Betul Ke Dia Jodoh Aku?

Oleh: Rafi

Memang indah saat sedang jatuh cinta. Hati berbunga-bunga, sampai semua kehendaknya dituruti. Tak dapat gunakan akal yang Allah SWT dah bagi. Lebih-lebih lagi kalau jika banyak menghabiskan masa menonton drama atau membaca novel-novel semasa. Lagilah nampak bahagia kalau dapat jatuh cinta. Tapi sebenarnya, itu semua hanya apa yang ditunjukkan pada kita. Sebab itu jugalah, ramai antara kita tak bersedia untuk pikul tanggungjawab yang datang dengan cinta dan perkahwinan di alam realiti. Yang kita nampak, bahagianya bila setiap masa dapat bersama, bercinta sampai ke Syurga. Sampai kita jadi terlalu obses dengan cinta dan kita letakkan harapan yang terlalu tinggi pada cinta. Setiap masa nak tanya, 'Bila jodoh aku nak sampai?', atau 'Betul ke dia jodoh aku?'.



Itu saja yang bermain di fikiran kita.

Sebenarnya, apa tujuan hidup kita?

Maksud 'Cinta'.

Ramai antara kita letakkan definisi yang terlalu 'idealistik' pada cinta. Dalam semua cerita cinta, memang ada halangan, tapi akhirnya bahagia juga semata-mata kerana cinta. Seolah-olah cinta itu mampu menyelesaikan segala masalah dan hanya cinta yang mampu memberikan bahagia. Itulah sebabnya, kita cepat hilang pertimbangan bila mula ada rasa cinta. Kita suka nak saling hantar mesej, email, chatting, bertukar gambar, keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, berpelukan dan sebagainya. Pada kita, cinta bermaksud ayat-ayat cinta romantis, kejutan, hadiah, gelak tawa, gurauan, belaian, dan rasa bahagia yang amat sangat.

Rasulullah SAW bersabda, 'Apabila seorang hamba bernikah, maka dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah untuk separuh yang selebihnya' (Hadis Al-Baihaqi)

Bila kita tengok orang lain bercinta, yang kita nampak hanya bunga besar yang dia terima pada hari lahirnya. Yang kita nampak cuma ayat-ayat cinta yang sentiasa diluahkan antara mereka. Yang kita nampak cuma gambar 'sweet' mereka bila berjalan berdua. Sedangkan betapa besarnya tanggungjawab sebuah cinta dan perkahwinan, sampai ia boleh menyempurnakan separuh dari agama seorang hamba.



Mahalkan Diri.

Sepatutnya masa muda kita dihabiskan dengan menambahkan ilmu dan memupuk nilai-nilai murni dalam diri kita. Tanpa apa-apa 'values', kita akan jadi tak bernilai. Berapa banyak buka yang kita dah baca? Berapa banyak kelas yang kita dah hadiri? Berapa banyak 'lectures' yang kita dah dengar dan hadamkan? Berapa ramai orang yang dah kita ikuti dan perhati, untuk belajar nilai-nilai yang dapat kita gunakan untuk jadi orang yang berguna?

Cuba periksa semula, banyakkah ilmu kita? Pandaikah kita menguruskan wang? Mampukah kita menjadi ketua? Mampukah kita mendengar dan menerima kritikan orang-orang di sekeliling kita? Bila perlu, sejauh mana kita mampu bersabar dan bertolak ansur dengan orang lain? Bagaimana pula dengan hati kita? Layanan kita pada ibu bapa?

Perkara-perkara ini yang sepatutnya kita risaukan, bukan hanya sibuk dengan soal jodoh.



Buat Persediaan.

Sebelum bercinta pun, banyak persediaan yang perlu kita lakukan. Untuk ke alam perkahwinan, memang kita perlukan wang. Untuk majlis dan juga untuk mulakan hidup baru dengan pasangan. Tapi sebelum semua itu, fikiran kita perlu jadi matang. Suami memang ketua, jadi perlu lebih matang. Tapi isteri pun perlu jadi pendokong suami yang paling setia, perlu jadi penenang hati dan menjaga harta suami. Kalau kedua-duanya atau salah satu pasangan tak matang, mampukah kita nak pikul tanggungjawab sebagai suami / isteri?

'Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari seksa api neraka' (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Tanpa sebarang persediaan, macam mana nak berumahtangga? Kata nak bawa pasangan ke Syurga tapi macam mana nak ke Syurga kalau kita sendiri tak pernah mulakan langkah?

Jangan tergesa-gesa dengan perasaan. Guna akal fikiran, kawal nafsu.

Ambil masa untuk belajar sebanyak mungkin dari semua yang ada di sekeliling kita. Contohnya kawan-kawan kita pun mesti ada pengalaman yang berlainan dengan kita, apatah lagi orang-orang tua. Tujuan hidup kita, bukan semata-mata untuk cinta.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen