Buat Wanita, Ketahui Lelaki Yang Haram Disalam Serta Wajib Menutup Aurat Di Hadapannya.

Oleh: Zuzu Yasmine

Musim-musim perayaan ini sememangnya seronok apabila kita dapat berjumpa dengan saudara mara yang jauh. Bahkan jarang sekali untuk berjumpa dengan mereka ini, mahu setahun dua tahun baru dapat jumpa.

Dalam keriangan berkongsi segala cerita dan juadah, jangan dilupa adab-adab kita bersama tetamu bahkan tuan rumah. Bukan sahaja adab yang perlu dijaga, tetapi aurat dan siapa muhrim juga perlu kita ketahui. Tidaklah kita mengumpul dosa di dalam kegembiraan tersebut.

Sering kali kita begitu mudah untuk memberi salam apabila merasakan orang tersebut lebih tua, sedangkan kita tidak tahu adakah kita patut atau tidak untuk menghulurkan tangan kepadanya. Mari sama-sama kita ikuti perkongsian dan penjelasan dari Ustaz Farid Rashidi ini.



Rupanya ramai yang masih kurang jelas bab aurat. Ada yang terus mesej bertanyakan masalah aurat ini selepas saya menulis berkaitan aurat dengan ipar duai dan sepupu sepapat.

Betul, benda begini ramai masih kurang jelas. Ada juga yang segan untuk menegur walau pun dia sedar. Alasannya mahu menjaga hati dan air muka. Dan akhirnya hal aurat dianggap remeh-temeh. Dipandang enteng sahaja.

Sedangkan Allah suruh, jarang pula kita ikut.

Walhal aurat ini libatkan soal dosa pahala, syurga neraka. Apa sanggup kita menanggung dosa mendedahkah aurat sehari-hari sedangkan dosa lain juga tak tertanggung banyaknya?

Allahhu Rabbi.

Nak dedah aurat di hadapan lelaki ajnabi boleh, jika anda belum balighlah. Masih kecil. Eh budak kecil sekarang pun dah tahu malu tau.

Apapun, saya mohon sangat-sangat… selepas baca artikel sebelum ini dan yang sekarang kalian baca agar faham dan boleh beritahu adik-beradik, saudara-mara lainnya. Barangkali asbab kita menyebarkan kefahaman tentang aurat ini menjadi saham menjana pahala di akhirat kelak. Amin.

Ok, baiklah. Mari baca lagi, selain ipar duai dan sepupu sepapat, siapa pula lelaki ajnabi (asing) yang wajib perempuan itu tutup aurat dan elakkan daripada bersentuhan (salam).

Oh ya, lelaki ajnabi itu maksudnya lelaki asing dan ia termasuk juga kaum kerabat yang haram sementara (حرام مؤقت) untuk berkahwin. Yakni haram lelaki dari kaum kerabat itu menikahi perempuan tersebut selagi mana masih menjadi isteri orang.

Mari semak balik kaum kerabat yang termasuk dalam haram sementara (حرام مؤقت) yang menjadi ajnabi seseorang wanita itu ialah:

1. Anak lelaki dari bapa atau ibu saudara sebelah bapa hingga ke bawah (Sepupu sepapat)
2. Anak lelaki dari bapa atau ibu saudara sebelah ibu hingga ke bawah (Sepupu sepapat)
3. Adik-beradik lelaki suami (Ipar duai)
4. Anak lelaki dari bapa atau ibu saudara suami sebelah bapa hingga ke bawah (Sepupu sepapat)
5. Suami kepada ibu saudara di sebelah bapa
6. Suami kepada ibu saudara di sebelah ibu
7. Suami kepada ibu saudara di sebelah bapa suami sendiri
8. Suami kepada ibu saudara di sebelah ibu suami sendiri

Ini pula senarai yang haram selamanya (حرام مؤبد) berkahwin, maksudnya boleh bersalam dan dedah aurat biasa dilihat:

1. Bapa kandung sehingga ke atas (Datuk dan bapa saudara sebelah bapa dan ibu)
2. Bapa suami (mertua) hingga ke atas (Datuk suami)
3. Anak-anak lelakinya sendiri hingga ke bawah (Cucu)
4. Anak-anak lelaki suaminya (anak tiri) sehingga ke bawah (Cucu)
5. Adik-beradik lelaki (seibu sebapa, sebapa, seibu dan susuan)
6. Anak-anak saudaranya (dari adik-beradiknya yang lelaki dan perempuan serta susuan)
7. Bapa tiri (selepas sah berkahwin dan berlaku persetubuhan dengan ibunya)
8. Bapa saudara sebelah bapa atau ibunya

Sebagaimana dalil al-Quran, Allah SWT berfirman:

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ
“Dan (juga perempuan-perempuan yang diharamkan kamu berkahwin dengan mereka ialah) anak-anak perempuan tiri kamu yang telah kamu setubuhi ibu-ibu mereka.”
[Surah an-Nisa’: 23]

Aurat lelaki yang haram selamanya berkahwin ini adalah sama batasannya iaitu antara pusat dan lutut sekiranya tidak membawa kepada fitnah dan syahwat.

Sebahagian ulama’ menghadkan pada anggota zahir ketika bekerja iaitu aurat mereka seluruh tubuh melainkan kepala, leher dan tengkuk, tangan hingga pangkal lengan dan kaki hingga lutut. Jika duduk satu rumah yang sama ia tak dipanggil berkhalwat sebab seperti juga mahram yang lainnya.

“Aurat perempuan terhadap lelaki mahramnya ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut. Ini bererti mereka harus mendedahkan seluruh anggota badannya yang lain di hadapan mahramnya dengan syarat terhindar daripada berlaku fitnah. Jika ada kemungkinan berlaku fitnah hukumnya tetap haram.”
[Kitab al-Fiqh al-Manhaji 1/125]

Dalilnya, Allah SWT berfirman:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, saudara-saudara mereka, anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam.”
[Surah an-Nur: 31]

Bagaimana pula aurat perempuan dengan bapa dan anak angkat lelaki?

Yang namanya angkat-angkat ini, semuanya wajib tutup aurat dan haram bersalam. Kecuali kucing angkat atau binatang peliharaan angkat sahaja tak ada masalah. 😆

Ok Alhamdulillah selesai, khalas, done!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen