Ibu Bapa, Jangan Jadi 'Lori Sampah', Ia Beri Kesan Buruk Pada Anak-Anak Dan Rumahtangga.

Oleh: Zuzu Yasmine

Sering kali diingatkan bahawa ibu bapa ini adalah contoh buat anak-anak. Apa yang ibu bapa lakukan sekarang ini akan mula ditiru oleh anak-anak pada saat dirinya membesar dan juga apabila sudah dewasa kelak. Bagaimana sikap anak kita hari ini adalah berdasarkan contoh yang telah ibu bapa berikan kepadanya.

Orang kata sikap yang buruk jangan dibawa ke rumah, nanti ia memberi kesan kepada sikap anak-anak kita kelak. Sama juga macam yang dikongsikan Puan Najibah Mustaffa ini, ibu bapa jangan jadi seperti lori sampah, ia mampu memberi kesan yang mendalam dalam rumahtangga dan juga anak-anak.

Berikut adalah perkongsiannya.



IBU AYAH. JANGAN JADI LORI SAMPAH.

"Law of the garbage truck."

Pertama kali saya mengetahui istilah ini adalah beberapa bulan lepas. Rupa-rupanya istilah ini datangnya daripada sebuah tajuk buku yang ditulis oleh David J.Pollay di mana ia sangat popular dan memberi kesan mendalam kepada kehidupan ramai orang.

Saya 'search' tentang perkara ini untuk mengetahui lebih mendalam lagi, terjumpa page rasmi The Law of the Garbage Truck. Taglinenya adalah

"Spread Gratitude. Not Garbage".

Sebarkan kesyukuran. Bukannya sampah.

Masyaallah. Kempen yang sangat baik. Dan ia bermula di negara barat.

Maksud 'lori sampah' dalam kehidupan

Lori sampah. Betapa inilah realiti kehidupan kita hari ini. Setiap hari kita bertemu dengan ramainya manusia dan berhadapan dengan banyaknya situasi.

Manusia negatif, peristiwa negatif diibaratkan sebagai sampah. Dan kita ini adalah sebuah lori atau trak.

Ada orang yang kerjanya setiap hari mengutip sampah sampah ini dan memenuhkan lorinya dengan segala yang busuk dan meloyakan itu.



Dan sampai satu masa, sampah itu telah penuh. Dia terpaksa membuang sampah itu kepada insan sekelilingnya.

Saya terfikir. Betapa ada di kalangan kita ini - ibu ayah selalu sangat jadi seperti lori sampah ini. Tanpa kita sedari.

Kita keluar rumah untuk bekerja atau apa jua urusan. Kita bertemu dengan macam macam orang dan keadaan.

Traffic jammed. Merungut.

Di jalanraya, ada pemandu lain memotong dan beri lampu tinggi, terhamburlah sumpah seranah.

Di kedai makan, hidangan lambat sampai. Terus marah marah

Di pejabat, bos tegur itu ini, kita pun terkesan sama, jadi bad mood dan naik angin.

Banyak lagi situasi dan orang sampah yang kita jumpa. Kita kutip dan kutip. Kita benarkan perasaan dalaman kita ditentukan oleh luaran.

Sampah ini kita kumpulkan dalam lori kita. Hari demi hari, minggu berganti bulan. Ianya penuh dan membusuk.

Kita bawa sampah ini pulang ke rumah. Sedihnya, bila sampah ini mulai penuh dan melimpah. Kita hamburkan kepada pasangan dan anak-anak.

Kita pulang dari kerja. Tiada segaris senyum atau wajah ceria. Kita bawa wajah yang sarat dengan beban dan masalah.

Anak-anak bising. Kita marah.
Anak-anak buat sepah. Kita tengking.
Anak-anak datang kepada kita mahu perhatian, kita abaikan.

Begitu juga dengan pasangan. Perli, marah, penderaan emosi jadi perhiasan rumahtangga kita.

Kita buka handphone. Baca berita negatif. Hal bertelagah tak sudah, membawang, gosip itu ini.

Kita kutip sampah lagi.



Kesan kepada anak-anak dan rumahtangga

Tenaga emosi kita menjadi sangat rendah. Dalam rumahtangga kita aura nya juga jadi negatif.

Dan lagi sedih, pasangan dan anak-anak yang menerima sampah ini boleh menjadi penyumbang dan pengutip sampah juga.

Pasangan. Tidak didamaikan emosinya. Lalu dilepaskan kepada anak-anak.

Anak-anak terpinga-pinga. Keliru. Mereka belum mengerti, namun emosi yang koyak rabak itu membentuk mereka jadi keras, kasar, suka bergaduh terbawa bawa ke sekolah. Ada yang jadi pasif. Ramai juga yang kemurungan dan membawa kepada masalah mental yang lainnya.

Allahu. Teruknya kesan sebuah sampah ni kan. Berantai rantai.

Ramai kita tak sedar perkara ini. Saya pun! Dan sangat sebak ketika menulis catatan ini. Sebab teringat kenangan dulu dulu. Waktu saya selalu menjadi pengutip sampah. Semua perkara yang berlaku di luar mudah sangat beri kesan kepada ketenangan diri. Teruk sungguh rasanya.

Pilih yang baik-baik

Setahun dua ini minat saya kepada ilmu keibubapaan membawa saya menerokai banyak ilmu berkaitan psikologi anak-anak. Dan saya perlahan lahan memperbaiki salah dan silap dulu. Semoga anak-anak lupa, tak simpan dalam memori - perihal sampah yang saya kutip dan hamburkan kepada mereka dulu.

Ibu ayah. Semakin kurang kita mengutip sampah iaitu mengizinkan perkara negatif masuk dalam diri kita. Semakin besar sebenarnya ruang dan peluang untuk kita hidup penuh cinta, saling menghargai dan berkasih sayang.

Ya. kehidupan ini sangat sukar. The struggle is real. Namun kita masih boleh memilih yang baik-baik. Dengan mohon kekuatan daripada Allah.

Jangan jadi lori sampah

Mulai hari ini kita katakan pada diri. Jangan jadi seperti lori sampah. Jika ada orang mahu berikan sampahnya kepada kita. Kita jangan ambil. Kita tolak, senyum dan berlalu pergi.

Katakan pada diri. Kita ibu ayah yang keluarnya mencari rezeki buat keluarga. Pulangnya nanti, saat anak isteri menyambut di muka pintu, yang kita mahu bawa bersama adalah kebaikan, wangian, keindahan dan keceriaan.

Ini semua tenaga emosi yang tinggi frekuensinya. Yang insyaallah berupaya menarik lagi banyak perkara best dan indah dalam hidup.

Seisi keluarga pastinya bergembira. Lalu turunlah rahmat dan berkat daripada Allah. Jadi lah rumahtangga kita sejuk dan mendamaikan. Syurga sebelum syurga. Insyaallah.

Ibu ayah. Kita cuba ya!

Najibah Mustaffa
Sedang belajar berhenti jadi lori sampah.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen