Rebutlah Peluang Untuk Lakukan Solat Taubat Pada Bulan Ramadhan Kerana 5 Kepentingan Ini.

Dalam menjalani ibadah ketika berpuasa pada bulan Ramadhan, jangan lupa dengan ibadah yang lain juga. Melakukan solat-solat sunat, membaca Al-Qur’an, menjaga pergaulan dan batas-batas berlandaskan syariat selain menahan lapar dan dahaga.

Antaranya ialah dengan melakukan solat taubat kerana kita manusia yang sering melakukan dosa tanpa kita sedar. Rebutlah peluang untuk melakukan solat taubat ketika bulan Ramadhan ini juga kerana…

1. Untuk Meraih Ilham Daripada Allah Untuk Menghenyak Nafsu Yang Bermaharajalela.

Ilham itu datangnya daripada Allah untuk menyuruh kita melakukan kebaikan. Berbeza dengan nafsu, yang mengajak kita ke arah kejahatan.

Ilham dan nafsu itu umpama satu pertandingan yang memberikan kita dua bentuk balasan. Sama ada syurga yang penuh kenikmatan, atau neraka yang penuh kesengsaraan.

Cuba bayangkan, alangkah ruginya kehidupan ini andai ilham itu tidak menjengah ke dalam hati kita. Bagaimana mungkin kita mampu meraih pahala kebaikan kalau ilham itu tidak kunjung tiba.

Kerana itulah kita dituntut untuk bertaubat kepada-Nya agar diberi ilham yang sangat didamba.

2. Kerana Kita Bukan Manusia Sempurna.

Sebagai manusia, terkadang kita melakukan kesilapan dalam sedar atau tidak. Kesalahan itu bisa menyebabkan kita mengumpul dosa yang memungkinkan kita menjauh dari rahmat Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, kerana jika berkumpul dalam diri seseorang ia akan dapat membinasakannya.” [H.R Ahmad dan Al-Tabrani]

Hidup ini memerlukan keberkatan dan keredhaan Allah. Barulah terasa nikmatnya bahkan beroleh kemenangan di akhirat sana.

3. Untuk Menghadirkan Ketenangan Dalam Kehidupan.

Dosa-dosa yang kita kumpul akan menyebabkan kita berasa resah dan gelisah. Hidup jadi tidak tentu arah, segalanya rasa serba tak kena. Selagi mana kita tidak bertaubat, selagi itulah segalanya terasa kelat. Tiada ketenangan walaupun zahirnya nampak sempurna.

Duhai insan, sujudlah memohon keampunan.

Nescaya akan terasa kedamaian. Bahkan boleh meningkatkan ketakwaan dengan merasakan diri sebagai hamba-Nya yang sangat mengharapkan ketenangan.

4. Kerana Ajal Tidak Menunggu Untuk Bertaubat.

Ajal setiap insan telah tertulis di dalam Lauh Mahfuz. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah. Ada yang ‘pergi’ sewaktu usia muda, ada yang sewaktu masih sihat tubuh badannya dan ada yang baru tadi kita jumpa sedang bergelak ketawa.

Kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita bahkan ajal tidak sesekali menunggu kita untuk bertaubat. Jadi janganlah berlengah untuk bertaubat, dikhuatiri nanti kita tidak sempat.

5. Bila Matahari Terbit Dari Barat.

Jika matahari sudah terbit dari Barat, segalanya sudah tidak diterima lagi hatta keimanan, kebaikan mahupun taubat.

Qurthubi dalam tafsirnya menjelaskan, para sarjana Muslim berkata:

“Keimanan tidak berguna lagi bagi manusia ketika matahari terbit dari barat, kerana hati mereka sudah dirasuk ketakutan sehingga memadamkan semua syahwat dan melemahkan setiap kekuatan badan.

Kerana yakin hari kiamat sudah dekat, keadaan semua manusia berubah menjadi seperti keadaan orang yang menghadapi kematian. Dorongan bagi melakukan maksiat sudah terputus dan lenyap daripada diri mereka.

Oleh sebab itulah, taubat orang yang bertaubat dalam keadaan itu tidak akan diterima sebagaimana tidak diterimanya taubat orang yang dijemput ajal.”

Allah berfirman dalam Surah Taha, ayat 82:

“Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.”

Semoga Bermanfaat dan Selamat Beramal!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen