Suami, Nafkah Keluarga Itu Tanggungjawab Kamu, Jangan Biarkan Isteri Menanggungnya.

Oleh: Zuzu Yasmine

Dalam hidup yang serba moden ini pelbagai perkara boleh berlaku terutama dalam hubungan suami isteri. Jika hukum hakam perkahwinan ini dianggap mudah, ia mungkin akan membinasakan rumahtangga yang dibina itu. Walaupun pada mulanya ia dimulakan dengan hati yang terbuka.

Ketika ini, seorang isteri menanggung sebuah keluarga walaupun memiliki suami bukanlah satu perkara yang asing lagi. Ini kerana, dikatakan bahawa wanita pada masa ini lebih berjaya dan mampu memiliki kewangan yang lebih baik, jadi tidak salah untuk mereka membantu suami mereka.



Jika isteri hanya ingin membantu meringankan beban suami tidak salah, tetapi jangan biarkan isteri yang menanggung nafkah keluarga seorang diri. Sedangkan, penyediaan nafkah buat anak-anak dan isteri itu adalah tugas seorang suami.

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungannya itu ialah seperti:

• Makanan

• Barang-barang dapur

• Pakaian

• Tempat tinggal

• Alat-alat untuk membersihkan diri

Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/542)



Imam al-Syaukani menyebut: Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan Baginda SAW. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri Baginda SAW tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah. Dalam pemberian nafkah, Rasulullah SAW memberikan 20 wasaq gandum dan 80 wasaq kurma kepada isteri-isterinya pada setiap tahun. (Lihat Nail al-Autar, 5/221)

Undang-undang Keluarga Islam

Undang-undang keluarga adalah termaktub di bawah undang-undang negeri. Jika di Wilayah Persekutuan, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada Seksyen 72 memperuntukkan:

“…adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”[1]

Begitu juga pada Seksyen 73 antara lain menyebut:

Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya

(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;

(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;[2]

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan seperti berikut:

Menurut kitab-kitab fiqh, semua tanggungan nafkah adalah di bawah tanggungjawab suami. Walaupun berlaku keredhaan dari pihak isteri, tetapi untuk menenangkan hati, berilah ganjaran yang setimpal kepada isteri yang telah memulakan rumahtangga dengan berjaya.



Alangkah baik sekiranya suami tersebut memberikan kredit dan penghargaan di atas pengorbanan isteri yang besar selama ini. Sifat isteri yang sentiasa membantu suami adalah sangat terpuji. Berilah hadiah kepada isteri tersebut.

Suami janganlah mengambil kesempatan sehingga tugas hakiki beralih kepada si isteri sedangkan ia pada hakikatnya adalah berada pada tangan suami.

Tanggungjawab yang sebenarnya tidak berpindah kepada isteri. Isteri hanya bersifat menolong dan membantu. Jika isteri tidak mahu membantu pun tidak mengapa.

Suami wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada isteri dan inilah yang sebenarnya.

Semoga rumahtangga kita menjadi seperti apa yang disebut Baiti Jannati dan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kehidupan kita diberkati dan dikurniakan kebahagiaan.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen