Trend Kahwin Lambat Belia Muslim.

BERCERITA soal jodoh, pasti ia akan menyentap hati bagi mereka yang belum menemui pasangannya. Kadangkala apabila difikirkan pasti akan membuatkan diri tidak tenang. Jodoh itu sebenarnya rahsia ALLAH SWT, begitu juga dengan rezeki dan ajal. Ia tidak boleh dijangka sebaliknya mampu dirasai. Kata orang tua-tua, kalau belum sampai serunya, buatlah apa sahaja ia tidak akan menjadi. Fenomena kahwin lambat dalam kalangan golongan belia Muslim di negara kita dilihat semakin meruncing. Banyak alasan diberikan kepada si penanya, antara jawapan yang popular adalah kekangan kewangan atau jodoh belum sampai.



Kadar kesuburan menurun.

Pengerusi Pembangunan Sosial IKRAM & Naib Wanita IKRAM, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata, ramai belia yang menjadikan isu tidak cukup duit sebagai alasan untuk lambat 'membina masjid' sedangkan isu rezeki bukan ketentuan kita. Duit perlu dicari kerana ia tidak akan datang bergolek. Kerana itu, belia Muslim disarankan keluar mencari rezeki sedaya mungkin. 'Dinamismenya, keluarga ini bukan melibatkan suami dan isteri semata, sebaliknya apabila berkahwin diibaratkan seperti berkahwin dengan keluarga masing-masing. Dalam tempoh setahun, 85 peratus daripada pasangan yang berkahwin usia muda akan mengandung jika mereka tidak menggunakan kaedah merancang keluarga. Maka, bertambahlah peranannya, bilangannya dan fungsinya. Dan keluarga adalah batu bata asas pembinaan masyarakat.



'Realiti hari ini, kita sekarang mempunyai 28.3 juta rakyat Malaysia berdasarkan statistik pada 2010, dari aspek kesuburan, purata seorang wanita di negara ini akan melahirkan sekadar 2.0 dan 2.2 orang anak sahaja. Masih ada lagi yang melahirkan anak lapan orang dan ada juga yang tidak beranak langsung tetapi puratanya 2 anak sahaja,' katanya semasa membentang kertas kerja bertajuk kekangan kewangan dan fenomena kahwin lambat dalam kalangan golongan Muslim Malaysia semasa Seminar Kebangsaan Maqasid Syariah anjuran Persatuan Ulama Malaysia baru-baru ini. Menurutnya, melihat kepada keadaan itu kita sebenarnya sudah sampai di tahap yang agak membimbangkan. Kerana jika turun daripada dua seperti negara Singapura sudah lama 1.7, 1.8 kita akan menghadapi masalah populasi. Dahulu, sekitar tahun 80an (2.6), manakala pada tahun 60 hingga 50an, seorang wanita ada lima atau enam anak (5.6). Sekarang semakin berkurangan dan situasi ini memberikan impak kepada populasi.

Dalam konteks populasi itu Alhamdulillah kita masih lagi berbentuk piramid maknanya ramai lagi generasi muda berbanding golongan tua. Tetapi tidak lama lagi jika kadar kelahiran masih lagi dua, kita akan menghadapi satu piramid yang terbalik, maksudnya golongan tua makin ramai berbanding orang muda.



Lambat kahwin dedah risiko.

Kenyataan yang mengatakan golongan wanita lebih ramai daripada lelaki adalah tidak benar sama sekali, berdasarkan statistik terbaru, sebenarnya di Malaysia ini, lebih ramai lelaki (106) berbanding wanita (100). ALLAH memang menjadikan lelaki lebih daripada wanita. Hanya dua negeri iaitu Perlis dan Wilayah Persekutuan yang ramai wanita. Di negeri-negeri lain memang ramai lelaki. Golongan lelaki berkurangan dalam usia 72 hingga 73 tahun kerana jangka hayat kaum lelaki lebih pendek berbanding wanita 76 tahun. Dr Harlina Siraj yang juga Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, faktor penceraian menjadi alasan utama belia Muslim berkira-kira untuk tidak menempuh gerbang perkahwinan. Mereka seakan hilang keyakinan terhadap institusi rumah tangga sebaik melihat ibu bapa atau individu yang dekat bergaduh, bertegang leher dan tidak ada kesefahaman dalam perhubungan suami isteri.

'Kita tidak boleh memandang isu penceraian sebagai isu biasa, ketahuilah bahawa walaupun kadar penceraian sebanyak 0.8 peratus pada tahun 2011, Nampak macam sikit tetapi impaknya sangat besar. Berdasarkan statistik penceraian keluarga Muslim menunjukkan bahawa 19 peratus. Kita perlu mengetengahkan isu penceraian kerana ia akan meninggalkan kesan negatif kepada percambahan kadar perkahwinan di negara kita. '60.4 peratus daripada 2.5 juta adalah lelaki dan mereka tidak pernah berkahwin. Kita sering mengatakan bahawa ramai wanita yang tidak berkahwin sedangkan lelaki yang tidak mahu berkahwin awal. Mereka memberikan alasan kekangan kewangan memandangkan persediaan untuk berkahwin menelan belanja yang sangat besar,' ulasnya lanjut.



Menurutnya, segelintir masyarakat hari ini mahukan majlis perkahwinannya kelihatan mewah, hebat seperti 'wedding of the year' sedangkan peruntukan yang ada cukup untuk membuat yang wajib sahaja. Kenapa ramai lelaki 'takut' untuk berkahwin kerana di bahu mereka tergalas banyaknya beban, beban sebelum, semasa dan selepas berkahwin. Teruna yang mahu meminang si dara pilihan hati perlu memikirkan mengenai kursus kahwin, cetak kad jemputan, wang hantaran, dulang hantaran, kenduri, katering, pelamin termasuk mak andam, baju persalinan pengantin, cenderahati kepada tetamu, sewa khemah dan banyak lagi. Itu tidak terhitung keluarga yang meminta RM10,000 serba satu!. Alamatnya selepas berkahwin memang tinggal sehelai sepinggan, itulah antara penyebab meningkatkan jumlah belia Muslim lambat berkahwin.

Trend kahwin lambat akan meninggalkan banyak kesan negatif antaranya dari segi gejala sosial, meningkatnya bilangan kelahiran anak tidak sah taraf, pembuangan bayi, pembunuhan janin dan banyaknya berlaku perzinaan. Situasi ini adalah disebabkan tempoh yang lama membujang sekali gus mendedahkan lelaki muda kepada cara gaya hidup yang tidak sihat dan risiko yang berkaitan dengannya. Gejala kahwin lambat dalam kalangan lelaki menunjukkan golongan Adam akan berkahwin pada usia lebih matang, kukuh dari segi ekonomi untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen