Apakah Hukum Mengambil Wuduk Dengan Memakai Cincin?

Kepentingan Wuduk Untuk Melakukan Ibadah.

Allah SWT memerintahkan seseorang itu mengambil wuduk sebelum mengerjakan ibadah-ibadah yang tertentu seperti solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran dan sebagainya.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.” (Surah al-Maidah: 6)

Terdapat Kelebihan-Kelebihan Bagi Orang Yang Melaksanakan Wuduk Dengan Sempurna Dan Sebaik-Baiknya.

Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Uthman Ibn ‘Affan RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mengambil wuduk dan menyempurnakan wuduknya dengan sebaik-baiknya, maka keluarkan dosa-dosa daripada jasadnya sehingga keluar juga daripada celahan kuku-kukunya” [Hadith riwayat Muslim: (1/216)]

Hukum Memakai Cincin Bagi Golongan Lelaki Dan Juga Perempuan.

Pada asalnya, hukum memakai cincin bagi golongan lelaki ialah harus, kecuali cincin yang diperbuat daripada emas. Cincin yang diperbuat daripada emas diharamkan keatas lelaki berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

“Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.” [Hadith riwayat Muslim (2089)]

Manakala, bagi golongan perempuan pula, ijma’ para ulama menyatakan keharusan perempuan untuk memakai emas sebagai perhiasan buat dirinya dan ijma’ para ulama’ mengatakan haram bagi lelaki.

Hukum Memakai Cincin Ketika Mengambil Wuduk.

Berkenaan hukum dan cara mengambil wuduk dengan memakai cincin, para ulama berbeza pandangan kepada dua pendapat:

Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa wajib untuk menggerak-gerakkan cincin ketika membasuh tangan untuk mengambil wuduk, jika sekiranya cincin tersebut ketat dan sempit ruangnya yang tidak dapat dipastikan bahawa air sampai ke dalamnya.

Namun, jika sekiranya cincin itu longgar atau dapat dipastikan bahawa air sampai kepada kulit, maka tidak wajib untuk menggerak-gerakkan cincin tersebut, bahkan sunat sahaja untuk melakukannya.

Para ulama’ Malikiyyah pula berpandangan bahawa tidak wajib untuk mengubah kedudukan cincin pada jari seseorang yang berwuduk walaupun ia ketat, jika sekiranya cincin tersebut daripada apa yang dibenarkan oleh syarak.

Walaubagaimanapun, berbeza keadaannya jika seseorang itu mengangkat hadath dengan bertayammum. Jumhur ulama’ daripada Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah bersepakat bahawa perlu untuk menanggalkan cincin ketika bertayammum bagi memastikan debu-debu tanah itu sampai kepada kulit orang yang bertayammum tersebut.

Kesimpulannya.

Mengambil wuduk dengan memakai cincin adalah sah. Namun, jika sekiranya cincin yang dipakai itu agak ketat dan tidak dapat dipastikan bahawa air mengenai kulit di bawahnya, maka wajib untuk dia mengerak-gerakkan cincinnya tersebut dan memastikan air mengenai kulitnya.

Disamping itu, bagi mereka yang memakai cincin longgar adalah digalakkan untuk menggerakkan juga cincin tersebut bagi memastikan air benar-benar sampai ke kulitnya.

Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang menyebut:

الْخُرُوجُ مِنْ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Mengambil pendapat yang keluar daripada khilaf adalah disukai.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat Islam dan melakukan amal ketaatan menepati kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya. Amin.

Wallahu a'lam.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen