Kenapa Kita Perlu Bersikap Sombong Kepada Orang Yang Sombong Pada Kita? Ikuti Penjelasan Ini.

Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an:

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang…” [Surah al-Israa’ (37)]

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong…” [Sahih Muslim (51)]

Hanya Allah SWT yang berhak untuk bersifat dengan sifat al-mutakabbir.

Firman Allah SWT:

“Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya.” [Surah al-Hasyr (23)]

Sombong Terhadap Orang Yang Sombong.

Terdapat satu kata-kata yang disandarkan kepada Nabi SAW yang berbunyi:

1. Bersikap sombong terhadap orang yang sombong merupakan satu sedeqah.

Kata-kata ini tersebar dan masyhur dalam kalangan kita, namun ia bukanlah hadith.

Syeikh Mulla Ali al-Qari telah memasukkan riwayat ini dalam kategori hadith palsu, namun mengakui bahawa perkataan tersebut pernah diucapkan oleh para ulama dengan maksud yang sama.

2. Terdapat juga riwayat lain yang berbunyi:

“Apabila kami dapati kalangan yang tawadhu dalam kalangan umatku, maka berlakulah tawadhu terhadap mereka; dan apabila kamu dapati golongan yang sombong, berlakulah sombong terhadap mereka.”

Riwayat ini disebut oleh Imam al-Ghazali dalam Ihyaa’ Ulum al-Din, namun Imam Tajuddin al-Subki menyatakan bahawa beliau tidak menjumpai sanad bagi riwayat ini.

Abu Sa’id al-Khadimi sewaktu mengulas riwayat ini menyatakan bahawa secara asalnya, sikap sombong adalah diharamkan. Namun kita dibenarkan bersikap sombong terhadap orang yang sombong, dan ia sebenarnya adalah sedekah dan perbuatan baik, kerana jika kita bersikap tawadhu di hadapan orang sombong, maka itu akan menyebabkan dirinya terus-menerus berada dalam kesesatan. Namun, jika kita bersikap sombong, dia akan tersedar daripada sikapnya itu.

3. Ini sesuai dengan nasihat Imam Syafi’e, dimana terdapat riwayat bahawa beliau pernah berkata:

“Bersikaplah sombong kepada orang sombong”.

4. Imam Al-Zuhri pula pernah mengatakan:

“Bersikap sombong kepada pecinta dunia merupakan satu ikatan Islam yang kukuh”.

5. Imam Yahya bin Mu’adz pula mengatakan:

“Bersikap sombong kepada orang yang bersikap sombong kepadamu dengan hartanya, merupakan satu bentuk kerendahan diri.”

Kerana itulah dikatakan juga bahawa menzahirkan sikap sombong untuk menyedarkan orang yang sombong (bukan dengan niat berbangga diri) merupakan satu sikap terpuji, contohnya sikap sombong dihadapan orang jahil dan orang kaya yang sombong dengan hartanya.

Selain itu, Imam al-Munawi memasukkan sikap sombong terhadap orang yang sombong ini sebagai salah satu amalan-amalan yang baik.

Kesimpulan.

Tuntasnya, riwayat yang menyebut sikap takabbur terhadap orang yang sombong bukanlah hadith, namun ia sekadar kalam dan pandangan para ulama sebagaimana yang telah dibahaskan.

Seseorang itu diharuskan untuk menzahirkan sikap meninggi diri terhadap orang yang sombong, dengan niat untuk menasihati, menegur dan memberi pengajaran terhadap orang yang sombong tersebut. Namun sikap sombong mestilah pada sudut zahir sahaja, dan tidak mempunyai rasa sombong yang sebenar di dalam hati.

Namun, kami berpandangan adalah lebih utama untuk menggunakan kaedah dakwah seperti yang digariskan oleh al-Qur’an al-Karim.

Firman Allah SWT:

"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib." [Surah Fussilat (34)]

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

"Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." [Surah al-Syura (40)]

Akhirnya, ia terletak kepada kebijaksanaan seseorang apabila melihat kepada kesesuaian keadaan. Jika orang yang sombong tersebut diyakini akan berubah jika menggunakan kaedah teguran secara lembut, maka cara itu lebih utama. Adapun jika diyakini membalas dengan sikap sombong akan menyedarkannya dan memberikan pengajaran, maka diharuskan untuk menggunakan kaedah ini.

Wallahu a’lam.



Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen