darah yang lebih, menyebabkan pening kepala dan rasa hendak pitam.

3. Tekanan Darah Rendah Teruk berkaitan dengan ‘Shock’

‘Shock’ adalah suatu keadaan yang boleh mengancam nyawa di mana tekanan darah turun begitu rendah sehingga otak, buah pinggang dan organ-organ penting yang lain tidak dapat bekalan darah yang cukup.



Siapa yang berisiko untuk mendapat Tekanan Darah Rendah?

Hipotensi boleh berlaku di kalangan individu dari pelbagai peringkat umur. Walau bagaimanapun, ada individu dalam kumpulan usia tertentu yang lebih cenderung untuk mendapat tekanan darah rendah yang tertentu:

i. Orang tua lebih cenderung untuk mendapat hipotensi ortostatik selepas makan

ii. Kanak-kanak dan remaja lebih cenderung memiliki tekanan darah rendah ‘neurally mediated’

iii. Orang-orang yang mengambil ubat-ubatan tertentu, seperti ubat tekanan darah tinggi

iv. Orang-orang yang mempunyai gangguan sistem saraf pusat (seperti penyakit Parkinson)

v. Masalah hati

vi. Kurang bergerak (contohnya lumpuh) untuk tempoh masa yang lama

vii. Wanita hamil. Hipotensi semasa mengandung adalah perkara biasa dan akan pulih selepas bersalin



Apa Tanda-Tanda dan Gejala Tekanan Darah Rendah?

Tanda-tanda dan gejala tekanan darah rendah bergantung kepada sebab terjadinya hipotensi.

Hipotensi ortostatik

Tanda-tanda dan gejala hipotensi ortostatik boleh berlaku dalam beberapa saat atau minit selepas anda bangun dari keadaan berbaring atau duduk. Anda mungkin merasa bahawa anda akan pengsan, atau anda betul-betul pengsan. Tanda-tanda gejala termasuk :

• Pening atau merasa pusing
• Penglihatan kabur
• Kekeliruan
• Kelemahan
• Loya (perasaan sakit perut)

Hipotensi ‘Neurally Mediated’

Tanda-tanda dan gejala hipotensi ‘neurally mediated’ ini adalah sama dengan hipotensi ortostatik. Penurunan tekanan darah tidak berlaku lama dan sering hilang selepas duduk.

Hipotensi teruk berkaitan dengan ‘Shock’

Pada peringkat awal, ia mungkin sukar untuk mengesan sebarang tanda-tanda atau gejala. Pada orang tua, gejala pertama mungkin hanya kekeliruan.

Jika keadaan ‘shock’ menjadi semakin teruk, seseorang itu tidak akan dapat duduk tanpa merasa pitam. Jika ini berlarutan, pesakit mungkin tidak sedar diri.

Tanda-tanda dan gejala-gejala yang lain adalah berbeza, bergantung kepada apa yang menyebabkan ‘shock’. Apabila isipadu darah menjadi rendah (dari kehilangan darah yang banyak, misalnya) atau jantung gagal mengepam darah, maka :

• Kulit menjadi sejuk dan berpeluh. Ia akan kelihatan biru atau pucat. Jika ditekan, warna kembali normal dengan lebih perlahan daripada biasa
• Denyut nadi menjadi lemah dan pantas
• Pesakit akan mula bernafas dengan cepat

Apabila berlaku vasodilatasi atau keregangan pembuluh darah (seperti dalam septik shock), seseorang merasa panas dan kulit menjadi merah pada awalnya.

Sekiranya berlarutan, ‘shock’ menjadi semakin teruk, kulit menjadi sejuk dan basah, dan pesakit akan berasa tenat. Keadaan ini adalah suatu keadaan yang cemas dan mesti diberi perhatian serta merta.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen