Hati-Hati “Orang Yang Memutuskan Hubungan Silaturrahim Akan Dilaknat Oleh Allah”.

Oleh: Zuzu Yasmine

Perbalahan dan bermasam muka antara ahli keluarga itu adalah perkara biasa, akan tetapi jangan lupa sampai kita memutuskan satu hubungan persaudaraan. Sedangkan suami isteri juga bertikam lidah inikan pula adik beradik dan saudara mara.

Jangan hanya kerana rasa marah yang membuak-buak dan sukar dibendung membuatkan kita mengambil satu keputusan yang salah iaitu dengan memutuskan satu perhubungan, sedangkan perkara itu hanyalah perkara yang sia-sia sahaja.

Ramai yang merasakan bahawa mereka ini boleh hidup tanda adik beradik dan saudara mara sedangkan jika kita dalam kesusahan, belum tentu rakan-rakan yang ada sekarang ini akan membantu kita. Tidak mustahil adik beradik dan saudara maralah yang akan menghulurkan bantuan.



Ancaman Memutuskan Silaturrahim

Memutuskan silaturrahim adalah termasuk antara–dosa dosa besar secara ijmak ulama. Memutus silaturrahim boleh berlaku dengan memencilkan hati rahimnya/kerabat terdekatnya dan meminggirkan mereka sama ada dengan cara tidak berbuat ehsan kepada mereka seperti tidak memberikan harta ketika mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan sedangklan kita berkemampuan daripada sudut kewangan atau tidak menziarahi mereka tanpa ada sebarang keuzuran. Uzur yang dimaksudkan adalah seperti seseorang itu hilang sesuatu yang boleh menyatukan hubungan dengan mereka seperti hilang harta atau pun ada harta tapi harta tersebut hanya memenuhi hajatnya sahaja yang lebih utama untuk dibelanjakan.



Rasulullah bersabda ﷺ :

لَيْسَ الوَاصِلُ بِالمُكَافِئ، وَلكِنَّ الوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
Maksudnya: “Bukanlah orang yang menyambung (silaturrahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.”

Riwayat al-Bukhari (5991)

Hadis ini mengisyaratkan bahawa seorang lelaki yang menyambungkan hubungan dengan rahimnya/ kaum kerabatnya yang tidak menyambungkan hubungan dengannya lagi adalah lebih afdhal daripada dia menyambungkan hubungan dengan kaum kerabatnya yang tidak memutuskan silaturrahim dengannya kerana itu antara akhlak baik yang amat disarankan oleh syarak.

Memutuskan silaturrahim boleh berlaku dengan cara menyakitinya, tidak menziarahinya, lalu datang rasa dipencilkan di dalam hatinya, atau mereka adalah kerabat fuqara yang sangat berhajat kepada bantuan sedangkan seseorang itu mempunyai harta yang melebihi hajatnya, selain itu juga dia mampu membantunya, namun begitu dia tetap juga tidak mahu membantunya.

Allah SWT berfirman,:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”.

(Surah al-Nisaa’:1)

Allah SWT berfirman lagi :

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِن تَوَلَّيْتُمْ أَن تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ ﴿٢٢﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّـهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَىٰ أَبْصَارَهُمْ
Maksudnya: “Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?, (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”.

(Surah Muhammad: 22-23)

Kaedah Bersilaturrahim Dan Keadaan Diharuskan Memutus Silaturrahim

Bersilaturrahim mempunyai pendekatan dan cara yang pelbagai. Antaranya:

• Jika kamu boleh menziarahi rahimmu/kaum keramat terdekat denganmu maka jangan sekali kamu mengabaikannya. Hendaklah kamu menziarahi mereka. Tidak memadai kamu mengirimkan salam kepada mereka tanpa menziarahi mereka. Dalam beberapa keadaan memang memadai hanya dengan mengirimkan salam. Adapun jika berada di tempat yang sama, negeri yang sama, daerah yang sama kemudian tidak pula menziarahinya dalam jangka masa setahun, tidak juga dalam 2 tahun dan tidak juga menziarahnya pada tahun yang ketiganya, sedangkan dia mampu melakukannya maka inilah dosa memutuskan silaturrahim.

• Adapun jika rahim atau kerabat terdekat tersebut tidak suka kerabatnya ini memasuki rumahnya dan dia tidak pula redha orang tersebut berbuat demikian serta orang tersebut ini pula tahu bahawa dia tidak menyenangi/tidak redha dia memasuki rumahnya maka tiada dosa dikenakan ke atasnya kerana kerabatnya itu tidak redha dia berbuat demikian. Jatuh tanggungjawab tersebut daripadanya. Walaupun begitu, dia masih lagi perlu bertindak mengirimkan salam kepadanya atau menyampaikan salam secara bertulis mahupun telefon. Lebih mudah lagi pada zaman ini dengan adanya sms, laman sosial, whatsapp, twitter dan sebagainya.

• Namun, jika kerabatnya amat suka dia masuk ke rumahnya dan dia dibenarkan duduk di dalam rumahnya, maka tidak memadai dengan hanya mengirimkan salam bagi tempoh yang lama tidak bersua. Adapun jika dah berjumpa dengannya sebelum ini dalam tempoh yang terdekat maka sudah memadai dengan hanya kiriman salam.

• Adapun jika seseorang itu memiliki keuzuran seperti dia berada di tempat yang jauh, atau luar negeri atau luar negara dan tidak mudah baginya untuk pergi menziarahi kaum kerabatnya, jika dia menghilangkan diri misalnya 3 tahun sedangkan dia masih lagi mengirimkan salam dari semasa ke semasa maka itu tidak mengapa.

• Jika dia menziarahi kaum kerabatnya tetapi dia tidak mendapati dia di rumah, maka hendaklah orang tersebut meninggalkan pesanan di atas pintu rumahnya atau kepada jirannya: “ Saya adalah si fulan, saya telah datang menziarahimu tetapi saya dapati kamu tiada di rumah”, ini sudah memadai.



Antara keuzuran atau alasan yang menyebabkan seseorang itu dibenarkan tidak menziarahi kerabatnya/rahimnya seperti dia mendengar bahawa kaum kerabatnya ini telah melakukan riddah/murtad seperti mencaci Allah, para nabi, malaikat, atau mempersendakan al-Quran dan seumpamanya, maka orang ini tidak perlu lagi disambung hubungan silaturrahim dengannya.

Diharuskan memutuskan silaturrahim sekiranya kerabatnya itu fasiq disebabkan sikapnya meminum arak, meninggalkan solat, berzina dan seumpamanya. Perlu diingat tidak diharuskan memutuskan silaturrahim dengannya melainkan setelah memberitahunya terlebih dahulu apakah sebab kita bertindak sedemikian agar dia sedar dan meninggalkan perbuatan keji tersebut.


Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ اللّهِ مِن بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ اللّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُوْلَئِكَ لَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ
Maksudnya: “ Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, - mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya”. 

(Surah ar-Ra’d : 25)

Maka, berdasarkan nas-nas yang diberikan maka menjaga dan menghubungkan silaturrahim merupakan perkara yang dituntut di dalam agama. Semoga kita bersama-sama termasuk di dalam golongan yang menyambung dan memelihara silaturrahim. Ameen.

 

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen